5 Jun 2022, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Temasya Pantun Tepak Bestari (TEPAK) berjaya melahirkan pemantun berbakat dari seluruh tanah air dan Nusantara. TEPAK musim kedua telah diadakan bermula pada 14 Mei 2022 hingga 5 Jun 2022. Program anjuran Jawatankuasa Kerja Perkembangan Seni dan Kreatif, Kolej Kediaman Bestari, Universiti Malaya (UM) itu diadakan secara hibrid (dalam talian dan fizikal). Program ini turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tema yang diangkat pada tahun ini ialah “Sayembara Diraja Bestari, Menongkah Budaya, Menjulang Tradisi”.

Berkenaan dengan pengisian program, terdapat empat jenis kategori yang dipertandingkan, iaitu Pantun Tunas Pulut Siding bagi kategori sekolah rendah, Pantun Menguning Mahsuri bagi kategori sekolah menengah dan Pantun Menuai Malinja bagi kategori institusi pengajian tinggi (IPT). Selain itu, pertandingan Mencipta Poster Pantun Semerah Saga 2.0 kembali semula dengan pelibatan terbuka kepada warganegara Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand serta Brunei yang berumur 18 tahun ke atas.

Forum Pantun 2.0 turut dilaksanakan secara dalam talian melalui media sosial Facebook seperti pada tahun sebelum ini. Ahli panel yang dijemput ialah individu yang berpengalaman dalam bidang pantun. Antaranya seperti Yang Berbahagia Dato’ Haji Chuari Selamat, Roslan Madun dan Shahrizan Ahmad (Abon). Para peserta forum menerima sijil elektronik (e-sijil) dan hadiah bagi yang menjawab soalan kuiz dengan tepat.

Antara peserta yang bertanding pada TEPAK 2022.

 

Bagi Pertandingan Akhir Pantun Menuai Malinja Peringkat IPT, program diadakan secara fizikal bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada 5 Jun 2022. Panel juri yang bertugas menghakimi pertandingan akhir pantun ialah Azmi Md Said, Musazliza Mustan Shir, Adzren Adnan, Abdullah Mahyuddin dan Muaz Abdul Samad. Juru pantun yang mengendalikan pertandingan ialah Yang Berbahagia Dato’ Haji Chuari Selamat.

Seramai enam orang pemantun telah berjaya melayakkan diri pada peringkat akhir, dan menyaksikan Muhammad Hanif Haikal daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman telah dinobatkan sebagai juara. Beliau memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 1000, e-sijil dan cenderamata. Naib juara dan tempat ketiga pula disandang oleh Syuhaira Afiah dan Muhammad Najib daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Tempat keempat dimenangi oleh Nazirul Mubin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala tempat kelima dan keenam disandang oleh Husna Izzati dan Mohd Redzuan daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Muhammad Hanif Haikal daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman telah dinobatkan sebagai juara pertandingan pantun.

Bagi Pertandingan Pantun Tunas Pulut Siding kategori sekolah rendah pula, pemenang pertama ialah Muhammad Zharif. Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 300, e-sijil dan cenderamata. Tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Adam Danish dengan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 200, e-sijil dan cenderamata dan tempat ketiga disandang oleh Muhammad Arif Hizami dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 150, e-sijil dan cenderamata.

 

Selain itu, bagi Pertandingan Pantun Menguning Mahsuri bagi kategori sekolah menengah, Mohd Nabil Ikhwan telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 500, e-sijil dan cenderamata. Naib juara dimenangi oleh Hariz Hakimi dengan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 300, e-sijil dan cenderamata serta tempat ketiga disandang oleh Puteri Irna Syamimi dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 200, e-sijil dan cenderamata. Pemenang sagu hati pula disandang oleh Rabiatul Adawiyah, Adam Irfan dan Nursyafiqah Afika.

Bagi keputusan Pertandingan Mencipta Poster Pantun Semerah Saga, Arif Hadri telah diangkat selaku juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 400, e-sijil dan cenderamata. Naib johan disandang oleh Muhamad Azuan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 300, e-sijil dan cenderamata. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Najib dan sagu hati pula disandang oleh Muhammad Amirul Mukminin dan Nur Fatin Ainina.

Yang Berusaha Puan Sanisah Hashim, Perancang Bahasa daripada Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP.

Sejurus selesai pertandingan, Majlis Penutupan TEPAK 2022 telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Puan Sanisah Hashim, Perancang Bahasa daripada Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan syair oleh Biduan Syair, Dr. Shafaatussara Silahuddin, persembahan sajak, persembahan nyanyian irama Melayu, persembahan tarian tradisional dan persembahan gamelan oleh pelajar Universiti Malaya.

Melabuhkan tirai penganjuran musim kedua, pelibatan dan sambutan yang ditunjukkan para peserta membuktikan bahawa dunia sastera telah berjaya mencungkil bakat generasi muda tanah air dan antarabangsa. Bahkan, temasya ini seolah-olah menjadi tanda seruan kepada pemantun Nusantara untuk meneruskan usaha mengembangkan pergerakan pantun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.