16 Mei 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  –  “Guru ibarat lilin yang setia menemani mereka yang memerlukan terangnya cahaya ketika berada dalam kegelapan,” demikianlah takrifan yang merujuk betapa besarnya pengorbanan seorang insan yang bergelar guru. Guru tidak semestinya individu yang mengajar di dalam bilik darjah semata-mata, namun mereka juga mungkin individu yang memberikan bimbingan secara tidak formal berdasarkan kemahiran masing-masing.

Peranan guru turut dilihat dalam usaha untuk melahirkan penulis, terutamanya penulis pemula yang sedang mencari hala tuju mereka. Oleh itu, sidang editor Tunas Cipta telah menemu bual beberapa orang penulis pemula yang semakin giat menempa nama dalam bidang sastera dan penulisan. Antaranya ialah Lim Wei Wen, seorang penulis karya kreatif yang mendapat pendedahan tentang penulisan kreatif seperti puisi dan cerpen ketika beliau berada di sekolah menengah lagi.

Lim Wei Wen.

Menurut Lim, guru beliau iaitu Roslan Hassan telah memainkan peranan dengan sentiasa memberikan sokongan kepada beliau untuk menghasilkan karya yang baik. “Masih segar dalam ingatan saya iaitu apabila saya sering diminta untuk menulis dua rangkap pantun dalam setiap karangan yang dihasilkan. Adakala pantun yang dihasilkan tidak begitu indah, namun beliau telah membantu saya untuk memperbaik pantun tersebut,” tambah penulis berbangsa Cina tersebut yang kini semakin aktif dalam bidang karya kreatif.

Lim berkata,

Tanpa guru, saya hanyalah sebuah perahu yang mampu terapung, tetapi tidak berlayar.

Akmaliah Alias.

Akmaliah Alias yang juga merupakan penerima anugerah Hadiah Sastera Darul Iman berkata, “Guru merupakan pembimbing sepanjang zaman, memperbetul denai kehidupan, mensejahterakan keperibadian dan memperkasakan akal budi setiap warga.” Pelibatan beliau yang juga merupakan alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) 2013 ini telah menjadikan bapa beliau, iaitu Alias Ismail sebagai guru yang bertanggungjawab untuk membimbing beliau dalam melatih diri untuk menjadi penulis yang baik.

Solleh Daim.

Peranan individu yang memberikan inspirasi tidak terbatas dalam bidang penulisan semata-mata. Hal ini dapat dilihat dengan perkongsian yang diberikan oleh Solleh Daim, iaitu penggiat BookTube yang berkata, “Leonie, iaitu seorang BookTube dari Belanda itu telah memberikan inspirasi kepada saya untuk berkongsi kandungan buku yang dibaca melalui platform YouTube sebagai usaha untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat.”

Hakikatnya, jasa dan pengorbanan individu yang bertanggungjawab untuk membimbing dan memberikan inspirasi kepada penulis pemula amat besar. Walaupun jasa mereka belum lagi kelihatan, namun hasilnya akan dapat dilihat apabila penulis permula tersebut berjaya menghasilkan karya yang berkualiti dan sekali gus mampu menempa nama setanding dengan penulis mapan yang lain.

Sidang editor Tunas Cipta ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar guru.

Terima kasih, cikgu!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.