Oleh Roslan Jomel
21 Mac 2022, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sementara duduk menunggu kehadiran Abizai dan Mohamad Zakri Zakaria di meja berhampiran penjual burger, saya berfikir tentang terang gelap sastera Sarawak di bawah sinaran warna-warni lampu kelab disko dan dentuman muzik rancak yang tiada hentinya menggegarkan malam di tengah bandar Miri.

Saya teringat suasana di Jalan Telawi, Bangsar Baharu. Apakah yang saya bayangkan tentang sastera di Sarawak?

Adakah hanya saya seorang sahaja, yang ketika ini dengan pandangan ke arah langit tanpa bintang dan duduk di meja plastik sebuah kafe yang sibuk dengan pelanggan, berasa gusar dengan sastera Sarawak?

 

 

 

 

 

Bukankah Sarawak gah dengan majlis penyampaian hadiah dan kerap menganjurkan sayembara penulisan pada setiap tahun. Sarawak jarang-jarang gagal menghantar wakil penulisnya untuk menyertai pertandingan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Lalu apa yang saya risaukan?

Saya teringat petikan dialog dalam filem Nocturnal Animals arahan Tom Ford di meja makan yang dipenuhi oleh penggiat industri seni. Salah seorang watak lelakinya berkata dengan sinikal, “Percayalah, dunia kita kurang menyakitkan daripada dunia sebenar.”

Saya tidak hairan dengan hal sebegitu. Walau sekerap mana pun penulis Sarawak diangkat sebagai pemenang hadiah penulisan, saya sekadar tumpang gembira.

Sejak era Awangku Merali Pangeran Mohamed dan Jong Chian Lai serta lain-lain penulis, Sarawak sudah mengecap kejayaan dalam bentuk fizikal. Pengiktirafan bertaraf kebangsaan itu seolah-olah menentukan paras kredibiliti kepengarangan seseorang. Namun demikian, apa yang berkecamuk dalam fikiran saya melebihi daripada pencapaian material itu.

Apakah kejayaan seseorang penulis hanya dipandang dengan sebanyak mana hadiah dan kemenangan yang dikumpulkan olehnya dari detik awal menceburkan diri hingga kini?

Sasterawan ialah individu yang berfikir melebihi masyarakat biasa. Mustahil sasaran terakhir mereka hanya bertumpu pada pentas hadiah sahaja. Sungguh mengecewakan sekiranya keupayaan pengarang terbatas kepada kebolehan menyajikan cerita dan puisi demi mengekalkan nama dan populariti sahaja.

Bagaimanakah dengan pencapaian yang lebih bersifat esoterik, misalnya ketajaman pemikiran, keberanian melahirkan pendapat yang berbeza dan menulis renungan berkaitan dengan isu sosial dengan mata pena kritikal.

“Keberanian intelektual itu lebih payah daripada keberanian jasmaniah”, kata Sasterawan Negara, Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh Muhammad Haji Salleh dalam salah sebuah sajaknya.

Ku Seman Ku Hussain dalam eseinya, “Wartawan Diwirakan dalam Filem” yang disiarkan dalam buku Anekdot Ku Seman (2018) menyedarkan bahawa tugas wartawan bukan sekadar menulis berita. Itu hanya cabang kecil sahaja. Tugas hakiki wartawan adalah mengutarakan pemikiran kepada masyarakat.

Sudah tentu berbeza daripada sebahagian wartawan hiburan yang ditugaskan membongkar perkara negatif untuk disebarkan ke media demi meninggikan jumlah penonton.

Demikian juga peranan mustahak dimainkan golongan pengarang. Sebagai ejen perubahan dalam masyarakat, tugas mereka bukan semata-mata menghidangkan hiburan dan imaginasi. Pengarang sewajarnya  melontarkan idea pemikiran bernas dan merenung jauh ke hadapan, di samping menganyam cerita demi cerita untuk tujuan peraduan dengan tarikan jumlah wang yang lumayan.

Inilah aspek dalaman yang ingin saya temukan dalam kalangan penulis. Mustahil tiada insan seni dari Sarawak yang belum mampu berfikiran secara kritikal dan melontarkan pendapat berlawan arus sepertimana tokoh cendekiawan awam di Semenanjung.

Saya yakin sebahagian daripada penulis Sarawak menganalisis buku tulisan Dr. Ali Syariati, Edward Said, Sasterawan Negara Datuk Dr. Baha Zain, Tariq Ramadan atau sekurang-kurangnya Dr. Farish A Noor.

Namun ketika ini, di tengah bandar Miri, pada lewat malam, dengan gema muzik dan bau minuman alkohol tersebar di udara yang dicemari asap kenderaan, apakah manfaatnya diperoleh jika mengerutkan dahi semata-mata perihal sastera? Bidang yang dipandang aneh oleh sebahagian daripada politikus.

Penulis bakal bertambah tetapi tidak semuanya berjiwa seniman.

Seniman ialah individu unik yang tidak berkompromi dengan segala anasir hipokrit. Karakter sebegitulah yang masih langka. Sangat menyedihkan jika dunia sastera ditanggapi secara sempit.

Trafik bingit dengan kenderaan lalu-lalang, anak-anak muda bersembang dengan fesyen pakaian semasa dan menikmati malam Sabtu dengan minuman teh tarik.

15 minit berjalan kaki, sebuah pusat membeli-belah menawarkan potongan harga istimewa pada penghujung tahun. Kapitalis memiliki pelbagai taktik perniagaan bagi memerangkap pihak pengguna.

Wang lebih bernilai, dari dahulu mengalir ke masa kini dan mencengkam perkembangan psikologi. Ternyata memancing perhatian masyarakat yang lebih mengutamakan penampilan luaran amat mudah. Tiada bezanya dengan suasana di Kuala Lumpur.

Aktivis budaya, seni, bahasa dan sastera bagaikan mengemis dari tahun ke tahun dengan pakaian koyak-rabak di tengah bandar raya untuk mendapatkan dana dan peruntukan. Mengapakah nasib budaya dan kesenian dalam negara kita masih pada tahap rendah pada masa ini, sedangkan menara pencakar langit saban tahun dinaikkan?

Ku Seman Ku Hussain menegur isu ini dalam eseinya, “Nasib Budaya di Tangan Penjual Tomato” dengan menyalahkan mentaliti pengurusan budaya yang tidak berjiwa besar.

Penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Miri hanya mengambil masa selama dua jam. Namun malangnya, tempoh untuk membangkitkan kesedaran masyarakat dan pihak berkuasa tentang kepentingan sastera mengambil jarak masa yang sungguh lama.

Entah bila agaknya sastera diperlakukan dengan hormat? Amat mendukacitakan apabila acara berbentuk kesusasteraan yang diadakan di bandar sering terlihat asing dan kerana tidak menguntungkan kepada pengaruh pihak wewenang.

Bukan perkara mengejutkan menteri yang dijadualkan untuk hadir ke majlis sastera kerap menarik diri dan menghantar wakil sebagai pengganti. Apakah maknanya tindakan itu? Bukankah menghantar isyarat betapa persoalan seni, bahasa dan sastera tidak mendatangkan ganjaran kepada kelangsungan parti politik.

Kemudiannya, golongan sasterawan asyik dengan kejayaan meraih anugerah dan begitulah dari tahun ke tahun. Bahkan menuntut untuk meminta lebih daripada yang mereka sumbangkan kepada masyarakat.

Generasi baharu semakin canggih dalam pelbagai disiplin ilmu, mengetahui nama artis dalam dan luar negara, masing-masing sudah arif bagaimana menghantar gambar melalui aplikasi Telegram dalam telefon pintar.

Kasut yang dipakai mereka bukan dibeli di pasar malam dan gaya menyikat rambut juga mengikut model dan selebriti popular yang kerap muncul di televisyen. Mereka tidak kalah dan ketinggalan dalam urusan mendandan diri. Seolah-olah itu menjadi ukuran untuk menandakan kemajuan sosial seseorang pada masa ini.

Namun demikian, adakah mereka mengerti atau  mempunyai pengetahuan jika diajak bercakap berkenaan dengan seni sastera, novel, falsafah, politik dan risiko penjajahan fikiran?

Adakah mereka membaca segmen ulasan buku dalam akhbar dan majalah?

Adakah buku puisi yang berharga RM10 masih mahal di mata mereka?

Siapakah A. Samad Said dalam fikiran mereka selain terkenal di televisyen selepas demonstrasi atas jalan beberapa tahun yang lepas?

Tidak mustahil suatu hari nanti, Sarawak bakal melahirkan seribu orang penulis. Penulis muda pada hari ini akan meningkat dewasa dan mapan 30 tahun kelak.

Kerja naratif yang mentah dan masih kelompangan di beberapa dimensi pada awal penulisan diperbaiki seiring dengan pertumbuhan sikap kedewasaan dalam diri. Mungkin separuh daripada jumlah penulis itu, sudah pun dikalungkan pelbagai hadiah pada peringkat negeri mahu pun kebangsaan.

Andai itu objektifnya, tidak menjadi masalah jika dianggap sebagai pemangkin moral kepada kerja penulisan mereka.

Ini merupakan imbalan kepada usaha mereka setelah bersusah-payah menukangi manuskrip. Sudah tentu ada KPI peribadi yang ditetapkan oleh mana-mana penulis ketika menguliti bidang penulisan sejak mula.

Sebagaimana dalam bidang lain, para penulis mahukan kemenangan dan pengiktirafan untuk menyerlahkan nama dan kehebatan mereka di mata juri dan kemudiannya disanjung oleh masyarakat.

Itulah kebanggaan peribadi yang ingin mereka mempertontonkan kepada teman di media sosial

Namun permintaan saya hanya satu. Sekurang-kurangnya wujud seorang penulis berjiwa seniman dan pengkritik yang lebih luas dan besar visi sasteranya berbanding dengan merebut hadiah dan pengiktirafan.

Tidak semestinya penampilan penulis avant-garde itu dengan rambut panjang dan seluar jean lusuh. Individu yang berprinsip dan berbeza dengan arus utama bagaikan alien pada masa ini.

Sastera telah diperlakukan hanyalah sebagai pelantar untuk melampiaskan sekelumit bakat bercerita golongan sasterawan. Kadang-kadang dianggap sebagai lombong emas bagi para penulis oportunis untuk mengaut ganjaran.

Saya percaya akan muncul penulis berkarakter unggul dan merdeka fikiran demi meneruskan kelangsungan hayat sastera ke arah yang lebih tinggi pencapaiannya.

Namun bilakah agaknya?

30 tahun nanti.

Tidak mustahil.

Lebih daripada seorang, dengan wawasan ilmu, seni dan definisi sastera yang lebih daripada dikejar oleh pengarang sedia ada, suatu perkembangan memberangsangkan kepada prospek sastera Sarawak dan Malaysia.

Kembali pada 19 Februari 2022, saya menghirup sup Haji Abu di Jalan Doraisamy ketika malam sudah menggelapkan Kuala Lumpur. Kamu masih termenung di bangku pinggir jalan utama di tengah bandar raya Miri empat tahun yang akan datang. Kita berdua disatukan oleh keinginan dan cita-cita di dunia. Sambil mendongak ke langit yang mendung, kau merungut kerana pekerjaan seni tiada bezanya dengan menggali lubang di gurun pasir.

Perbuatan yang melelahkan dan tidak menghadirkan manfaat. Akhir kamu terbaring di atas bangku dengan berhelai-helai kertas kosong di tangan, lalu terlelap di bawah lampu neon bandar raya.

Tahun demi tahun kamu sepatutnya disinari cahaya matahari, malangnya kamu tidak membuka mata.

Bak coretan Roberto Bolano dalam bukunya berjudul The Unknown Universty, “This hope isn’t something i’ve sought. This silent wing of the unknown university.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.