31 Mei 2022, 13:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dilahirkan di Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor pada 5 Mei 1940, nama Zaharah Nawawi sering kali menjadi sebutan dalam kalangan penulis sama ada penulis mapan mahupun penulis pemula. Semangat juang beliau dalam membimbing penulis pemula dapat dilihat apabila beliau telah menubuhkan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada November 1997. Melalui kelab bimbingan tersebut, beliau telah berjaya melahirkan barisan penulis hebat seperti Faisal Tehrani dan Siti Jasmina Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama sahaja).

Usaha berterusan beliau membimbing dan melahirkan penulis pemula berjaya membuktikan bahawa keperibadian dalam diri setiap penulis pemula mampu dibentuk melalui bimbingan yang berterusan. Hal ini dapat dilihat apabila beliau dilantik menjadi pembimbing tetap dalam bengkel cerpen di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak dari tahun 2004. Berdasarkan bimbingan yang telah diberikan, beliau telah berjaya membimbing penulis pemula bagi menghasilkan lebih 20 buah novel pelbagai tema dalam tempoh enam bulan.

Merentas Laluan (Sumber: Blogspot Zaharah Nawawi)

Selain menjadi pembimbing tetap di DBP, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) bagi tahun 1996 itu turut berjaya menerima Geran Penulis daripada DBP untuk menghasilkan novel penyelidikan yang berjudul Haruman Kencana. Berdasarkan pengalaman dan kejayaan yang diraih, beliau turut pernah menjadi Karyawan Tamu dari tahun 1997 hingga 1998 bagi menyiapkan buku proses kreatifnya, iaitu Merentas Laluan.

Tanggal 31 Mei 2022 merupakan tarikh keramat yang tidak dapat dilupakan dalam dunia sastera dan penulisan tanah air, terutamanya dalam kalangan penulis pemula. Hal ini dikatakan demikian kerana tarikh tersebut menjadi saksi pulangnya figura hebat ini ke negeri abadi. Menurut Akmaliah Alias, penulis pemula yang sedang giat menempa nama dalam dunia penulisan ini turut menzahirkan perasaan dukacita atas pemergian Allahyarhamah yang juga merupakan figura hebat dalam kalangan penulis wanita.

“Kepulangan Allahyarhamah ke negeri abadi telah menyuramkan langit kesusasteraan tanah air. Allahyarhamah meninggalkan tanda nama yang besar dengan pengorbanan yang bukan sedikit dalam melakarkan peta penulisan kreatif, terutamanya dalam kalangan penulis wania,” ujar Akmaliah ketika ditanya sidang editor Tunas Cipta berkaitan dengan berita pemergian Allahyarhamah Zaharah Nawawi pada pagi ini.

Zaharah Nawawi telah kembali ke rahmatullah pada sekitar pukul 7.55 pagi ini di KPJ Rawang, Selangor.
Sidang editor Tunas Cipta menzahirkan perasaan dukacita atas pemergian Allahyarham Zaharah Nawawi ke rahmatullah. Moga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.