24 Mac 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gambang – Sifat orang Melayu lama yang suka menilai alam dapat dilihat dalam pantun klasik yang membicarakan kisah mengenainya dan mengaitkan alam dengan kehidupan dalam membentuk bahasa dan mencari falsafah. Demikianlah kata-kata YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam ucapannya di Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) pada malam tadi.

Beliau yang hadir sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis tersebut meluahkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha yang membawa kepada penghidupan semula budaya dan warisan Melayu.

YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim berucap ketika majlis penutupan dan pertandingan akhir FANTASI pada malam tadi.

“Pada malam ini, kita perlu membawa pulang satu perasaan baharu, Khususnya apabila Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menganjurkan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang bermartabat, yang terus hendaknya menjadi bahasa diplomasi, bahasa ilmu, bahasa komersial, bahasa undang-undang dan bahasa kehidupan sepertimana kita semua harapkan”, ujar beliau.

“Ajakan Perdana Menteri, (dalam memartabatkan bahasa Melayu) menunjukkan seseorang pemimpin seperti beliau menonjolkan pesanan ini agar kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai wajah (identiti), dalam dunia yang sentiasa mencerakinkan kehidupan melalui bahasa”, sambung beliau.

Menyatakan persetujuan bersama pandangan antara beliau dengan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Dr. Rais Yatim mengatakan, jika bahasa Melayu maju dalam aspek penting dalam kehidupan, dari segi sains dan falsafah, maka sudah pasti bahasa ini akan naik darjatnya.

Dalam akhir pengucapan, beliau turut menyentuh perihal bahasa sebagai tanda penyatuan, mengajak anak muda dari segenap sudut negara untuk bersatu hati serta semangat dengan berasa bangga dan megah dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa obor yang mampu membawa kepada kejayaan.

FANTASI merupakan program pantun peringkat kebangsaan yang dikelolakan oleh Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja yang mendapat sambutan dan disertai oleh beberapa universiti dari seluruh negara yang bermula dari 21 Mac 2022.

Malam tadi merupakan hari perlawanan akhir dan majlis penutupan program tersebut, yang menyaksikan para pemenang membawa pulang hadiah lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit.

Kategori seperti Busana Terbaik, Pembukaan Terbaik dan Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan masing-masing dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Bagi pemenang keseluruhan pertandingan tersebut pula dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara di tempat ketiga, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pasukan B sebagai naib johan dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Pasukan A sebagai pemenang keseluruhan bagi tempat pertama.

Naib johan dimenangi oleh UIAM Pasukan B.
Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan dari UiTM.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.