Oleh Firdaus Mul
19 Mei 2022, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap penulis mempunyai keinginan, dan keinginan yang paling nyata adalah menerbitkan hasil penulisan mereka, sama ada yang berbentuk karya kreatif ataupun bukan kreatif. Pada masa yang sama, ada juga penulis yang sekadar mencuba nasib dalam menghasilkan penulisan, dan kemudian menghantar penulisan tersebut ke rumah penerbitan bagi tujuan penilaian, seterusnya memasang impian agar tulisannya disiarkan atau diterbitkan.

Setiap penulis menginginkan karya nukilannya dibaca oleh pembaca.

Kehadiran penulis baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan juga memperlihatkan golongan tersebut mempunyai gaya yang beraneka ragam dalam mempersembahkan karya mereka. Ada yang beradaptasi daripada pengalaman, hasil pembacaan, pemikiran alaf moden dan sebagainya. Hal yang berlaku ini memperlihatkan perkembangan yang positif dalam mengukur kelangsungan dunia penulisan di negara ini. Akan tetapi, seiring dengan perkembangan ini juga, wujud beberapa tanggapan ataupun persepsi yang negatif dan tidak sihat terhadap sidang editor yang bertugas di rumah penerbitan. Maka itu, bertitik tolak daripada isu ini, penulis paparkan beberapa perkara penting yang selalu diabaikan oleh golongan penulis baharu.

Pertama sekali, setiap penulis yang mahukan penulisannya disiarkan atau diterbitkan, mereka perlu memahami tuntutan sesebuah rumah penerbitan. Hal ini demikian kerana walaupun penulis mempunyai pemikiran yang kritis, menampilkan karya yang ada gagasan atau wawasan, serta karya yang sarat dengan mesej yang ingin diutarakan, namun setiap penulisannya perlulah selari dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh rumah penerbitan tersebut, baik dari aspek kandungan penulisan, format asas ataupun gaya penulisan.

Seiring dengan penjelasan ini, timbul beberapa kritikan dan keluhan bahawasanya usaha penghasilan karya mengikut jalur yang ditetapkan oleh sesebuah rumah penerbitan arus perdana adalah tindakan yang tidak wajar, mengekang kebebasan berkarya dan membunuh kreativiti seseorang pengarang. Kritikan dan keluhan ini merupakan suatu tindakan yang tidak berasas dan wajar disirnakan dari kotak pemikiran semua penulis baharu. Hal ini demikiran kerana setiap rumah penerbitan di negara ini termaktub dengan matlamat dan piawaiannya tersendiri, hatta matlamat dan piawaian ini menjadi satu penanda aras dan garis panduan yang wajib dicapai dan dipatuhi.

Kebebasan berkarya juga diberikan kepada semua penulis, baik penulis muda ataupun penulis yang sudah lanjut usia. Namun begitu, penulisan tersebut tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan atau perkara yang mengundang sensitiviti dan mengingkari piawaian yang telah ditetapkan oleh sesebuah rumah penerbitan. Maka itu, sesungguhnya tidak wujud isu mengekang kebebasan berkarya dan cubaan membunuh kreativiti seseorang pengarang. Bahkan, setiap rumah penerbitan arus perdana akan melantik sidang editor yang berautoriti untuk menilai hasil penulisan yang dikirimkan kepada rumah penerbitan tersebut.

Hal ini selaras dengan hasrat mencapai matlamat dan piawaian sesebuah rumah penerbitan, dan pada masa yang sama menjaga kualiti dan kuantiti hasil penulisan yang bakal diterbitkan atau disiarkan, melalui medium cetakan ataupun secara digital. Bermaksud, sekiranya hasil penulisan karya kreatif atau bukan kreatif seseorang penulis tidak diterbitkan/disiarkan, kegagalan tersebut bukanlah disebabkan oleh kesalahan sidang editor ataupun matlamat dan piawaian yang telah ditetapkan oleh sesebuah rumah penerbitan. Akan tetapi, perkara tersebut berbalik pada penulisan yang dikirimkan oleh seorang penulis, baik dari segi kandungannya, formatnya ataupun gaya penulisannya. Jelaslah bahawa keutamaan memahami tuntutan sesebuah rumah penerbitan arus perdana perlulah diberikan penekanan oleh setiap penulis, tanpa menuding jari atau mencetuskan provokasi terhadap piawaian yang telah ditetapkan dan sidang editor yang menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Setiap rumah penerbitan menjaga kualiti dan kuantiti karya yang bakal diterbitkan atau disiarkan, melalui medium cetakan ataupun secara digital.

Yang kedua, setiap penulis perlu sentiasa meningkatkan kualiti atau mutu penulisan, baik penulisan kreatif ataupun bukan kreatif. Proses menulis bukan sekadar menulis seperti melepaskan batuk di tangga dan mencurahkan garam ke laut. Hal ini demikian kerana menerusi pengamatan, penulis mendapati bahawa kelompok penulis baharu terlalu mudah berpuas hati dengan hasil penulisan mereka. Kesannya, hasil penulisan mereka tidak pernah berjaya menembusi penilaian sidang editor, terutamanya penulis baharu yang menghasilkan karya eceran.

Penulis baharu tidak mengkaji, menekuni dan membaiki kelemahan yang ada pada hasil penulisannya, terutama aspek yang menyebabkan karyanya tidak disiarkan atau diterbitkan. Kebiasaannya, penulis akan menuding jari dan membentuk prasangka terhadap kewibawaan sidang editor. Puluhan, ratusan bahkan ribuan penulisan yang dihasilkan bukanlah suatu jaminan ataupun pencapaian yang menandakan seseorang penulis tersebut berusaha meningkatkan kualiti penulisannya, jika akhirnya tidak ada satu pun penulisan tersebut yang disiarkan ataupun diterbitkan.

Sebagai contoh, penulis menghantar sajak kepada sidang editor Tunas Cipta, namun sajak tersebut tidak disiarkan atau diterbitkan. Adakah penulis harus menyalahkan atau memarahi sidang editor Tunas Cipta kerana tidak menerbitkan karya tersebut, walaupun telah melalui proses semakan dan penilaian? Tidak seharusnya penulis menyalahkan sidang editor, dan sepatutnya apa-apa kesalahan, kekurangan atau kesilapan dalam karya itu dipertanggungjawabkan kepada penulis. Hatta kerana mutunya tidak mencapai piawaian yang telah ditetapkan setelah melalui proses penilaian sidang editor.

Bertitik tolak daripada permasalahan ini, penyelesaian yang terbaik dan lebih berkesan haruslah bermula daripada diri penulis. Penulis perlu mengambil iktibar dan ikhtiar untuk terus berusaha meningkatkan mutu penulisannya. Buktinya, selepas penulis mengkaji apa kelemahan karya dan mencari sebab mengapa karya itu tidak dipilih untuk disiarkan ataupun diterbitkan, penulis terus membaiki mutu penulisan. Akhirnya, penulisan yang telah dibuat penambahbaikan itu berjaya disiarkan dalam majalah.

Jadi sekali lagi, di mana letaknya kesalahan sidang editor dan piawaian rumah penerbitan arus perdana? Oleh hal yang demikian, kepada semua penulis baharu tidak kiralah yang muda ataupun yang sudah lanjut usia, bersihkan halaman sendiri dahulu, baru bersihkan halaman orang. Jangan disebabkan berasa kecewa kerana karya tidak menjadi pilihan sidang editor untuk disiarkan maka penulis bertindak menuding jari dengan menyalahkan editor yang melakukan kerjanya dengan baik. Bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang.

Menjadi seorang penulis bukan semata-mata melihat pada kemahiran menyusun kata, frasa, ataupun ayat untuk membentuk kesatuan idea dan mencapai estetika, tetapi jiwanya perlu besar dan emosinya perlu terkawal. Maka itu, usaha untuk meningkatkan kualiti penulisan merupakan suatu cabaran berterusan buat semua penulis baharu bagi mendapat tempat untuk meletakkan karyanya di ruang rumah penerbitan arus perdana. Berpeganglah pada prinsip sehari selembar benang, lama-lama pasti menjadi kain.

Yang ketiga, jangan sesekali merasakan diri sebagai penulis yang lebih bijak dan lebih hebat daripada sidang editor. Hal ini demikian kerana tanggapan merasakan diri lebih bijak dan hebat daripada sidang editor akhirnya memberikan kesan secara tidak langsung kepada hasil penulisan. Buktinya, hasil penulisan tersebut sudah tidak lagi menjadi hasil penulisan yang boleh dikategorikan sebagai sebuah bentuk pemikiran kerana di dalamnya penuh rempah dan perencah kegoan seorang manusia. Jangan sampai hasil penulisan itu mereput di dalam tempayan milik penulis.

Sidang editor merupakan barisan petugas yang paling penting di rumah penerbitan. Tanpa sidang editor, akan tempanglah dan terbantutlah perkembangan sesebuah rumah penerbitan Jauhari juga yang mengenal manikam, yang bermaksud sidang editor kebiasaannya akan dianggotai oleh individu yang berpengalaman luas dalam menilai manuskrip yang dihantar oleh penulis. Bahkan yang lebih mengagumkan, ada editor yang merupakan seorang penulis dan pengkritik yang berkaliber. Hampir setiap hari sidang editor menerima puluhan, ratusan bahkan ada yang mencecah ribuan manuskrip untuk dinilai bagi tujuan penyiaran atau penerbitan. Maka itu, kewibaan, kebijaksanaan dan kehebatan yang dimiliki oleh sidang editor Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, tidak wajar diperkotak-katikan.

Bayangkan sahaja, hasil penulisan sasterawan negara juga melalui proses penilaian dan pemurnian sidang editor. Jadi, bagaimana pula dengan karya oleh penulis yang usianya setahun jagung, yang menolak dan menidakkan penilaian sidang editor? Tepuk dada tanya selera. Manusia di dunia ini memang tidak lari daripada sifat ego. Akan tetapi penting, harus diingat bahawa rasa ego ini boleh dikawal dengan akal yang diberikan oleh Tuhan. Bukan dikawal dengan nafsu sehingga mendorong kepada kesesatan. Bahkan, tindakan memperlekehkan kewibawaan sidang editor ialah suatu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penulis.

Jangan hanya disebabkan hasil penulisan tidak diterbitkan atau disiarkan, penulis mengambil jalan mudah bersalut emosi dengan bertindak mencetuskan tanggapan atau persepsi tidak sihat dan tidak adil terhadap sidang editor. Jika seseorang wanita dikenali kerana kecantikannya, maka seseorang penulis pula dikenali dengan adab dan kesopanannya. Jika adab dan kesopanan seseorang penulis telah luntur, maka apa lagi yang tinggal dalam hasil penulisannya?

Tuntasnya, jika bercita-cita menjadi seorang penulis dan berhasrat mahu menerbitkan karya secara eceran ataupun dalam bentuk buku dengan mana-mana rumah penerbitan, penulis perlu memahami, memperakui dan menekuni perkara yang menjadi keutamaannya. Setiap keutamaan yang dinyatakan dalam garis panduan rumah penerbitan arus perdana,  dan juga proses penilaian sidang editor bukan suatu proses yang aneh dan merumitkan. Jauh sekali sesuatu yang sia-sia, ataupun cubaan untuk membina tembok batasan yang memisahkan penulis baharu dengan rumah penerbitan tersebut. Akan tetapi, garis panduan tersebut menjadi pedoman, hatta diwujudkan dengan justifikasi yang kukuh.

Begitu juga dengan sikap dan etika seseorang penulis. Jangan disebabkan emosi dan nafsu yang membelenggu diri, penulis cuba menconteng arang pada wajah rumah penerbitan dengan contengan provokasi, fitnah, kritikan dan keluhan tidak berasas dan bertatasusila. Apatah lagi dengan tindakan mencabar dan memperkotak-katikkan kewibawaan sidang editor. Sidang editor di rumah penerbitan umpama seorang guru, dan penulis ialah pelajarnya. Ketika adab terhadap terhadap guru sudah hilang, maka yang tinggal hanya serpihan ilmu yang tidak berkat tersemat di dada umpama  air beriak tanda tak dalam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.