Oleh Ilham Yusuf
16 Mei 2022, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Guru pada tahun ini semestinya terasa sangat istimewa! Kalau sebelum ini, penulis sekadar menyampaikan ucapan dan doa kepada guru-guru penulis, tetapi kini penulis pula yang menerima ucapan dan doa sebegitu selepas mula berkhidmat sebagai pendidik di sekolah pedalaman yang terletak di Bumi Kenyalang. Awalnya, apabila dijemput untuk berkongsi tentang perjalanan dalam dunia penulisan, penulis berasa berbelah bahagi untuk meneruskan langkah ini kerana menyedari bahawa pengalaman peribadi yang masih keruh. Namun penulis gagahkan untuk menyahut jemputan itu kerana mahu dedikasikan tulisan sederhana ini kepada semua guru penulis dalam dunia penulisan ini.

Penulis kini sedang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Pandan, Sebauh, Bintulu, Sarawak.

Memetik ilham daripada ungkapan oleh Cikgu Fadli Salleh dalam bab pertama bukunya, Cikgu Kelas Sebelah, iaitu walaupun getir beban menghenyak “si badut”, ia akan tetap bertungkus-lumus setiap hari untuk melukiskan senyuman kanak-kanak supaya terus gembira. Badut? Barangkali ia kedengaran agak pelik, namun demikianlah penulis yang juga suka menggelarkan dirinya sendiri sebagai seorang “badut” itu. Siapakah sebenarnya “badut” yang dimaksudkan itu? Dialah seorang guru yang bangun setiap pagi dengan cita-cita agung untuk memandaikan anak bangsa. Terima kasih cikgu!

Mengimbas kembali bilah waktu, iaitu pada pertengahan bulan tahun 2020 itu, iaitu sekitar tempoh jeriji besi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih utuh, penulis telah mula bersiar-siar di gelanggang sastera kampus, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan melibatkan diri dalam pertandingan penulisan puisi, cerpen dan lain-lain. Sebenarnya, pandemik itulah yang telah mengusung jiwa penulis untuk mula serius dalam dunia penulisan sehinggalah tersiarnya karya pertama penulis dalam Harian Ekspres (Sabah), iaitu sebuah cerpen yang berjudul Cerita di Pinggir Senja”. Jadi, begitulah serba sedikit mukadimah tentang awal pelibatan penulis secara serius dalam dunia penulisan.

Rodiah Haji Said.

Masih segar dalam ingatan penulis, iaitu pada waktu karya pertama penulis tersiar, penulis sebenarnya belum maklum lagi tentang perkara itu sehinggalah Rodiah Haji Said daripada SUNTIK Sabah yang juga seorang penulis tempatan Sabah mengetuk pintu perkenalan di ruangan laman sosial Facebook untuk memaklumkan tentang tersiarnya karya penulis itu. Kemudian, beliau secara tidak langsung juga memberikan sedikit resensi dan nasihat dengan mengatakan, “Ramai penulis di Sabah ini, terutama dalam sastera, menulis puisi, cerpen dan novel tetapi sekadar menulis suka-suka tanpa tujuan. Saya rasa, Ilham adalah bakat baharu yang mempunyai ciri-ciri sasterawan, yang berjuang melalui tulisan. Maka teruskan berjihad dalam penulisan, jadikan ini jentera kita ke jalan Ilahi.” Sejujurnya, meremang bulu roma apabila membacanya dan sejak dari itu, beliau banyak membimbing penulis secara tidak langsung.

Dari situlah penulis semakin giat menulis. Tanpa disedari, semakin banyak pula karya penulis tersiar dalam akhbar, majalah dan portal kreatif tempatan. Dengan izin Ilahi, beberapa karya penulis terutamanya cerpen mendapat pengiktirafannya yang tersendiri. Jika tidak silap perkiraan, cerpen penulis yang tersiar dalam akhbar tempatan Sabah telah terpilih sebanyak tiga kali sebagai cerpen pilihan SUNTIK. Antaranya ialah cerpen “Bercakap-cakap dengan Waktu yang Tiga” (Harian Ekspres, 7 Mac 2021) yang dipilih oleh pengulas jemputan,  Fadhli Al-Akiti yang juga editor majalah Dewan Sastera sebagai cerpen pilihannya.

Penulis perlu berterima kasih kepada SUNTIK Sabah, iaitu sebuah program bulanan apresiasi karya sastera eceran akhbar tempatan Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) yang telah mengetengahkan penulis dalam gelanggang sastera tempatan.

Namun, program ini akhirnya telah dihentikan. Sejujurnya, penulis berasa sedih dengan perkhabaran itu. Hal ini dikatakan demikian kerana SUNTIK merupakan sebuah program yang sangat baik untuk mengetengahkan penulis muda atau baharu di Sabah. SUNTIK bukan sahaja mampu mengasah mutu karya melalui sesi resensi yang diadakan, malah ia menjadi ruang perseteruan idea secara sihat antara penulis baharu dengan penulis mapan Sabah. Besar harapan penulis supaya SUNTIK kembali mewarnai ranah sastera ini kerana penulis merupakan antara penulis baharu yang lahir dalam program tersebut.

Menyedari keberadaan penulis, Allahyarham  Mohammed Almiey Mohd Ali mempelawa penulis untuk menyertai bengkel Perolehan Manuskrip Buku Kreatif Remaja anjuran DBPCS. Penulis berasa begitu teruja dan terharu apabila menyertai bengkel tersebut. Pemergian Allaharyarham amat dirasai kerana beliau antara insan yang membawa penulis dalam bidang penulisan ini. Melalui bengkel tersebut, penulis dibimbing secara langsung oleh  Ruhaini Matdarin, pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018. Ungkapan sederhananya masih segar terngiang-ngiang hingga hari ini, “Menulis ialah sebuah pengabdian sosial kepada lingkungan.” Dalam bengkel itulah penulis menerima bimbingan formal yang pertama dalam penulisan kreatif.

Melalui SUNTIK, penulis bersama penulis muda yang lain dibimbing untuk menghasilkan manuskrip antologi cerpen secara kolektif.  Ruhaini Matdarin telah berjaya mengasah bakat penulisan dalam kalangan peserta bengkel, termasuk penulis sendiri.

Kumpulan Cerpen Mimpi-Mimpi Kebebasan yang diterbitkan secara mandiri pada tahun 2021.

Walau bagaimanapun, penulis mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri dengan menghasilkan manuskrip cerpen individu sehinggalah terbitnya buku kumpulan cerpen pertama penulis secara mandiri berjudul Mimpi-Mimpi Kebebasan’, terbitan SYFE Management pada April 2021. Buku itu menghimpunkan karya penulis yang pernah tersiar dalam media cetak, media elektronik dan turut memuatkan karya yang tidak pernah tersiar di mana-mana penerbitan. Hasil keuntungan jualan buku tersebut telah disalurkan kepada pihak sekolah lama penulis, iaitu di pedalaman Sabah. Hasil keuntungan tersebut telah dapat membantu menyediakan bahan bacaan buat pusat sumber sekolah bagi kegunaan pelajar di sana. Kini, penulis sedang dalam proses untuk menyiapkan buku kedua pula.

Bagi penulis, menulis ialah perihal cinta dan cita! Ia ditenun dengan rasa dan fikrah. Menulis tidak boleh dianggap sebagai sekadar kerja untuk mengisi masa lapang sahaja. Ia adalah sebuah jihad dan pengabdian sosial, demikian itulah yang diajarkan oleh guru penulis. Kata Pramoedya Ananta Toer, “Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”  Penulis juga berkeyakinan yang seseorang penulis tidak akan selamanya berada pada takah yang sama, ia akan terus berkembang dan berhijrah dari satu kebiasaan ke satu kebiasaan yang baru. Demikian penulis yang kini sedang berjinak-jinak untuk menghasilkan karya yang melawan kebiasaan, sedikit absurd dan magis seiring dengan pengalaman, pembacaan dan pengamatan kendiri.

Ruhaini Matdarin.

 Sesungguhnya, menulis merupakan suatu kepuasan yang hakiki. Menurut  Ruhaini Matdarin, perihal orang baca atau tidak sesuatu karya kita itu belakang cerita kerana kita tidak akan mampu mengawal dan memuaskan hati semua orang. Pembaca akan datang dengan sendirinya kepada karya penulis, sama ada cepat atau lambat sahaja. Sebab itulah penulis cuma perlu terus menulis dan menulis.

 

Oleh itu, penulis akan terus bercita-cita untuk menghasilkan karya demi kelangsungan cinta dan cita itu! Menjadi guru yang terus menulis, itulah cita-cita penulis. Akhir kata, penulis mahu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru penulis khususnya guru penulisan, iaitu  Ruhaini Matdarin dan Rodiah Haji Said!

Selamat Hari Guru, cikgu!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.