31 Mei 2022, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Khairi, ibu keluar sekejap. Makanan ibu dah masak dan letak di dalam peti sejuk. Kalau nak makan, ambil satu. Jangan habiskan semua sekali gus. Makan satu bekas. Lebihnya makan nanti-nanti. Ibu nak pergi kedai sekejap. Jaga diri.” Itu kata-kata terakhir ibu Khairi sebelum keluar rumah dengan beg pakaiannya.

Khairi, seorang kanak-kanak naif berumur enam tahun mengangguk patuh dan melepaskan wanita itu pergi kerana dia yakin dengan perkataan “sekejap” yang diucap oleh ibunya. Dia pasti bahawa ibunya akan pulang. Dia hanya pergi “sekejap”. Mereka akan bertemu semula selepas “sekejap”. Dia percaya dengan kata-kata itu. Tidak. Dia cuba percaya dengan kata-kata itu. Dahulu ayah Khairi juga beritahu dia akan pergi kerja “sekejap”. Namun, dia tidak pulang-pulang selepas itu.

Satu jam bertukar menjadi satu hari dan satu hari berubah menjadi dua hari. Dua hari juga hampir berakhir. Khairi baring merengkot di tengah ruang tamu. Perutnya sakit. Dia makan makanan di dalam peti sejuk, tetapi nasi dari dua hari lepas. Sudah beberapa kali dia ke tandas. Ada bunyi aneh daripada perut kanak-kanak itu. Dia sudah mula lapar kembali. Dia merangkak ke peti sejuk. Tinggal satu bekas makanan sahaja lagi. Kali ni dia tidak mahu makan nasi lagi. Kata ibu, walaupun sakit tetap kena makan. Kalau tidak makan, nanti tiada tenaga. Khairi membuka bekas makanan terakhir dan memakan lauk itu begitu sahaja.

Mana ibu ni? Kata sekejap. Dah dua hari. Ibu, baliklah. Khairi sakit.

Air mata Khairi tumpah juga akhirnya.

Selama ini dia cuba menjadi kuat seperti yang ayah mahukan. Waktu ayah ada dahulu, dia selalu pulang kerja lewat dengan bau masam. Ayah memukul ibu macam ibu memukul Khairi. Ibu menangis tetapi Khairi tidak pernah menangis apabila ibu melakukan perbuatan tersebut . Bukan sebab ibu pukul tidak sakit, tetapi sebab Khairi mahu ibu juga belajar berhenti menangis. Jeritan dan tangisan ibu tiap-tiap malam selepas ayah balik menyebabkan Khairi menjadi takut. Lebih takut daripada dipukul oleh ibu. Kenapa? Khairi bukan tidak takut, tetapi dia kurang takut sebab dia tahu ibu pasti akan minta maaf selepas memukulnya. Ibu menyapu ubat sambil menangis dan Khairi mengusap rambut ibu. Lagi pun bukan selalu ibu memukul Khairi, ibu cuma memukul apabila ayah tidak balik ke rumah sahaja. Ibu cakap ayah ada perempuan lain. Mungkin sebab itu ibu memukul Khairi apabila ayah tidak balik ke rumah.

Perut Khairi sudah tidak sakit selepas masuk hari keempat ibu tidak pulang. Mungkin sebab Khairi tidak makan apa-apa dan hanya minum sedikit air. Dia juga sudah tidak kerap ke tandas. Namun Khairi lapar. Tiada apa-apa lagi yang boleh dimakan. Peti sejuk sudah kosong. Tiap kali malam tiba dia harus memanjat kerusi untuk membuka lampu. Tiap kali dia tidak dapat tidur dengan tenang. Dia tidak takut raksasa di bawah katil. Khairi takut dia tidak perasan ibu pulang.

Hari kelima, ibu masih belum pulang. Khairi lapar. Dia melihat kotak tisu di tengah ruang tamu. Satu tisu ditarik dan digumpal. Memori di dalam kotak hati Khairi membawanya ke suatu masa dahulu pada saat ibu dan ayah masih ketawa. Pada saat ayah tidak pernah pukul ibu. Pada saat mereka mengelilingi unggun api di tepi pantai. Waktu itu langit kelihatan cerah dengan cahaya bulan dan bintang berselerak memenuhi angkasa raya. Gula-gula marshmallow putih tercucuk di hujung kayu dan ayah memainkan muzik daripada gitarnya.

“Gula-gula Marshmallow… .” Kedengaran suara kecil Khairi.

Dia memasukkan tisu ke dalam mulut. Kunyah dan kunyah. Ah, terlalu kering! Dia menelannya. Sekali lagi tangan Khairi menggumpal tisu. Kali ini dia bangun dan pergi ke singki. Air dialirkan pada tisu tadi. Khairi memasukkan ke dalam mulut. Payau air paip, diiringi dengan kelat pulpa kertas tisu menerjah deria rasa Khairi. Minda kecilnya menginterpretasi apa-apa yang dirasakan namun lain jiwa Khairi berkata. “Gula-gula marshmallow manis. Gula-gula marshmallow manis. Gula-gula marshmallow manis.”

Hari ini sudah masuk hari tujuh. Ibu masih belum pulang. Tisu juga sudah habis. Ibu selalu berpesan jangan main di luar dan duduk di dalam rumah sahaja. Khairi terpaksa melanggar janji itu. Dia keluar dari rumah dan berjalan di koridor flat kediaman mereka. Dia tidak mengenal orang di sini. Mereka baru sahaja pindah sekitar tiga minggu yang lalu sebab ibu sudah tidak punya wang. Ayah juga tidak pulang-pulang. Ibu kata mereka beruntung sebab tidak perlu membayar deposit sebab ibu kenal tuan rumah ini.

Khairi tidak punya hala tuju dan tidak ada pula yang menegurnya. Orang di sini bercakap menggunakan bahasa yang Khairi idtak faham. Nak kata Mandarin, tidak juga. Mei Ling, rakan tadika Khairi tidak bercakap seperti itu. Nak kata Tamil, macam bukan. Pak Cik Daren, jiran lama Khairi juga tidak bercakap macam itu. Dia menuruni tangga. Ada beberapa orang dewasa tetapi tidak tua sedang berbual dan menghulur satu paket serbuk putih di situ. Salah seorangnya menghisap rokok sambil tersenyum sinis. Seorang lagi mengeluarkan wang dan diberikan kepada si perokok. Khairi hanya memerhati. Serbuk putih tu makanan bukan?

Apa tengok-tengok? Pergi main jauh-jauh!

Khairi sambung menuruni tangga apabila dijerkah begitu. Ibu pesan tidak elok tenung orang lama-lama. Namun Khairi lapar. Kalau serbuk putih tu makanan, Khairi cuma nak minta sikit sahaja. Sampai ke tingkat paling bawah, dia melihat ada sekumpulan kanak-kanak sedang menendang bola hijau ke sana ke mari. Bola hijau itu melantun ke kiri dan kanan. Bola itu terlihat ringan.

“Aduh!” Bola tadi melayang ke muka Khairi. Sakit juga. Seorang budak lelaki berlari mendekati Khairi.

“Maaf. Aku tak sengaja. Baru pindah sini?” Khairi mengangguk lemah.

“Oh, patutlah tak pernah nampak kamu sebelum ni? Nak main sekali?” Khairi menggeleng. Budak itu mengangguk faham, lantas mengambil bola di kaki Khairi dan berpaling mahu kembali bermain bersama dengan yang lain. Tangan Khairi segera menarik bajunya.

“Khairi nak makan. Khairi lapar.” Budak itu memandang Khairi aneh. Namun, dia segera baling bola tadi kepada rakan-rakannya dan mengajak Khairi jalan. Mereka menaiki tangga.

“Nama aku Amar. Nama kamu Khairi?” Khairi angguk mengiyakan pertanyaan itu.

“Mak ayah kamu mana?” Dia paut bahu Khairi.

“Ayah dah lama tak balik. Ibu dah seminggu tak balik.” Jawapan Khairi menyebabkan Amar terdiam dan berhenti melangkah seketika. Selang beberapa saat, mereka kembali berjalan.

“Kamu dah berapa lama tak mandi?” Dari tadi Amar menghidu bau semacam orang tidak mandi.

“Seminggu,” jawab Khairi ringkas.

“Kamu makan apa di rumah tu?” Amar membawa Khairi ke satu unit di tingkat tiga. Mereka berdiri di hadapan pintu.

“Mula-mula ibu ada tinggalkan makanan di dalam peti sejuk. Lepas dah habis, saya makan tisu.”

Dia tidak mahu berbohong mengatakan dia makan gula-gula marshmallow dengan orang lain. Berbohong itu dosa, kata ibu. Cukuplah dia membohong dirinya sahaja. Amar mengeluh mendengar jawapan Khairi. Dia membuka pintu unit 304 dan masuk perlahan-lahan. Setelah dipastikan tiada orang di dalam rumah, dia mengisyaratkan Khairi supaya ikut dengannya. Mereka terus ke dapur.

“Kamu pergi mandi. Aku ambilkan baju dengan gorengkan telur. Guna sabun. Busuklah kamu ni!”

Khairi patuh. Lepas mandi, Amar menghulurkan tuala dan pakaian melalui atas pintu bilik air. Baju dan seluar itu agak besar pada badan Khairi tetapi tidak mengapa sebab Khairi sudah kembali selesa dan berbau wangi. Dia keluar dari bilik mandi bersama dengan pakaian lamanya. Amar mengarahkan Khairi agar duduk di meja makan sementara tunggu dia menggoreng telur.

“Umur kamu berapa tahun? Aku sembilan.” Amar bertanya sambil meletakkan pinggan yang telah berisi nasi, kicap, dan telur goreng itu di hadapan Khairi. Bau harum daripada pinggan itu membuatkan Khairi lupa menjawab pertanyaan Amar. Dia segera melahap nasi di atas pinggan itu.

“Pelan-pelan. Nanti tersedak. Kamu dengar tak aku tanya ni?” Amar menuangkan air ke dalam gelas untuk Khairi.

“Maaf. Khairi lapar. Sedap sangat Amar masak. Umur Khairi enam tahun.” Khairi minum air yang baru dituangkan tadi.

“Telur goreng saja pun. Kamu tak sekolah ke?” Amar cuba mencungkil cerita hidup Khairi.

“Dulu sekolah. Sekarang dah tak. Ibu tak ada duit nak bayar yuran bulan-bulan,” jawab Khairi.

“Sama… . Cuma aku memang dari dulu tak sekolah. Huruf pun aku tak kenal,” kata Amar selamba.

Amar duduk sini seorang?

Pintu masuk rumah tiba-tiba dibuka dari luar. Seorang wanita berbaju ketat dan seluar pendek masuk ke dalam rumah bersama dengan seorang lelaki warga asing yang sangat besar. Mereka terus masuk ke dalam salah satu bilik dan menghempas pintu sambil ketawa-ketawa.

“Tak. Aku duduk dengan perempuan tu. Mak aku, dan bermacam-macam jenis lelaki. Kamu nak lagi?” Amar memandang mata Khairi. Dia mengangguk.

Lepas habis pinggan ketiga. Khairi dan Amar keluar dari rumah dan bermain di kolong blok. Khairi mengajar Amar huruf A hingga Z. Amar pula mengajar Khairi tentang bagaimana dalam kehidupan kadang-kadang kita tidak boleh bergantung pada orang dewasa. Mereka juga manusia dan punya masalah. Kadang-kadang masalah terlalu menghimpit memaksa mereka meninggalkan perkara yang kurang penting demi memperbaiki kehidupan. Kadang-kadang perkara yang kurang penting itu ialah kanak-kanak seperti mereka. Amar menyuruh Khairi pulang ke rumahnya dan esok mereka akan bertemu lagi. Namun Khairi takut. Khairi takut Amar menipu seperti ibunya. Mereka pulang apabila langit sudah gelap.

“Kamu pergi mana? Dah gelap baru tahu nak balik. Ni anak siapa pula kamu bawa balik?” Mak Amar bertanya sebaik sahaja dia membuka pintu.

“Ni Khairi. Ibu dia dah seminggu tak balik. Boleh tak Khairi duduk dengan kita?” Walaupun Amar sudah tahu jawapan yang akan diterima namun, dia tetap mahu mencuba. Walau bagaimanapun reaksi mak membuatkan Amar sedikit keliru. Mak hanya diam seketika sebelum melambaikan tangannya menyuruh Amar dan Khairi duduk di sofa.

“Mak kamu pergi mana?” Dia silang kaki dan membongkokkan sedikit badan memandang Khairi.

“Ibu kata nak pergi kedai sekejap. Tapi dah seminggu ibu tak balik-balik.” Jawapan Khairi menyebabkan mak Amar tergaru-garu sekejap.

“Aku rasa mak kamu dah tinggalkan kamu ni. Bapak kamu mana?” Dia bertanya lagi.

“Ayah dah lama tak balik rumah. Tinggal saya dengan ibu.” Mak Amar mengeluh dengar penjelasan Khairi. Dia menggeleng beberapa kali.

Wujud rupanya manusia macam ni. Eh Amar, kamu tengok tu. Walaupun aku ni tak baik mana, tapi aku tak pernah tinggalkan kamu kan? Esok, kita bawa budak ni pergi jumpa orang kebajikan masyarakat. Aku tak mampu nak jaga dua orang budak. Kamu pun aku tak mampu nak sekolahkan. Malam ni kamu bawa dia tidur dengan kamu.

Dia masuk ke dalam bilik dan meninggalkan Khairi dengan Amar di ruang tamu. Mendengar keputusan itu, Khairi jadi sedikit takut. Dia memegang hujung baju Amar. Mereka berjalan ke bilik tidur Amar dan berbaring di atas tilam yang sudah lusuh sarungnya itu. Mereka termenung memandang siling. Khairi masih tidak melepaskan hujung baju Amar.

“Amar nak tinggalkan Khairi ke?”

“Kamu jangan takut. Orang tu akan jaga kamu. Aku pun rasa tempat tu akan lagi baik untuk kamu dari di sini,” kata Amar tanpa mengalihkan pandangannya daripada siling.

“Kalau tempat tu lagi baik, Amar nak ikut Khairi?” Soalan itu membuatkan Amar terdiam seketika.

“Tak boleh. Aku tak boleh ikut kamu. Aku kena tinggal dengan mak. Walaupun aku tak suka tempat ni, tak suka kerja mak, dan aku tahu mak tak suka aku pun sebenarnya, tapi aku tak boleh tinggalkan dia.” Suara Amar sedikit tersangkut di kerongkong.

“Kenapa?” Khairi tak faham. Kalau Amar tidak suka tempat ini kenapa dia harus terus tinggal di sini? Amar berpaling menghadap Khairi dan menatap tepat ke matanya. Tatapan itu tembus sampai ke hati Khairi.

“Sebab dia tak pernah tinggalkan aku walaupun dia tak suka kewujudan aku.”

Khairi terdiam.

Kadang-kadang dalam hidup ni kita kena buat pilihan dan tak semua pilihan itu menjamin kebahagiaan. Kita kena pilih apa-apa yang paling penting untuk kita. Kita cuma mampu berharap pilihan yang kita buat tu adalah betul.

Khairi terkenang akan ibunya. Adakah ibu juga membuat pilihan yang sama macam Amar? Adakah ibu juga tidak suka untuk tinggalkan Khairi, tetapi ibu terpaksa membuat pilihan itu sebab ada yang lebih penting lagi? Adakah ibu juga berharap yang ibu buat pilihan yang betul untuk meninggalkan Khairi? Kalau begitu … Khairi tidak marah kepada ibu. Khairi tidak kisah kalau ibu tidak mahu berjumpa Khairi pun kerana pasti ada perkara yang lebih penting lagi berbanding dengan Khairi buat ibu.

“Apa-apa pun, aku yakin suatu hari nanti, kamu akan datang cari aku lagi dekat sini kan?”

“Khairi janji. Khairi akan kembali semula untuk Amar. Khairi tak tahu sekejap atau lama tapi Khairi akan datang lagi. Amar pun kena janji jangan pergi mana-mana tau.”

Dengan itu, jari kelingking dua anak kecil naif bertaut dengan satu senyuman dan janji. Dua anak kecil yang sudah dibebani dengan dunia dan akan terus melangkah demi janji yang mengikat mereka. Dua anak kecil yang terpisah atas paksa namun merelakan pemergian itu kerana ada janji yang menghubungkan mereka. Selama mana waktu berputar dan sejauh mana melangkah, janji yang tersemat di hati telah mengunci jiwa mereka.

Khairi membesar di sebuah rumah anak yatim di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hidupnya sederhana dan ceria bersama dengan penghuni yang lain. Namun tidak pernah sekali pun dia melupakan Amar dan berharap betapa baiknya kalau Amar juga ada di situ. Tentu sahaja dia masih ingat dengan janji yang pernah diucap dahulu. Dia pernah menceritakan hal tersebut kepada penjaga rumah itu yang dipanggil Mama apabila ditanya kenapa dia asyik bercerita tentang Amar. Mama kata hanya diri seseorang itu yang boleh mengubah nasibnya sendiri. Mama cakap kalau Khairi belajar pandai-pandai dan dapat kerja bagus, Khairi boleh mencari Amar lagi. Jadi, itu yang Khairi buat.

Lepas empat tahun belajar di Amerika dengan tajaan dan jaminan pekerjaan apabila pulang nanti, Khairi kembali ke tanah air. Dia terus menuju ke flat Amar sebaik sahaja dia mendarat di tanah air. Sepanjang perjalanan hatinya berdebar. Dia tidak tahu adakah Amar masih di situ. Dari kecil lagi dia sering mengirimkan surat ke alamat Amar. Mak Amar yang bagi alamat tersebut sebelum dia diambil oleh orang Jabatan Kebajikan Masyarakat dahulu. Bahkan, hingga kini dia masih mengirimkan surat untuk Amar. Namun surat tersebut tidak pernah berbalas walau sekali pun. Saat dia keluar dari teksi dan memandang bangunan enam tingkat itu, tiada satu pun yang berubah. Masih dipenuhi warga asing, malah mungkin sudah bertambah jumlahnya. Segala memori ketika dia berumur enam tahun menjengah di ruang ingatannya. Demi janji yang termaterai, dia melangkah menuju ke tingkat tiga. Dia masih ingat setiap langkah tapak kaki kecilnya di sini dahulu. Di hadapan unit 304 Khairi menarik nafas dalam-dalam sebelum mengetuk pintu itu. Seorang wanita tua terbatuk-batuk membuka pintu. Dia kenal anak muda yang berdiri di hadapannya itu. Berbutir air mata gugur perlahan.

“Amar. Dia dah lama tak ada, Khairi. Banyak benda berlaku lepas kamu pergi. Aku kahwin dengan lelaki asing. Dia janji nak jaga kami dan aku tak perlu buat kerja kotor lagi. Tapi dia seksa aku. Amar, budak baik tu. Selalu lawan balik. Teruk dia kena. Namun dia masih lindungi dan bertahan dengan aku. Satu hari tu, mungkin dia dah tak tahan. Dia tikam bahu jantan tak guna tu. Dia tikam Amar balik, Khairi. Semua ni salah aku.”

Pandangan mata mak Amar kosong. Tangannya mengengam erat tempat duduk sofa lusuh yang juga masih tak berubah sejak kali terakhir Khairi di sini.

“Amar. Dia belajar membaca dan menulis daripada surat kamu. Dia ada balas, tapi tak pernah berkirim. Bila aku tanya kenapa. Dia cakap dia malu dengan tulisan dia. Dia selalu cakap, kalau dia tak sempat jumpa kamu, surat ni akan ada untuk kamu. Dulu, aku tak faham. Sekarang, aku dah faham.”

Mak Amar menunjukkan puluhan surat tersusun rapi di tepi tilam bilik tidur anaknya. Surat yang Khairi kirim selama ini juga ada di situ. Hanya sebahagian sudah berbuka. Amar meninggal pada usia 14 tahun. Khairi terpandang dia dan Amar berbaring di tilam itu dengan kelingking bertaut.

Khairi terlambat, Amar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.