13 Mei 2022, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Hanya 40 orang calon sukarelawan PBAKL yang menepati kriteria yang telah ditetapkan berpeluang untuk menjadi Duta Buku.

Kuala Lumpur ─ Sememangnya suatu berita gembira buat pencinta buku, pemain industri buku, penulis dan sesiapa sahaja yang meminati buku kerana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bakal menemui khalayak peminatnya setelah dua tahun menyepikan diri. Ekoran penularan virus COVID-19 yang melanda dunia, Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah membendung wabak yang menular melalui sentuhan fizikal.

Kesannya, semua aktiviti secara bersemuka dan program yang melibatkan perhimpunan khalayak yang ramai tidak dibenarkan selama hampir dua tahun. Maka itu, berita gembira ini sudah pasti memberikan kelegaan, khususnya kepada penerbit dan penulis kerana melalui PBAKL, buku yang terbit dapat dijual terus kepada pembeli manakala pengunjung pula berpeluang bertemu dengan penulis kegemaran mereka.

Kehangatan PBAKL yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 3 hingga 13 Jun 2022 semakin terasa lantaran pengumuman oleh pihak urus setia yang giat mencari individu untuk menjadi sukarelawan. Lantaran itu, anak muda yang berkelapangan dan meminati kerja sukarelawan dialu-alukan untuk membantu urus setia PBAKL bagi melancarkan program mega negara yang kebiasaannya berlangsung pada setiap tahun.

Yang menariknya, sukarelawan yang mendaftarkan diri mereka akan digelar Duta Buku. Pihak urus setia PBAKL juga telah menyiarkan poster yang memaparkan syarat-syarat permohonan untuk menjadi Duta Buku. Maka itu, anak muda yang berumur 18 hingga 30 tahun serta sihat dan cergas dialu-alukan untuk mendaftar melalui pautan ini.

Peluang ini harus direbut oleh anak muda untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PBAKL 2022. Yang penting juga, mereka yang berminat dan telah mendaftar dapat menghadiri taklimat berkaitan skop tugas dan tanggungjawab pada 2 Jun 2022. Dari aspek perwatakan pula, calon Duta Buku haruslah mempunyai perwatakan yang ceria dan mudah memberikan senyuman, selain mudah bertolak ansur dan boleh memberikan kerjasama secara berkumpulan. Bagi melancarkan tugas mereka sebagai Duta Buku, calon sukarelawan juga harus fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Hanya 40 orang calon sukarelawan PBAKL yang menepati kriteria yang telah ditetapkan berpeluang untuk menjadi Duta Buku. Tarikh tutup permohonan untuk mendaftarkan diri sebagai calon sukarelawan, seterusnya bergelar Duta Buku ialah pada 18 Mei 2022.

Sebagai acara mega yang melibatkan penyertaan daripada banyak pihak, termasuklah dari negara luar, maka PBAKL memang memerlukan tenaga sukarelawan untuk melancarkan semua aktiviti yang akan mengisi dan memeriahkan semua sudut dan ruang di Pusat Dagangan Dunia Putra.

PBAKL 2022 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 3 hingga 13 Jun 2022.

Untuk rekod, PBAKL merupakan acara utama dalam kalendar global penerbitan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama enam persatuan industri buku Malaysia. Sememangnya PBAKL merupakan tempat yang sempurna dan strategik bagi pencinta buku mendapatkan pelbagai buku, sama ada terbitan lama atau baharu, juga buku terbitan penerbit tempatan dan luar negara.

Pelancaran buku, bicara karya, temu bual penulis, seminar dan konvensyen merupakan antara aktiviti yang sering diadakan semasa berlangsungnya PBAKL, selain tujuan untuk memenuhi keperluan komuniti pembaca daripada semua lapisan masyarakat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!