25 Mac 2022, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bicara Karyawan pada kali ini menampilkan Saindah Kanalam bagi membicarakan novel terbaharunya, iaitu Garis-garis Takdir yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Kuala Lumpur –  Penulis novel Cinta Ichiro di Lembah Padas dan Budak Bandar, Saindah Kanalam baru sahaja melahirkan sebuah lagi novel terbaharunya, Garis-garis Takdir di bawah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cinta Ichiro di Lembah Padas.

Penulis kelahiran Sabah itu mula menulis novel pada tahun 2016, walaupun menurutnya bahawa pada ketika itu beliau hanya tulis secara sendiri-sendiri, belum berani untuk menghantar manuskrip novelnya kepada penerbit. Namun atas bimbingan dan dorongan penulis mapan seperti S.M. Zakir dan pihak DBP Wilayah Sabah, Saindah kini makin menonjol sebagai novelis yang memaparkan nilai-nilai kehidupan yang rapat dengan masyarakat. Saindah yang sebelum ini aktif menulis cerpen sejak tahun 1998, telah menempa langkah yang semakin cerah sebagai penulis karya kreatif, khususnya novel.

Melalui “Rancangan Bicara Karyawan: Novel Garis-garis Takdir, Saindah berkongsi perihal pembikinan novel terbaharunya dengan Arifah sebagai pengemudi bicara. “Dalam diri kita sebenarnya terkandung pelbagai cerita. Terlalu banyak cerita yang bermain dalam kepala dan kita harus memilih cerita yang paling menonjol dan menarik. Cerita itu yang harus ditulis dan disiarkan kepada khalayak,” ujar Saindah.

Novel itu memaparkan drama hubungan kekeluargaan antara adik-beradik. Sebagai seorang yang mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan adik-beradiknya, Saindah menimbulkan persoalan yang pahit baginya, “Bagaimana jika hubungan di antara adik-beradik itu tiba-tiba merenggang dan menjadi orang yang asing?”

Melalui naskhah Garis-garis Takdir, Saindah memanipulasi cerita kehidupan peribadi beliau yang sangat rapat dengan adik-beradiknya, untuk mencipta sebuah realiti fiksyen berkenaan sebuah keluarga yang berkeadaan sebaliknya.

“Saya terfikir, bagaimana boleh berlaku situasi di mana kita boleh lupakan adik-beradik yang kita sayang? Dan bukanlah kerana sebab hilangnya kasih sayang itu, tetapi atas sebab yang tidak dapat kita sebagai manusia untuk‍ elak,” jelas Saindah.

Novel Garis-garis Takdir ambil masa setahun untuk dikarang, dan menurut Saindah, itu adalah tempoh yang luar biasa untuk beliau siapkan sebuah novel. Katanya, tempoh paling pendek pernah beliau luangkan untuk siapkan sebuah novel adalah empat bulan.

Peribadi beliau menyifatkan dirinya sebagai penulis yang mempunyai idea secara semula jadi. Walaupun terpengaruh dengan dunia sekeliling, namun cerita yang dikarangnya masih bersifat datang dengan sendirinya. Begitu juga dengan pendekatan yang beliau ambil dalam mengarang Garis-garis Takdir, Saindah mengatakan bahawa idea untuk menulis naskhah terbaharunya itu tidak dirancang sebenarnya dan ceritanya datang secara tiba-tiba.

Dalam mengarang, Saindah turut berkongsi bagaimana kekurangan idea bermain peran dalam mempengaruhi kerja penulisannya. Beliau menegaskan, membina, menyusun dan menyiapkan rangka cerita sebelum memulakan penulisan adalah sangat penting. Lebih-lebih lagi jika menukang novel.

“Penting bagi penulis untuk merangka dahulu ceritanya sebelum tulis. Jika tidak, dengan mudahnya kita akan kekurangan idea. Kaedah saya dalam menulis adalah saya melihat hujung cerita dahulu. Idea yang datang dahulu merupakan pengakhiran sebuah cerita. Kemudian baru saya melihat konflik, sebelum akhirnya saya sampai ke kerja merangka permulaan cerita. Bagi saya, merangka permulaan adalah kerja yang sangat sukar,” ujar Saindah.

Novel Garis-garis Takdir boleh didapatkan di DBPNiaga dalam masa terdekat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.