Oleh Mimi Musa
4 Jun 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selama ini kita membesar dengan pelbagai cerita. Sebagai contoh, siri animasi kanak-kanak yang pernah popular pada tahun 90-an, iaitu Keluang Man yang akan membuatkan kita tersenyum apabila mengingatkan aksinya yang berunsurkan humor. Begitu juga apabila menyebut kisah Nabi Muhammad SAW, kebanyakan daripada kita pasti dapat mengingati kisah baginda sejak baginda lahir hingga kewafatan baginda.

Begitulah kekuatan sebuah anekdot atau kisah pendek menurut guru penulisan dan penulis buku Menulis dari Hati Biar Sampai ke Hati, Zamri Mohamad. Beliau berkata demikian dalam satu sesi bertajuk “Menulis Anekdot Menarik Pembaca di Media Sosial”. Sesi tersebut mengisi slot dalam Seminar X: Bermula dengan Apa yang Ada di Tangan pada 4 Jun 2022 di Bilik Kuala Lumpur, World Trade Center (WTC).

Apabila seseorang melihat gambar, dia akan mencari dirinya dahulu. Begitu juga apabila membaca, orang akan mencari sesuatu yang dekat dan berkaitan dengan diri mereka. Maka itu, kita perlu belajar mendengar sebelum menulis.

Dalam sesi selama hampir sejam itu, beliau telah berkongsi dengan peserta yang hadir berkenaan ciri-ciri sebuah cerita atau anekdot yang mudah diingati oleh para pembaca. Menurut beliau, anekdot tersebut mestilah mempunyai faktor homofil atau nilai keserupaan. Hal ini disebabkan pembaca akan berasa dekat dan seolah-olah mereka merupakan sebahagian daripada cerita itu. Selain itu, penulis hendaklah menuliskan situasi, kemahuan dan memasukkan unsur pengalaman diri dalam penulisan anekdot.

Para peserta Seminar X: Bermula dengan Apa yang Ada di Tangan.

Zamri menutup sesi tersebut dengan memberikan pesanan bermakna kepada para penulis. Katanya, “Menulis cerita bukan bertujuan untuk kita mengajar atau membetulkan manusia lain tetapi usaha kita ini sekurang-kurangnya akan membuatkan mereka berfikir. Kerja kita menghulur bukan menghunus.”

Seminar ini berlangsung selama tiga jam bagi mengisi acara menarik sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 selama 10 hari, iaitu bermula pada 3 Jun 2022 dan akan berakhir pada 12 Jun 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.