Oleh Lim Wei Wen
25 Mei 2022, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan perkembangan ilmu sains dan teknologi, penulisan kreatif yang bertemakan fiksyen sains sering kali dijadikan sebagai tema bagi kebanyakan penulis ketika menggarap sesebuah karya. Proses penulisan yang mengadunkan konsep sains misalnya teknologi robotik, sains forensik, alam semesta dan sebagainya ke dalam karya yang dihasilkan dapat meningkatkan jumlah pembaca yang ingin menelaah genre yang berlainan.

Sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada pelajar, terutamanya bagi mereka yang ingin melibatkan diri dalam bidang penulisan fiksyen sains, maka sebuah webinar penulisan kreatif fiksyen sains telah berlangsung baru-baru ini secara dalam talian. Program tersebut dirasmikan oleh Ts. ChM. Dr. Faizuan bin Abdullah selaku penasihat program. Sesi perkongsian tersebut turut menampilkan Nisah Haron yang merupakan penulis novel Malaysia dan Mohd Faizal Aziz selaku pengasas dan ketua editor Majalah Sains.

Menariknya, penyertaan dalam penulisan kreatif fiksyen sains ini turut mendapat sambutan dan minat daripada penulis yang berbeza latar belakang pengajian. Bukan sekadar itu sahaja, penulisan kreatif fiksyen sains juga dilihat sebagai pemangkin kepada pemikiran kreatif dan kritis seseorang penulis. Walau bagaimanapun, kekurangan pendedahan mengenai proses memulakan penulisan kerap menjadi kekangan terbesar dalam kalangan pelajar terutamanya dalam genre fiksyen sains apabila pengetahuan mengenai ilmu sains amat diperlukan.

Program tersebut dimulakan dengan pembentangan daripada Nisah Haron mengenai pengenalan kepada fiksyen sains. Perkongsian diteruskan dengan pengenalan kepada fiksyen spekulatif, fantasi, futuristik, satira dan paranornal. Proses perangkaan dalam penulisan fiksyen sains turut diperkenalkan kepada para peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah. Mengulas dengan lebih lanjut, beliau turut mengingatkan agar para peserta tidak meminggirkan sudut logik meskipun cerita yang ditulis berasal daripada bayangan dan imaginasi pengkarya.

Sebelum menghasilkan karya dalam genre fiksyen sains, penulis perlu memperbanyak membaca karya berkaitan dengan genre tersebut dan juga sentiasa mengaplikasikan teknik 5W1H, iaitu apa, siapa, kenapa, di mana, bila dan bagaimana.

Sesi perkongsian kemudian diteruskan dengan pembentangan daripada Mohd Faizal bin Aziz iaitu “Penulisan Bidang STEM untuk Masyarakat”. Antara perkara yang digariskan oleh beliau termasuklah teknik penulisan rencana popular sains, persediaan untuk menulis, pedoman menulis serta memperkenalkan beberapa platform penulisan kepada peserta bengkel..

Bagi memupuk semangat penghasilan karya fiksyen sains dalam bahasa Melayu, sebuah pertandingan penulisan kreatif turut diadakan yang bermula dari 22 hingga 28 Mei 2022. Para peserta yang menyertai webinar tersebut amat digalakkan untuk menyertai pertandingan tersebut setelah mendapat pendedahan bagi proses penulisan karya fiksyen sains. Pertandingan yang terbuka untuk para pelajar sekolah menengah ini diharapkan mampu menarik minat mereka bagi menghasilkan karya penulisan dalam genre fiksyen sains. Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.