6 April 2022, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gagasan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 lalu telah mengetengahkan inspirasi sebuah keluarga. Gagasan ini menerapkan semangat kerajaan dalam pentadbiran negara yang menekankan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

Konsep tersebut diwujudkan adalah untuk menyeru rakyat Malaysia agar mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara dengan bekerjasama dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19, selain merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Teras Keluarga Malaysia menekankan tiga nilai utama, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan, dan Kesyukuran.

Matlamat Keluarga Malaysia adalah meletakkan perpaduan dan keharmonian sebagai asas sesebuah negara.  Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara dan nilai setiap keluarga ini juga disifatkan sebagai komponen penting dalam menentukan kemajuan negara. Kerajaan kini giat merancang, melaksana dan memantau pelbagai inisiatif program dalam usaha memastikan rakyat bersatu untuk membangunkan diri sebagai sebuah keluarga Malaysia.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Mohd Azam Juhari berkata, “Sejajar dengan gagasan Keluarga Malaysia, DBPWT cuba mengetengahkan konsep ini sebagai medan mengukur pemahaman dan penghayatan masyarakat terutama dalam kalangan penulis dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui Sayembara Penulisan Cerpen Keluarga Malaysia Wilayah Timur. Tema ‘Perpaduan’ dan ‘Cinta akan Negara’ menjadi fokus kepada pengkaryaan cerpen ini.”

“Sayembara ini diadakan adalah untuk memupuk bakat, menggalakkan dan mengiktiraf penulis baharu dan mapan menerusi penghasilan karya bermutu, dan mengumpulkan cerpen yang bertemakan perpaduan dan cinta akan negara untuk diterbitkan bersesuaian dengan penerbitan DBP,” tambah beliau.

Sayembara ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu Kategori Umum dan Kategori Pelajar IPT/IPG. Kategori Umum terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir atau menetap di Kelantan dan Terengganu dan panjang cerpen antara 2000 hingga 3500 patah perkataan. Kategori Pelajar IPT/IPG pula terbuka kepada warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di IPTA, IPTS dan IPG sama ada di Kelantan atau Terengganu. Panjang cerpen yang ditetapkan antara 1500 hingga 2500 patah perkataan.

Hadiah wang tunai bernilai RM2000 (Johan), RM1500 (kedua), RM1000 (ketiga) dan RM500 (kepada setiap tiga orang penerima sagu hati) disediakan bagi Kategori Umum. Kategori IPT/IPG pula menawarkan wang tunai bernilai RM1500 (Johan), RM1000 (kedua), RM700 (ketiga) dan RM400 (kepada setiap tiga orang penerima sagu hati).

Kepada penulis yang layak, jangan lepaskan peluang menyertai sayembara ini. Kirimkan karya cerpen berserta borang penyertaan ke alamat e-mel [email protected] sebelum tarikh tutup penyertaan, iaitu pada 20 April 2022.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.