8 Jun 2022, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menjadi penulis bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila mahu menembus pasaran perdana mahupun alternatif, kedua-duanya memerlukan kerja yang berat. Malah sebelum karyanya dapat disiarkan kepada khalayak, kerja-kerja untuk memantapkan penulisan pula harus dilihat dari aspek yang lain pula.

Untuk kekal berada dalam pusingan roda dunia penulisan ini, penulis juga harus bersedia untuk bergerak sama dengan dunianya. Selain pengukuhan pemikiran, daya penulisan dan pengetahuan, daya kemampuan dalam memasarkan karya mereka juga harus diambil berat. Melainkan sekiranya nama dan karya mereka sudah ditempa dalam dunia penulisan semasa, maka ruang untuk mereka berkarya lebih luas.

Dalam erti kata lain, penulis pemula wajar untuk mengangkat medium alternatif untuk menjadi penulis. Salah satu medium menulis pada masa ini merupakan penulisan digital atau penerbitan digital. Khalayak juga dilihat semakin mesra dengan e-buku, majalah digital dan bahan bacaan di Internet sama ada esei, puisi, cerpen mahupun novel. Menyokong kenyataan ini, empat orang penulis yang pernah menulis untuk penerbitan digital, iaitu Dr. Ernie Rozaini, Dato’ Dr. Azizon Othman, Izma Arfani dan Zan Aizan.

Keempat-empat penulis baharu dan mapan ini berkongsi tentang pandangan mereka perihal menulis untuk penerbitan digital melalui bicara “Perintis Penulis Digital” anjuran Kelab Penulis Muda Malaysia, melalui sesi Rehat & Baca bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 baru-baru ini.

“Mudahnya, dengan adanya kemudahan menulis untuk penerbitan digital ini membuatkan perjalanan penulis pemula lebih mudah,” ujar Dr. Ernie Rozaini, pegawai dan doktor perubatan UiTM yang juga seorang penulis.

Pada peringkat awal, menulis hanyalah hobi bagi Dr. Ernie. Beliau banyak menulis anekdot dan perkongsian dalam media sosialnya. Sebagai peminat buku, beliau menyatakan bahawa untuk menjadi penulis kadang-kadang seperti satu mimpi. Permulaan perjalanan beliau sebagai penulis terjadi sewaktu beliau mengenali tentang penulisan digital.

Bagi beliau, penulisan digital merupakan jalan yang memudahkan penulis pemula untuk menjadi penulis. Beliau akui, walaupun dengan medium digital, menulis tetaplah bukan perjalanan yang mudah. Tetapi melalui satu sudut, sejumlah risiko dan cabaran akan dapat dilenturkan.

Manakala bagi Dato’ Dr. Azizon Othman, antara sebab beliau memilih untuk menulis secara digital adalah dengan harapan bahawa hasil penulisan itu akan mempunyai tempat walaupun setelah penulisnya berhenti menulis. “E-buku akan terus dijual setelah sekian lama oleh penerbitnya, manakala buku bercetak pula memerlukan proses pencetakan semula setelah ia habis atau dilupus dek penerbit,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kosnya juga lebih ringan berbanding dengan buku fizikal. Tidak lupa juga dengan cabaran untuk menghabiskan jualan buku bercetak yang kadang-kadang agak mencabar lebih-lebih lagi pada era digital hari ini.”Dalam industri yang mempunyai unsur untung dan rugi, kenyataan seperti “tidak semua buku akan habis dijual dan jangka hayat bagi buku fizikal mungkin lebih terhad” merupakan antara faktor penulis pemula sukar untuk menempa nama sebagai seorang penulis.

Oleh itu, penerbitan digital dilihat sebagai peranan kemodenan terhadap nasib dunia penulisan. Bagi memastikan peranan itu mempunyai manfaat, maka semua pihak harus memainkan peranan masing-masing, sama ada dari sudut penulis mahupun pembaca.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!