Oleh Roslan Jomel
22 April 2022, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Pada awal pelibatan dalam bidang penulisan, yang kononnya semudah mengikat tali kasut, Farid tidak memiliki banyak koleksi buku untuk memantapkan kandungan naskhah. Kalau ada pun, buku lama yang tidak sesuai dengan semangat progresif generasi baharu.

Skrip drama bangsawan, sajak sebelum negara merdeka dan kisah Batu Belah Batu Bertangkup. Berbahasa arkaik. Apakah karangan lama itu tidak bernilai? Tentu sahaja bermanfaat buat mereka yang ingin membina inovasi. Bahkan bahan persuratan lama memendam khazanah luar biasa yang memancarkan kehebatan akal fikiran genius tempatan, imaginasi, metafora dan gagasan untuk kemajuan bangsa dan negara.

Namun demikian dalam kes Farid, dia berhadapan dengan isu khusus. Maklum, kenyataan sebenar sebagai manusia lebih mendorongnya agar mengutamakan dahulu kelangsungan hidup. Apatah lagi menetap di tengah bandar raya kosmopolitan. Pelbagai godaan iklan mencuri jiwa mudanya untuk mengunjungi kedai pakaian dan kasut yang menjadi gaya terkini.

Farid menghadapi dilema peribadi. Pemikiran kritis dan tarikan intelektual belum meresap dalam mentalitinya. Dia sangat berkira-kira dalam urusan membeli buku ketika mengunjungi pelbagai acara pesta buku di tengah bandar raya. Namun, dia mudah terliur dengan kafe kopi, baju kumpulan rock yang dijual di kedai terpakai (walaupun harganya mencekik leher) demi penampilan luaran diri. Apabila tiba masanya untuk memulakan draf naskhah, Farid tersekat di tembok idea. Itulah krisisnya sebagai pujangga muda moden.

Kemudian apabila menekuni karya dihasilkan penulis seangkatan yang menampilkan tema canggih dan bersifat sejagat, Farid mula musykil dengan kedudukannya sebagai penulis. Bagai langit dan bumi. Dia berada jauh daripada lingkaran penulis yang memuatkan idea, wawasan, sikap dan prinsip. Seolah-olah apa-apa yang dihasilkannya semata-mata curahan perasaan.

Tentang bunga dan kumbang di taman, cinta dipalang perbezaan status dan segenggam eksperimen yang dia sendiri pun tidak mengerti. Sajak dan cerpennya kerap muncul dalam akhbar pada hujung minggu. Hampir setiap bulan, nama dan karyanya tercetak dalam ruangan sastera. Kadang-kadang dia sendiri berasa muak apabila menatap karya sendiri. Seragam. Membosankan. Kemungkinan juga, pembaca lain berasa jengkel kerana membaca karyanya yang entah apa-apa. Sehingga bila selesa di dalam tempurung?

Sedangkan penulis lain serius membicarakan tentang kemelut falsafah barat dan Islam, fenomena dunia mutakhir, peperangan merebut wilayah, kerancuan alam sahsiah tempatan/antarabangsa, perjuangan hak manusia marginal serta kompleksiti senario kehidupan individu era pasca moden. Bukannya ralit meluahkan kekecewaan emosi yang tidak mencabar daya taakulan. Namun apakan daya. Farid belum dapat mengakui bahawa teras sastera memerlukan hal rumit, tema besar, plot berjungkir-balik, penggalian watak utama sedalam hujung kalbu dan bahasa yang memperlihatkan realiti di alam nyata.

Belum masanya untuk menelaah karya, misalnya Petang Condong, Hujan Pagi, Naratif Ogonshoto, Leviathan (Paul Auster), The Return (Roberto Bolano) atau sekurang-kurangnya Dubliners (James Joyce). Farid memiliki justifikasi; hidup semakin menyakitkan, mengapakah perlu mengarang cerita dan persoalan yang melemaskan pembaca?

Hal demikian mendatangkan persoalan dalaman kepada intuisi Farid. Dia menatap profil sendiri di cermin. Seraut wajah yang ternyata suka berangan. Bilik yang kecil dilihat luas. Tiada rak buku bertingkat-tingkat. Segelas air putih di tepi meja plastik dan komputer riba berjenama murah.

Poster Cristiano Ronaldo yang telah ditampal di dinding sebelum dia menghuni bilik itu. Farid yang berasa depresi, beralih pandangan. Bahkan itu lebih menyeksa batinnya. Pemandangan di luar jendela langsung tidak mengundangkan ilham bernas untuk dijanakan dalam penulisan. Kosong. Tidak ubah kandungan dalam naskhahnya.

 

Tidak boleh selamanya begini. Dia duduk dan cuba menenangkan tiupan prahara dalam jiwa. Jika penulis seangkatan lebih cepat matang dan sudah ampuh dalam menentukan karakter penulisan, lalu, ke manakah skop kepengarangan peribadinya?

Apakah yang mereka tulis dan apakah yang dia karang? Apakah yang mereka baca dan apakah buku yang dia pegang? Sambil duduk dan melamun di kerusi, Farid menyalakan komputer riba. Membiarkan skrin memutih tanpa menaip sepatah kata. Jika dia rajin, lapan buah cerpen dan 30 buah sajak mampu disiapkan dalam masa seminggu. Tidak perlu pun dia mencari inspirasi sampai ke puncak gunung atau menghadiri bengkel yang disampaikan oleh sasterawan negara tersohor.

Aliran kreativitinya tidak terhad. Dia mampu menulis sajak bertemakan kopi, menggambarkan kenikmatan rasa pahitnya dengan suasana kehidupan semasa. Banyak yang menyatakan, bahawa tiada hukuman dikenakan kepada sesiapa yang mahir memainkan bahasa. Maka, dia mempelbagaikan penggunaan diksi, menyamakan setiap rima pada hujung baris dan siap. Namun apabila dibaca oleh mereka yang arif dalam sastera, karyanya bagai sebutir batu kerikil dalam kasut. Bahkan, seakan-akan mempersendakan kesusasteraan itu sendiri.

Jelas, apa-apa yang dikarangnya, berkisar dalam tema yang persis. Bahkan kabur dan bercelaru. Tidak menganjak perspektif baharu. Hal ini bagaikan sebiji kek bersaiz besar yang dihiris kecil, sehingga yang tampak ialah jumlah kuantitinya sahaja. Rasanya masih berperisa pisang.

Ke manakah haluan dan arah penulisan jika dia masih bersandar di dinding di dalam bilik yang sama? Pengarang utama kebangsaan, seumpama Sasterawan Negara  Profesor Dr. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, SM Zakir, Muhammad Lutfi Ishak dan beberapa orang generasi baharu, telah mengembara ke luar negara dan berpeluang mengenali tokoh cendekiawan, sasterawan dan budayawan.

Hasilnya, mereka membawa balik buku yang mempunyai piawaian yang membudayakan pemikiran tinggi. Lalu, tidak hairanlah mutu dan pokok perbincangan dalam naskhah mereka melepasi ruang lingkup penulisan yang lain. Urusan sebegitu melibatkan kos, fikir Farid. Paling jauh Farid berkelana, Jalan TAR, Bangsar Baharu dan Selayang Mall.

Farid maklum, tidak selamanya dia berusia 23 tahun. Sebentar sahaja usianya bakal mencecah 30 tahun. Senario hidup menagihnya untuk berubah andai tidak mahu terperosok di balik bayang bangunan. Dia harus memulakan revolusi dari kamar tidur, demikian lirik Don’t Look Back in Anger, Oasis. Semangat untuk meningkatkan status penulisan mendorong Farid segera mengubah mentaliti, cara berfikir dan seterusnya memberikan tumpuan pada buku berat yang paling dibenci dahulu.

Dia mengerutkan dahi pada muka surat pertama buku karangan Syed Hussein AlAttas. Menukar halaman buku memang mudah. Tidak seberat menyorong almari dan perabot. Namun amat menyulitkan kalau melibatkan sistem kerja dalam urusan intelektual – jargon yang sangat memanaskan cuping telinganya ketika dahulu. Farid begitu janggal dengan isi perbincangan yang begitu asing pada aras pembacaannya.

Lensa kameranya perlu diangkat ke dunia nyata yang lebih menuntut pelibatan para penulis. Alangkah kejamnya kenyataan hidup sebenar yang selama ini dielakkan oleh Farid. Dunia ilusinya yang sebesar tempurung mesti dipecahkan, kerana, menurut kata cerdik pandai, garis pembatas antara fiksyen dengan realiti hampir sama. Ini bukannya masa untuk bertengkar sama ada bumi atau matahari berkeliling melalui orbitnya.

Tiada lagi tempatnya buat agamawan menyampaikan ceramah tanpa sumber fakta yang sahih. Ini era saintifik. Farid perlu bergerak melawan kebiasaan caranya berfikir sebelum ini. Audiens kontemporari mahukan sesuatu yang konkrit. Bukan naskhah awang-awangan.

Sastera bukan sekadar memperagakan kemerduan diksi. Jika masih beranggapan bahawa pekerjaan menulis hanyalah memindahkan ilham dan imaginasi seninya sahaja, lama-kelamaan, dunia bakal menenggelamkan nama dan penulisannya. Betapa tinggi gunung untuk didaki.

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Siapa sangka lelaki seperti Gerald Cotten menggoncang dunia perniagaan konvensional. Siri penipuan dan pembunuhan yang berlaku di sekeliling lebih dahsyat daripada apa-apa yang mampu para pengarang ungkapkan dalam halaman novel mereka. Teka-teki hidup tidak diajarkan di sekolah.

Farid akhirnya mengaku, kerja penulisan pada masa ini, bukan sahaja menuntut ilmu, pengetahuan, akal yang cerdas tetapi juga pedoman iman yang benar. Semakin banyak buku dibaca, peristiwa dilihat dan pengalaman yang melekat dalam kehidupan, semuanya ada nilai tambahan dalam kesusasteraan. Tinggal lagi bagaimana dia menyampaikan dengan teknik dan seni yang mengindahkan kandungan tulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.