Oleh Mana Sikana
18 April 2022, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesebuah karya sastera yang unggul mempunyai semangat atau subjek penting, bermakna dan berbeza daripada karya biasa. Selain itu, karya tersebut juga mengandungi idea atau ideologi, atau kata yang lebih abstrak, iaitu falsafah.

Falsafah merupakan sistem berfikir atau ideologi pengarang yang tersirat dalam gagasan atau pemikiran. Namun demikian, terdapat juga istilah yang bertentangan dengan falsafah ini, yang mana konotasinya agak menyeramkan, iaitu propaganda.

Falsafah mewacanakan sesuatu topik yang bercorak ilmiah dan intelektual. Sebaliknya, propaganda mengandungi sesebuah idealogi yang kadang-kadang bersifat negatif dan ditonjolkan untuk mempopularkannya. Sama ada karya itu bersifat falsafah atau propaganda, namun karya tetap memiliki idea atau ideologi untuk didoktrinasikan kepada khalayak.

Karya memiliki idea atau ideologi untuk didoktrinasikan kepada khalayak.

Cara untuk mempamerkan pengajaran seperti menggambarkan moral kehidupan orang Melayu yang miskin di desa dan di kota. Motifnya adalah untuk memajukan ekonomi, pelajaran, sosial dan sebagainya, supaya orang Melayu bekerja kuat dan terus maju.

Selain itu, untuk membuang sifat malas dan hasad dengki serta khianat. Falsafah karya pula adalah budaya orang Melayu itu mestilah dipertingkatkan cara berfikirnya dan dinamikkan cara bekerjanya.

Pendidikan dapat disampaikan melalui plot, seperti melalui unsur  poetic justice, iaitu yang baik dibalas dengan baik dan yang jahat dibalas jahat. Karya yang mengamalkan struktur sedemikian, sudah tentu mempunyai unsur pengajaran, siapa yang bersalah tetap dihukum, dan siapa yang baik akan mendapat ganjaran. Ini sebenarnya merupakan moral hidup manusia, dan juga ajaran yang dibawa oleh agama.

Moral berkaitan dengan falsafah zaman, dan diterapkan dalam kehidupan. Maka itu pengarang sentiasa berdamping dengan masyarakatnya, dan menanggap mana-mana fahaman yang positif untuk karyanya. Walau bagaimanapun, jika sesebuah karya itu terlalu memomokkan ajarannya akan membosankan khalayak. Dalam sesebuah karya bukan moral sahaja yang penting, tetapi juga cara moral itu dikemukakan.

Antara rukun teori sastera moral ialah perbahasan di sekitar kesan karya atau pragmatiknya. Tokoh awal pendekatan moral, hampir meletakkan dasar kesusasteraan sama dengan kitab suci. Mereka percaya para penulis mendapatkan ilham daripada Tuhan, dan penulis pula manusia pilihan yang mempunyai tanggungjawab untuk mengajar manusia.

Dengan menerima kenyataan itu, karya sastera tidak sahaja harus bermoral, tetapi juga dapat dimanfaatkan oleh khalayaknya. Lantaran itu, teori sastera moral memprinsipkan bahawa faktor kesan dan pengaruh perlu dikuasai oleh para pengarang.

Memang benar, adalah sukar untuk menentukan sama ada moral yang ingin disampaikan oleh pengarang itu benar-benar dapat meninggalkan kesan atau tidak di jiwa khalayak. Sementara jenis kesan itu sendiri berbeza-beza, ada kesan sementara, lama dan ada juga yang berubah-ubah dari sudut nilainya.

Karya besar seperti epik oleh Homer dan drama oleh Shakespeare mempunyai nilai yang tinggi dari aspek moral. Karya tersebut mengemukakan ajaran yang sesuai dengan zamannya, dan ajarannya dikagumi. Namun demikian, tidak semua ajaran itu berkesan kepada khalayak kontemporari, kerana masyarakat telah berbeza dengan zaman karya itu tersebut dihasilkan.

Sebaliknya, sesebuah karya yang dianggap lucah dan buruk seperti Lady Chatterley’s Lover pada suatu zaman terutamanya di Eropah, kini menjadi karya yang baik, popular dan ingin dibaca oleh semua orang. Ini semuanya merupakan implikasi dan reaksi dari sudut kesan karya yang berubah menurut hukum sastera dan selera khalayak.

Sebenarnya zaman dan moraliti hidup telah mengubah cita rasa manusia. Begitu juga dalam karya seperti yang terdapat dalam drama sejarah, yang ditulis di sekitar tahun 1950-an, penuh dengan segala macam adat istiadat diraja.

Karya seumpama ini amat disanjung pada zaman karya tersebut dituIis dan dipentaskan, tetapi generasi muda kini menilai unsur moral itu telah ketinggalan zaman. Kesan yang hendak disuguhkan oleh dramatisnya adalah supaya khalayak memuja feudalisme, tetapi kini unsur itu umpama kabus diterangi suria.

Pembinaan Akhlak

Dalam membicarakan tugas pengarang supaya menulis sesuatu yang mengandungi tujuan murni dan pengajaran; elok sekiranya dilihat sejenak tujuan sastera dalam penulisan Islam. Dengan itu seseorang dapat mempertingkatkan dirinya sebagai seorang penulis.

Dalam Islam sastera harus dapat membentuk peradaban atau kebudayaan. Tidak ada sastera untuk pemuasan perasaan dan kehendak zahir, sebaliknya lebih menekankan dari aspek dalaman, fikiran dan kemanusiaan, sesuai dengan sifat al-‘aql yang menjadi teras ciptaan manusia.

Pengarang seharusnya menghasilkan karya yang mengandungi murni dan pengajaran.

Sastera Islam merupakan pancaran orang yang muqarrabin dengan Ilahi secara rohiyah dan badaniyah. Tegasnya, sastera Islam itu merupakan sastera untuk pengabdian. Sastera yang dapat melahirkan seorang manusia yang baik dan bersih. Lantaran itu, ada dua matlamat atau falsafah sastera dalam pandangan Islam:

  1. Menguatkan akidah
  2. Meninggikan akhlak

Menguatkan akidah bererti karya sastera yang dapat menunjukkan atau membimbing ke arah memperkuatkan iman dan kepercayaan. Perjuangan karya sastera ke arah ini, tidak pernah selesai semenjak pengarang mula bertugas menghasilkan karya Islam. Perjuangan ini telah dimulakan oleh golongan penulis zaman Nabi Muhammad SAW kemudian bersambung pada zaman Umaiyah, Abasiyah, Andalus, Uthmaiyah hinggalah ke zaman Melaka, dan terus ke abad ini.

Masalah kemurungan, kelembapan, kelemahan iman orang Islam tetap berlaku sepanjang zaman. Hal inilah yang menjadi punca keruntuhan Islam. Jika berhasrat hendak menguatkan ummah Islam, maka iman penganutnya mestilah terlebih dahulu diperteguhkan.  Oleh sebab itulah karya sastera Islam berfungsi ke arah penguatan iman atau akidah. Karya ke arah penguatan iman ini hendaklah diutamakan.

Dalam konsep penguatan iman ini, pelbagai teknik dan gaya penceritaan, termasuklah penggarapan tema boleh dilakukan. Penulis melakukan pelbagai dimensi penulisan, seperti suatu cara yang lumrah diamalkan ialah sastera ini mengajak manusia berbuat baik dan melarang melakukan kejahatan.

Satu lagi subjek yang dasar sepanjang zaman adalah menanamkan kesedaran bahawa selepas mati ada kehidupan. Maka tidak hairanlah dalam konteks untuk menghidupkan fungsi ini, pengarang Islam banyak merujuk kepada konsep hidup dan permasalahan kematian dan kebangkitan akhirat.

Begitu juga, setiap tema dan persoalan yang dijadikan bahan inspirasi pengarang hendaklah diselesaikan dengan menggunakan nilai Islam.  Sesungguhnya ini memerlukan pengetahuan Islam itu sendiri, terutama yang dimaksudkan dengan nilai Islam itu. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa pendasaran ilmu Islam, seseorang itu tidak akan dapat menggunakan nilai atau penilaian Islam, malah mungkin akan merosakkan nilai Islam itu pula. Walau bagaimanapun, seseorang itu dituntut mengamalkan sekadar apa yang dia tahu, dan berusaha pula untuk mempertingkatkannya.

Telah diketahui umum sastera Islam sangat mementingkan aspek pendidikan dan pengajaran dalam karya sastera. Sastera dijadikan alat untuk melahirkan manusia Islam yang sejati. Sastera yang sesuai untuk remaja ialah karya sastera yang bermotif, yang terpimpin, mengarah untuk memberikan sesuatu yang baik kepada remaja, yang berkaitan dengan pertumbuhan fikiran dan pembinaan rohani mereka.

Remaja akan dapat mengenali rakan sebayanya, masyarakatnya atau budaya dan tamadunnya secara mendalam. Mereka perlu menghidupkan dan menyuburkan daya imaginasi, supaya dapat membantu cara berfikir yang lebih kritis dan kreatif.

Di samping itu, remaja harus merehatkan minda atau menenangkan fikiran; serta dapat memberikan kepuasan intelektual. Sastera remaja juga mampu menyampaikan pengetahuan atau unsur ilmu kerana sastera itu sendiri mengandungi pelbagai pengetahuan dan ilmu. Seperti yang telah dinyatakan, sastera remaja dapat memahami pergolakan jiwa dan tingkah laku remaja itu sendiri; dengan itu mereka akan dapat berinteraksi dan berhadapan dengan persoalan dan gejolak remaja secara yang lebih berhikmah.

Prinsip Kejiwaan

Dalam konteks pembicaraan sastera dalam pembentukan keperibadian pengarang remaja ini, elok sekali ditinjau dari sudut prinsip kejiwaan dalam teori sastera psikologi. Tujuannya adalah untuk memahami aspek kebatinan diri pengarang, mengapakah pengarang itu berkarya, meneliti dorongannya dan cuba menembusi alam pemikiran bawah sedarnya.

Kemudian menjurus pula kepada penelitian terhadap watak dan perwatakan karyanya. Mengapakah watak itu beraksi sedemikian, mengapakah dalam suatu ketika watak bersifat normal, dan ada masanya yang lain watak bertindak semacam abnormal. Manusia ini selalunya berkata-kata dengan dirinya sendiri. Kadang-kadang apa yang diucapkannya berbeza dengan apa yang berdetik di sanubarinya. Karya yang baik, kebiasaannya watak muncul dengan penuh keyakinan, jiwanya yang kuat dan penuh motivasinya.

Tegasnya, teori sastera psikologi ini, memberikan penekanan kepada penyorotan kejiwaan dalam penulisan sastera. Aspek kejiwaan sudah menjadi teras penciptaan karya sastera sejak zaman Greek, iaitu kira-kira 2000 SM. Kekuatan karya Aristophanes misalnya, selalu dihubungkan adanya unsur pendalaman dari sudut kejiwaan wataknya. Begitu juga kekuatan karya Shakespeare, banyak bergantung kepada penerapan unsur psikologikal, sehingga wataknya benar-benar hidup dan berkesan seperti watak Hamlet dan Macbeth.

Penerokaan ke dalam batin dan dalaman manusiawi bagi memahami kemanusiaan dan sikap hidupnya merupakan suatu pendekatan yang merangsangkan kepengarangan. Manusia dengan misteri dan keunikannya, bukan sahaja menyeronokkan tetapi sangat penting, maka dapat menjelaskan sifat sebenar insan.

Pengarang  harus sedar bahawa manusia banyak dikuasai oleh alam batinnya sendiri. Terdapat konsep id, ego dan super-ego dalam diri manusia, menyebabkan pengarang selalu berada dalam keadaan berperang dalam dirinya, gelisah, keluh-kesah dan sebagainya. Pengarang membayangkan nalurinya, tetapi terdedah kepada pemenuhan tuntutan, dan ada waktunya mementingkan keseronokan dan kepuasan kendiri.

Sementara ego sebagai jaringan yang cuba mengawal kehendak id itu. Ego cuba menenteramkan id dengan pelbagai cara sehingga dapat meyakinkan id bahawa perasaan manusia perlu dibendung. Begitu juga superego yang dibentuk oleh hukum masyarakat dan agamanya, menjadi jaringan dan pendinding segala situasi yang cuba meruntuhkan prinsip kemanusiaan, sosial, adat istiadat, moral atau perlembagaan hidup seseorang.

Dengan itu id sebagai dorongan asas dan kemahuan naluri manusia, ego sebagai penapis kepada keinginan dan kemuncak dehumanisasi, dan superego sebagai perisai dan petunjuk ke arah keunggulan sifat manusia. Hidup manusia banyak dipengaruhi oleh kemahuan id dan disokong oleh libidonya, memiliki kemahuan yang paling besar, iaitu seks. Hidup manusia juga banyak dikesan oleh pemenuhan keinginan secara fizikal dan mental. Lantaran itu, prinsip dan nilai kejiwaan banyak mempengaruhi penulisan karya sastera.

Bawah sedar manusia juga adalah penting kerana bertindak untuk menentukan cara berfikir dan bertindak seseorang itu. Dalam diri manusia sentiasa ada konflik antara perasaan tanpa sedar dengan keinginan yang tumbuh dari luar. Konflik itu pula bercampur-baur dengan emosi yang negatif dan positif, iaitu suka dengan duka, kasih dengan sayang, benci dengan rindu dan sebagainya.

Ada konflik manusia yang berjaya disimpan dalam dirinya, dan disebut sublimasi. Jika manusia itu gagal menyimpannya lalu menceritakannya kepada orang lain, atau lahir tanpa disedari, maka konflik tersebut dianggap sebagai psikosis, iaitu konflik emosi di dasar jiwanya.

Pengalaman manusia pada masa kecilnya pula memberikan kesan yang besar pada zaman dewasanya. Maka tidak hairanlah jika terdapat manusia dewasa yang lebih suka membuat kerja alam kanak-kanak dan kelihatan seperti keanak-anakan. Yang paling digemari oleh manusia pula ialah memenuhi dorongan seksnya, sama ada dari segi fizikal, indera, pakaian, kegiatan dan sebagainya.

Reaksi dan implikasi ini terbawa-bawa ke dalam mimpi, dan mimpi sebenarnya merupakan suatu manifestasi dalaman jiwa manusia yang tergambar secara tanpa sedar. Reaksi dan implikasi datang tanpa diminta dan muncul dalam fikiran dalaman manusia membawa hasrat dan keinginan.

Prinsip pertama, teori ini beranggapan bahawa hasil kesusasteraan lahir daripada situasi manusia yang sedang berada dalam keadaan separuh sedar.  Setelah mendapat bentuknya barulah bahan karya itu, disusun menurut struktur dan genre secara sedar.

Menurut fahaman ini, ada dua peringkat sesebuah karya itu diproseskan, iaitu

  1. merangka dan memikir; iaitu dalam keadaan separuh sedar. Tegasnya, pada peringkat ini berada pada tahap ilham dan pengembangan cerita dalam dalam fikiran. Situasi ini diistilahkan sebagai neurosis.
  2. setelah matang maka diturunkan, iaitu menuliskannya secara sedar. Tegasnya, pada masa menulis sesebuah karya, kedudukan seseorang itu dalam keadaan sedar, dan dia tahu apa yang sedang dikerjakannya.

Kedua, teori sastera psikologi menganggap bahawa proses penciptaan pada peringkat separuh sedar boleh menyediakan dan melahirkan hasil karya yang baik serta bermutu, sekiranya seseorang pengarang itu berjaya melukiskan apa yang sebenarnya bergejolak pada peringkat separuh sedar. Ertinya pengarang cuba melahirkan atau memanifestasikan apa yang sebenarnya berlaku dalam dasar flkirannya. Sesebuah karya yang agung biasanya terletak kepada kejayaan pengarang menggambarkan kehidupan para watak dalam keadaan separuh sedar tadi.

Ketiga, memerhati dengan teliti tidak sahaja proses penciptaan dan kedalaman wataknya yang disorot daripada dimensi kejiwaan, juga yang lebih penting ialah aspek makna, pemikiran dan falsafah karya itu secara menyeluruh. Karya yang dianggap berjaya oleh teori ini, ialah apabila mempunyai makna yang relevan dengan kehidupan yang dijaring oleh aspek kejiwaan.

Terdapat karya yang memiliki simbol atau perlambangan yang berhubungan dengan mitos, kepercayaan, tradisi, moral, tamadun dan aspek penting kehidupan. Teori sastera psikologi amat memberikan perhatian yang wajar terhadap pengenalan, pengertian dan hubungan simbol dalam sesebuah karya. Sesebuah karya yang baik harus mempunyai perlambangan, dan perlambangan itu bersifat asli dengan memiliki siratan makna. Perlambangan yang baik akan lahir daripada proses penciptaan yang separuh sedar, dan juga kadang-kadang dalam keadaan sedar tetapi terkawal. Walau bagaimanapun semuanya mempunyai hubungan dan signifikan dengan kehidupan manusia.

Keempat, ahli psikologis mempunyai pandangan tersendiri terhadap mutu karya. Bagi mereka, kesusasteraan harus menggambarkan kekecewaan dan kekacauan batin manusia, kerana manusia yang sebenarnya ialah pertarungan dan peperangan yang ada dalam jiwa mereka. Yang dilihat sehari-hari ialah fizikal dan lahiriah mereka sahaja, yang tidak menggambarkan manusia itu 100 peratus. Bahkan gambaran luaran dan lahiriah tidak sama dengan gambaran dalaman. Manusia yang hakiki tidak dapat dilihat dari sudut lahirya; kejujuran dan keikhlasan sebenarnya merupakan pekerjaan hati dan jiwa manuasia secara naluriah.

Sewaktu berkarya, mengikut nilai teori kejiwaan ini, pengarang diserang penyakit jiwa yang dinamakan sebagai neurosis, malah sampai ke taraf psikosis seperti sakit saraf atau mental. Yang dimaksudkan bukanlah gila, tetapi semacam suatu tekanan jiwa yang mencengkam pemikiran. Ketika pengarang mendapat ilham, penyakit ini mula menimbang, memikir, menokok, menambah dan berbagai-bagai lagi.

Proses kreatif dalam fikiran inilah idea karya berkembang. Oleh sebab keasyikannya berkarya, mungkin penulis lupa pada soal dunia. Tidak mustahil penulis akan memencilkan diri, menulis, bercakap dengan dirinya sendiri. Penulis tenggelam dalam lautan neurosis.

Semakin lama seseorang itu berfikir, semakin khayal dan semakin banyak ilham dan ideanya. Separuh bawah sedar menjadi aktif dan dinamik.  Selagi bahan yang bergolak dalam minda penulis tidak ditulis, selama itulah penulis berada dalam separuh bawah sedar.

Salah satu teknik dan mekanisme penulisan psikologikal yang popular ialah bawah jalur kesedaran. Teknik ini sebenarnya ingin menggambarkan gejolak jiwa watak, berkonflik dan bertarung antara dilema, tension, ironik dan dramatik, yang belayar, mengapung dan cair dalam lautan naratifnya. Karya besar lazimnya, mengaplikasikan bawah jalur kesedaran dengan halus dan mengesankan. Impaknya menggoncang bacaan khalayak.

Para remaja yang ingin menjadi seorang penulis yang tajam garapan kejiwaannya, hendaklah mendalami ilmu jiwa atau psikologi. Mereka hendaklah banyak membaca dan mempelajarinya supaya dapat menguasainya. Tanpa pembacaan yang luas, tanpa pengetahuan yang mendalam akan menimbulkan kesukaran sewaktu menggunakannnya dalam karya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!