11 April 2022, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata-Pilar Books bersama  dengan Tukang Puisi, memaklumkan akan menerbitkan judul kumpulan puisi terbaharu mereka, di bawah Siri Tokoh Puisi yang bakal menemui khalayak pada bulan ini.

Menyambut dan mengambil peluang keramaian itu, Kata-Pilar Books mengadakan sesi bicara “Moreh Puisi: Membaca dan Menyusun Puisi” yang menampilkan Wan Nor Azriq dan Fahd Razy sebagai pembicara untuk berkongsi perihal di sebalik penerbitan siri terbaharu mereka itu baru-baru ini. Diadakan melalui Twitter Space di akaun rasmi Tukang Puisi (@TukangPuisiKP), Aliff Awan pula tampil sebagai pembicara.

Siri Tokoh Puisi didatangkan dengan tiga buku kumpulan puisi daripada penyair mapan pilihan iaitu Sudah Hampir Malam di Kyoto oleh Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh, Rahang Gelombang oleh Moechtar Awang dan Lelaki Berambut Rumput oleh Rahimidin Zahari. Manakala Wan Azriq, Ainunl Muaiyanah, Fahd Razy dan Rasydan Fitri bertanggungjawab sebagai penyelenggara kumpulan puisi itu. Persoalan utama yang dibangkitkan dalam sesi bicara itu adalah mengapakah ketiga-tiga penulis itu dipilih dan apakah relevannya puisi tersebut dipilih?

Kumpulan Puisi Sudah Hampir Malam di Kyoto, karya SN Muhammad Haji Salleh.

Menurut Fahd Razy, ketiga-tiga penyair tersebut iaitu SN Muhammad Haji Salleh, Moechtar Awang dan Rahimidin Zahari merupakan antara penyair terbaik yang mewakili generasi mereka. “Moechtar dikenali khalayak sebagai penyair yang gah, dan saya tidak mahu ia terhenti setakat itu sahaja. Buku beliau juga tidak mudah ditemui, kecuali melalui grup kolektor buku, jadi saya mahu naikkan karya-karyanya semula,” ulas Fahd. Tambahnya, “Rahimidin pula saya pilih kerana puisinya dirasakan sangat kuat dengan tema nostalgia. Karyanya juga dirasakan matang dan segar secara konsisten.”

Manakala Wan Azriq pula menyatakan bahawa SN Muhammad Haji Salleh mempunyai wajah kepengarangan yang sangat relevan dan perspektif yang berbeza berbanding dengan penyair lain. “Saya juga baru sedar beliau mencipta jalur puisi dan bahasa yang berbeza dengan karya beliau, setelah saya mengerjakan projek ini. Beliau berfikir dan menulis melalui pemerhatian berbanding dengan emosi, ujar Wan Nor Azriq ketika mengulas tentang pemilihan karya SN Muhammad Haji Salleh.”

Kumpulan Puisi Rahang Gelombang, karya Moechtar Awang.

Seterusnya, pemilihan dan penyelenggaran kumpulan puisi ini juga disasarkan khas untuk generasi baharu dalam dunia sastera. Fahd Razy berkata, “Bagi saya, Siri Tokoh Puisi ini hadir di atas pemerhatian keperluan pembaca dan penulis generasi baharu,” Dalam kerja-kerja selenggara kumpulan puisi itu, para penyelenggara diingatkan bahawa sasaran utama adalah generasi muda. Fahd menyatakan bahawa jika ditetapkan sasaran adalah khalayak sastera umum, maka hasil pemilihan puisinya akan berbeza.

Pemilihan karya juga berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam menyelenggera dan mengelola bengkel serta buku puisi kontemporari, terutamanya dari segi pemilihan bahasa dan lenggok bahasa. Pembaca muda lebih gemar dengan tema yang bernuansa peribadi.

Digambarkan juga bahawa projek terbaharu mereka ini sesuai untuk pembaca dan penulis generasi muda untuk mengenali gaya kepengarangan penulis mapan di samping menjadi nilai tambah mereka dalam berkarya. Tambah Fahd, “Mereka boleh menjelajah bahasa baharu dan membina emosi.”

Bersetuju dengan Fahd, Wan Azriq malah menyifatkan Siri Tokoh Puisi ini hadir sebagai satu bentuk komunikasi, di antara penulis baharu dengan penulis mapan untuk menyambung tradisi penulisan dan pemikiran itu. “Penyair ini datang dan pergi dengan cepat. Ia muncul dalam bentuk yang lebih ringkas berbanding novel dan cerpen, yang berpeluang menarik lebih ramai khalayak ke dalam dunianya. Perihal puisi, jika ia tidak dibicarakan kembali, kita boleh kehilangan mereka dan karya mereka,” jelas beliau.

Kumpulan Puisi Lelaki Berambut Rumput, karya Rahimidin Zahari.

Sambungnya lagi, beliau tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa penulis generasi baharu harus berkarya dengan gaya yang baharu dan terus terpisah dengan gaya pengarang lama. Beliau turut menjelaskan bahawa mana-mana generasi harus ada komunikasi antara mereka. Hal ini sekali gus dapat menghidupkan tradisi penulisan itu.

Dalam merujuk dan mengikut gaya penulis lain, mungkin penulis baharu akan melanggar beberapa gaya dan tradisi penulis lama dalam penulisan mereka, tetapi suara itu tetap akan ada, seperti yang dapat dilihat dalam karya-karya Jack Malik, Karim Mohd dan Qurratul Ain. “Pentingnya ada buku-buku ini adalah untuk berlakunya komunikasi. Komunikasi di antara pembaca dan penulis hari ini, dengan cara penulis dahulu berfikir,“ jelas Azriq.

Perihal tradisi penulisan ini, beliau menegaskan bahawa pembacaan terhadap buku kumpulan puisi penulis lama ini bukanlah sebagai tanda untuk kita perlu tunduk pada tradisi penulisan, tetapi untuk penulis generasi pada hari ini bersama-sama bergerak dan berkembang dengan tradisi penulis dahulu itu.

Prapesan Siri Tokoh Puisi boleh dibuat melalui  Kata-Pilar Books.

Kredit foto: Twitter Rasmi Kata-Pilar Books

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.