30 Mac 2022, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melalui naskhah sastera tradisional, Mohd Faizal Rahmat, seorang penyelidik seni bina telah berjaya mengadaptasi aksara tradisi dan falsafah daripada naskhah sastera tradisional seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Sulalatus Salatin kepada seni bina digital dalam bentuk tiga dimensi. Beliau telah menumpukan kajian beliau untuk mewujudkan bayangan semula kota Melaka dengan istananya sewaktu era kegemilangannya iaitu sekitar tahun 1456 – 1511.

Faizal turut dikenali sebagai pemartabat naskhah sastera tradisional menerusi medium digital atas usaha beliau itu. Selain dijadikan sebagai rujukan penyelidik, usaha ini juga membolehkan masyarakat untuk lebih mendalami bidang sejarah dan sastera tradisi Melayu. Hasil kerja yang beliau telah hasilkan turut dipamerkan di acara, wacana, bengkel sejarah dan melalui akaun sosial media beliau sendiri.

“Rujukan utama yang saya gunakan untuk membina seni bina digital kota Melaka ini adalah dengan naskhah sastera tradisional, iaitu kitab sejarah Melayu dan bahan bacaan yang menggambarkan sejarah Melayu.” Faizal berkata ketika menjadi panel jemputan dalam sebuah bengkel “Naskhah Sastera Tradisional Bergerak Seiring Marcapada Industri Kreatif” anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia baru-baru ini.

Hasil kerja beliau juga progresif dengan menggambarkan elemen yang menghidupkan seperti elemen flora dan fauna, kebudayaan dan kemasyarakatan. Dalam menghadapi pelbagai cabaran, perincian untuk memberikan elemen kehidupan dalam visual digital bayangan kota Melaka itu adalah antara usaha yang paling sukar bagi beliau.

Hikayat Sulalatus Salatin.

Perincian seni bina hasil ilustrasi Faizal diambil daripada aksara naskhah tradisi Melayu, walaupun bahasa yang terdapat dalam naskhah tersebut kebanyakannya berbahasa tradisi, seperti yang dipetik daripada Hikayat Sulalatus Salatin yang berbunyi:

Ukirannya berkapar-kapar, dibubuh cermin besar dari Cina, dan diperaga warna emas, tujuh pangkat kemuncaknya bergajah menyusu dan bersengkuak, sekelian diberi belalang rusagi, rasuknya sehasta lebarnya, tiangnya sepemeluk.

Pemerhatian yang dilakukan Faizal terhadap petikan tersebut telah membantu beliau dalam melahirkan ilustasi digital kota Melaka. Menurut beliau, “Saya cuba untuk tafsirkan dengan penuh berhati-hati berdasarkan naskhah sastera tradisional yang saya rujuk seperti Hikayat Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah yang menjadi gabungan hujah saya dalam aspek teknikal seni bina.”

Beliau juga tidak menafikan bahawa adanya unsur berlebih-lebihan dalam naskhah lama dalam menghuraikan fizikal sekeliling, namun itu juga memaparkan sisi emosi, elemen mengagungkan dan sekali gus jika diamati dan dianalisis, dapat memurnikan lagi elemen perincian dalam seni bina.

“Saya sedar untuk mendapatkan pemahaman penuh berkaitan sesuatu kisah, saya tidak boleh bergantung kepada membaca kitab sejarah Melayu semata-mata. Oleh itu, untuk mendapatkan pemahaman yang lebih luas dan mendalam, saya perlu melihat teks tradisi ini dengan perspektif yang lebih luas.“

Orang Melayu mempunyai budaya bercerita yang unik, termasuklah mempunyai bahasa kiasan yang penuh dengan maksud tersirat. Bahasa orang Melayu juga mempunyai perlambangan yang mendalam. “Dalam membaca baris-baris naskhah sastera lama, kita kena faham lebih daripada ayat yang terlihat kerana ayat yang telah ditulis itu mempunyai makna yang lebih luas dan menggambarkan imej yang lebih hidup,” ujarnya.

Hikayat Hang Tuah.

Nama “istana mahligai” atau nama lainnya  ialah “istana hawa nafsu” sendiri telah menerangkan tentang bagaimanakah bentuk istana tersebut. Kedua-dua nama petikan teks tradisi ini diguna pakai oleh Faizal sendiri untuk mencipta seni bina digital beliau. “Rakyat Melaka sendiri yang menggelarkan istana Melaka sebagai istana hawa nafsu yang memberikan gambaran bahawa istana Melaka itu lahir daripada hati nurani seorang raja yang mahukan dirinya kelihatan megah,” jelas beliau.

Dalam naskhah tradisi, tidak semestinya perkataan mudah akan digunakan untuk merincikan sesuatu. Contoh paling mudah adalah paparan penggunaan kayu dalam seni bina mereka. Berdasarkan perkataan yang digunakan dalam naskhah tradisi seperti “rembatan”, “rasuk” dan “gelagar”, Faizal dapat kenal pasti bahawa perkataan tersebut  merujuk seni bina kayu.

Bengkel yang diadakan melalui aplikasi WEBEX tersebut turut menampilkan Nurafrina Abdul Aziz dan Nurul Qamarina Sulaiman sebagai moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.