31 Mac 2022, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Seni bina Istana Besar.

Bagi Faizal Rahmat, penerimaan khalayak terhadap usaha beliau dalam mengolah naskhah sastera tradisi kepada visual tiga dimensi semakin berkembang dan meluas. Malah seiring dengan penerimaan itu, beliau juga yakin untuk menyatakan bahawa reaksi masyarakat terhadap bidang sejarah Melayu juga semakin wujud dan berkembang baik.

“Kini sudah ada pelbagai olahan novel dan drama yang ditulis oleh generasi muda berkenaan dengan sejarah, seperti tentang Hang Tuah, kejatuhan Kota Melaka, cerita dongeng rakyat dan banyak lagi. Malah kita juga ada komik karya anak muda yang menyentuh perihal sejarah Melayu.” Kenyataan ini dirakam dalam sebuah bengkel “Naskhah Sastera Tradisional Bergerak Seiring Marcapada Industri Kreatif” anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Antara faktor yang membataskan minat masyarakat terhadap bidang sejarah adalah berkaitan dengan kaedah pembelajaran bagi subjek sejarah itu sendiri. Sekiranya ingin mempelajari sejarah pada peringkat awal, maka kaedah pembelajarannya juga perlu dikembangkan.

Sesuai dengan khalayak pelajar, jika pelajarnya masih berada pada peringkat awal persekolahan, maka umum diketahui minat mereka terhadap satu-satu perkara itu senang berubah. Maka peranan visualisasi terhadap sejarah akan menunjukkan kepentingannya. Faizal Rahmat sendiri berkata, beliau sedang dalam usaha untuk mencari kaedah yang boleh menarik minat masyarakat dalam subjek sejarah, dan antara jawapan yang paling utama adalah olahan visual terhadap konteks sejarah.

Bagi skop pendidikan yang lebih luas, olahan naskhah sastera tradisi terhadap sejarah juga boleh dilihat sebagai kaedah untuk mengangkat sastera tradisi dalam kalangan pelajar sastera tradisi, malah menarik minat khalayak terhadap sastera tradisi itu sendiri.

Olahan beliau dilihat sebagai satu hasil kerja yang mengesankan dan penting untuk memartabatkan sastera tradisi dalam dunia yang menuju ke arah pendigitalan pada hari ini. Hasil kerja beliau juga semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat terhadap sejarah Melayu itu sendiri.

Faizal Rahmat berasakan bahawa pentingnya untuk melatih orang ramai, khususnya mereka yang dalam kalangan generasi muda untuk menjadi pelapis dan penyambung perintis usaha beliau. Sebuah usaha mengadaptasi sastera tradisi kepada seni bina digital yang mampu untuk menarik penerimaan khalayak terhadap sastera tradisi, sejarah, wacana bahasa dan banyak lagi.

Selain itu, beliau turut berkata bahawa pihak akademik telah mula untuk menerima kaedah ini sebagai kaedah pembelajaran yang lebih komprehensif. Oleh itu, usaha untuk melatih generasi muda untuk menjadi pelapis dalam bidang ini akan diteruskan.

Selain penekanan tentang teori, peserta kuliah turut diberikan peluang untuk melaksanakan seni bina sendiri model tiga dimensi pada  sesi akhir kuliah tersebut.

Kuliah tersebut telah berjaya menarik minat mahasiswa dari UUM, peminat sastera dan sejarah serta arkitek yang turut diberikan peluang untuk belajar tentang teknik mengolah bahasa dalam naskhah sastera tradisi, selain membina sendiri model tiga dimensi yang berlatar belakangkan reka bentuk bangunan ketika era sejarah Melayu.

(Sumber foto dan video: Penganjur Bengkel Tatar Siswa “Naskhah Sastera Tradisional Bergerak Seiring Marcapada Industri Kreatif”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.