26 Mac 2022, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Festival Buku Langkawi diadakan dari 24-28 Mac 2022 di Langkawi Fair Shopping Mall.

Langkawi – Bersempena dengan Festival Buku Langkawi 2022,  Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan “Bicara Karya: Resensi Buku Travelog Cinta Singgora dan Bebaling” yang bertempat di Langkawi Fair Mall, Kuah baru-baru ini. Dua buah judul karya penulis dari Kedah telah diangkat dalam segmen resensi buku tersebut yang menampilkan Abu Hassan Morad dan Dr. Husairi Hussain atau lebih dikenali sebagai Putraery Ussin untuk memberikan perkongsian perihal buku mereka kepada khalayak pengunjung yang hadir.

Dalam Travelog Cinta Singgora, Abu Hassan Morad mengangkat genre sejarah dengan nuansa cerita kembara jalan raya  yang mengetengahkan cita rasa remaja. Beliau juga menyifatkan buku itu sebagai paparan sejarah yang mengesankan, meskipun elemen fiksyen yang ada di dalamnya adalah jelas. Membaca Travelog Cinta Singgora akan membawa pembaca terus ke Koyo, sebuah tasik di Songkhla. (Singgora kini dikenali sebagai Songkhla). Novel ini turut mengandungi nilai sejarah yang sangat bermakna.

Tambahnya, melupakan sejarah seperti selangkah ke hadapan untuk mengulangi kembali kesilapan. Melupakan sejarah itu seperti bergerak ke belakang dalam pergerakan kemajuan bangsa. Kata beliau, “Sejarah adalah cerminan kita.” Maka generasi muda perlu  cakna perihal sejarah bangsa mereka. Malah dengan mengangkat gagasan sejarah melalui novel, Travelog Cinta Singgora adalah bukti bahawa dengan karya sastera, pelbagai disiplin ilmu dan pengetahuan dapat disampaikan kepada khalayak.

Beliau yang telah berdekad lamanya menulis novel itu turut meluahkan harapannya untuk menulis lagi sekurang-kurangnya 100 jumlah novel sebelum beliau meninggalkan dunia penulisan. Setakat ini, pengarang itu sudah melahirkan sebanyak 40 buah novel.

Manakala bagi kumpulan cerpen remaja Bebaling, penulisnya, Putraery Ussin menegaskan bahawa motivasi beliau dalam menulis adalah pembaca itu sendiri. Tanpa sokongan dan suara pembaca, beliau mungkin akan berhenti menulis dan tidak berani seperti pada hari ini. Melalui segmen ini juga, beliau turut mengatakan yang sejak 13 tahun lepas, beliau akan menulis sekurang-kurangnya sebuah cerpen pada setiap bulan.

“Saya akan pastikan saya dapat menulis satu cerpen pada setiap bulan. Apa yang mendorong saya adalah pembaca itu sendiri. Saya begitu tertarik dengan kehidupan pembaca, dan konflik mereka. Dalam setiap cerpen yang dimuatkan dalam Bebaling ini, fokus utama saya adalah pembaca dalam kalangan remaja,” tambah beliau.

Mengangkat generasi remaja melalui cerpennya, Putraery Ussin mengatakan bahawa remaja merupakan golongan yang menarik untuk dipaparkan dalam penulisan. Perihal kehidupan, konflik dan pengalaman golongan remaja dikatakan segar dan kadang-kadang dilupakan oleh golongan dewasa kerana lumrah kehidupan, iaitu setelah masa berlalu dan yang remaja menjadi dewasa, konflik dalam kehidupan remaja akan menjadi malap dan mengecil.

“Di Malaysia, populasi paling besar adalah terdiri daripada golongan remaja. Oleh itu, harapan saya adalah untuk menarik perhatian mereka untuk membaca karya kontemporari. Seperti yang dilihat di negara luar seperti Amerika, karya remaja mendapat tempat yang sangat besar dalam industri negara mereka sehinggakan banyak karya yang terjual hanya dengan menyasarkan golongan remaja sahaja,” ujar beliau dengan lebih lanjut.

Dalam Bebaling, Putraery Ussin mencantumkan 15 buah cerpen yang menyentuh perihal kehidupan remaja yang diilhamkan daripada pengalaman ketika bersama dengan golongan  remaja yang beliau sendiri kenali. Kisah  tentang keinginan, konflik dalaman dan intelektual mereka telah menjadi inspirasi beliau untuk menghasilkan kesemua cerpen tersebut. Beliau turut menyifatkan bahawa cerpen ini lebih kepada cerita pengalaman..

Tonton video penuh bicara karya di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.