21 Mac 2022, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Syahir memerhatikan mayat yang berada di hadapannya. Setiap pelosok tubuh mayat itu dilihat dengan teliti untuk mencari bukti atau petanda yang memberitahu apakah yang berlaku sebenarnya kepada Rahman, seorang sutradara terkenal negara.

Pegawai polis yang berada di belakangnya tidak berani mengganggunya. Reputasi Syahir sebagai Pegawai Penyiasat Persendirian yang terkenal membuatkan beliau dihormati kerana berjaya menyelesaikan banyak kes tentang pembunuhan.

“Puan, ada wartawan datang. Katanya nak temu ramah.” Mak Sal beritahu kepada Alya, isteri Rahman.

“Berapa orang Mak Sal?” soal Alya kembali.

“Yang Mak Sal nampak ada empat orang di luar,” jawab Mak Sal lagi.

“Izinkan mereka masuk. Suruh mereka tunggu di ruang tamu. Nanti saya jumpa mereka,” arah Alya.

“Puan Alya, sementara kes ini masih dalam siasatan, jangan izinkan orang luar masuk ke dalam rumah ini!” Syahir memberitahu dengan tegas.

“Encik Syahir, saya bayar perkhidmatan encik untuk lakukan tugas dengan baik. Cari punca kematian suami saya. Soal antara saya dengan wartawan, tak perlu masuk campur! Tahulah saya nak melayan mereka macam mana.” Alya berdalih.

Alya berdegil. Alya tetap menyuruh Mak Sal menjemput empat orang wartawan itu masuk ke dalam rumahnya, dan meminta Mak Sal menghidangkan minuman kepada mereka. Sebelum melayan wartawan yang datang, Alya sempat menukar pakaiannya, dan mengenakan sedikit solekan agar kelihatan cantik ketika wartawan menangkap gambarnya.

Pegawai polis dan Syahir hanya menjeling dengan rasa jengkel melihat tingkah laku Alya yang sememangnya suka mencari publisiti. Berbeza daripada anak tunggal mereka, Elyas yang pemalu dan jarang-jarang mendedahkan dirinya kepada media sosial mahupun menghadiri majlis yang penuh dengan orang terkenal.

Dari tadi, Elyas duduk termenung di meja makan. Masih lagi terpaku dan termangu. Kejadian yang berlaku sangat mengejutkan. Sewaktu makan malam yang seharusnya menjadi masa untuk keluarga meluangkan masa bersama-sama, tetapi bertukar menjadi peristiwa hitam.

Elyas terkenang kembali saat ayahnya yang baru sahaja meneguk air sejuk di meja makan, tiba-tiba jatuh rebah dan memuntahkan darah serta buih dari mulutnya. Elyas yang cuba untuk menyelamatkan ayahnya, walau bagaimanapun tidak sempat berbuat apa-apa. Ayahnya sudah tidak bernyawa lagi.

Ibunya yang cemas dan ketakutan terus menelefon pembantunya dan meminta agar mendapatkan pegawai penyiasat persendirian. Elyas mulanya berasa hairan bagaimanakah ibunya segera membuat andaian bahawa ayahnya mati kerana dibunuh. Namun apabila melihatkan keadaan dan cara ayah memuntahkan darah dan mengeluarkan buih dari mulutnya, memang itu petanda bahawa ayahnya mati kerana diracun oleh seseorang.

Oleh sebab Rahman merupakan pengarah terkenal, maka kematiannya menjadi tumpuan banyak pihak, terutamanya apabila Alya sendiri yang muat naik ciap dalam media sosial mengatakan suaminya telah meninggal dunia. Pantas wartawan yang mendapat berita itu terus menuju ke rumah Alya bagi mendapatkan kisah selanjutnya.

Ambulans akhirnya tiba. Pihak hospital datang mengambil mayat untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti apakah penyebab kematian Rahman. “Apabila kau dapat tahu sebab kematiannya cepat beritahu aku supaya aku boleh selesaikan segera kes ini.” Syahir memberitahu salah seorang pegawai kesihatan yang hadir bersama dengan ambulans tadi. Pegawai kesihatan itu hanya mengangguk. Sudah biasa bekerjasama dengan Syahir. Selesai mengambil mayat, ambulans pun berlalu pergi.

Syahir melihat wartawan tadi masih ada. Salah seorang daripada mereka sedang menemu ramah Alya, sesekali mengambil gambar juga. Syahir hanya menggeleng, meluahkan rasa jengkelnya terhadap sikap Alya yang begitu murah menjual maruahnya sebegitu demi perhatian dunia. Walaupun kebodohan Alya itu menyakitkan hati Syahir, namun ada satu perkara yang Syahir setuju tentang Alya. Jangkaan Alya bahawa Rahman mati diracun itu benar, Rahman dibunuh!

“Puan Alya, bolehkah saya keluar sebentar?” Wartawan Satu bersuara.

“Eh, nak ke mana? Dah dapat gambar semua?” soal Alya.

“Bukan Puan. Saya nak merokok sekejap di luar,” jelas Wartawan Satu.

“Oh, baiklah! Nanti jangan balik dulu ya,” Alya memujuk.

Wartawan Satu hanya mengangguk dan tersenyum. Beliau mencari sesuatu di dalam koceknya. Seperti ada yang hilang. Dilihatnya pula di dalam beg, tetapi masih menggaru kepala seperti tidak menemukan apa yang dicari olehnya.

“Siapa ada pemetik api?” Wartawan Satu bertanya. Salah seorang wartawan, iaitu satu-satunya wartawan perempuan yang ada di situ bangun mengambil sesuatu di atas meja hiasan berhampiran. Sebuah replika makhluk asing diambilnya dan diberikan kepada Wartawan Satu.

“Buat apa ni?” soal Wartawan Satu.

“Pemetik api,” jawab perempuan itu. Beliau kemudian menekan belakang replika tersebut lalu ditekan dan keluar api.

“Eh betullah! Terima kasih.”

“Sama-sama.”

Syahir tertarik melihat wartawan perempuan itu. Lalu mengambil keputusan untuk berbual dengannya. “Siapa nama awak?” soal Syahir sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Saya? Ah … Diana,” jawab wartawan itu sambil bersalam dengan Syahir.

“Diana sudi berbual dengan saya sebentar? Secara peribadi?” Syahir mengajak menunjukkan minat terhadap Diana yang jelas mempunyai wajah yang cantik itu.

Walaupun pada awalnya Diana berasa hairan, tetapi Diana akur. Diana mengikut Syahir ke dalam bilik Rahman. Setelah meminta izin daripada Alya, Syahir meminta agar tiada siapa mengganggu perbualan antaranya dengan Diana di dalam bilik itu. Syahir juga mengingatkan agar Elyas, Alya dan Mak Sal tidak meninggalkan rumah itu kerana mereka semua masih dalam siasatan.

“Silakan duduk.” Syahir mempelawa Diana untuk duduk di kerusi meja solek Alya. Diana yang tidak banyak bertanya hanya menurut arahan. Riak wajahnya menggambarkan beliau agak keliru, mengapakah Syahir ingin berdua sahaja dengannya.

“Cik Diana pernah datang ke sini?” soal Shahir.

“Tak pernah. Ini kali pertama saya ke sini,” jawab Diana.

Syahir hanya mengangguk. Diana tidak duduk kerana selesa berjalan mundar-mandir sambil berbual. Syahir memerhatikan Diana sambil menongkat dagu.

“Cik Diana datang ke sini sebagai wartawan, betul tak?” Shahir menyambung sesi soal jawabnya.

“Betul,” jawab Diana lembut.

“Jadi sebagai wartawan, tentu Cik Diana berminat hendak tahu siapakah pembunuh Rahman yang sebenar?”

“Encik Syahir tahu siapa pembunuhnya?” soal Diana ingin tahu.

“Oh, saya masih tidak pasti! Tapi saya ada empat orang suspek yang saya syak telah melakukan pembunuhan ini.”

“Empat orang? Siapakah orang-orangnya?” Diana mulai musykil.

“Sebelum saya bermula, bolehkah Cik Diana ambilkan saya pen kepunyaan Rahman untuk memudahkan saya menerangkan kes ini?”

Diana yang mendengar permintaan Syahir itu, terus bangun lalu berjalan menuju ke meja kerja yang berada bersebelahan tingkap bilik itu. Diana membuka laci pertama, lalu diambil pen berwarna hitam dan diserahkan kepada Syahir. Syahir tersenyum.

“Suspek pertama, Mak Sal.” Syahir memulakan ceritanya sambil pen itu disimpan ke dalam poketnya.

Syahir menerangkan, Mak Sal merupakan suspek pertama kerana makanan yang terhidang semasa makan malam tadi disediakan oleh Mak Sal. Sebagai orang gaji yang telah lama berkhidmat dan tinggal dengan keluarga ini, Mak Sal sentiasa bertanggungjawab dalam menguruskan makan dan minum mereka. Oleh sebab Rahman meninggal dalam keadaan seperti diracun, maka kemungkinan yang tinggi racun itu diletakkan ke dalam minuman Rahman oleh Mak Sal.

Alya ada memberitahu Syahir bahawa beberapa minggu lepas Mak Sal dimarahi oleh Rahman kerana menghilangkan jam tangan Rolex miliknya. Mungkin kerana dendam, Mak Sal telah mencuba untuk menyakiti Rahman.

“Boleh Cik Diana ambilkan salah satu jam Rolex milik Rahman dan berikan kepada saya?” Syahir mengarah.

Diana segera bangun lalu membuka almari pakaian Rahman. Diana membuka salah satu laci di dalamnya dan berkata, “Yang mana satu Encik Syahir nak?”.

“Ambil yang pemberian anaknya Elyas,” jawab Syahir. Diana mengambil jam tangan Rolex yang berwarna hijau bersalut keemasan lalu diberikan kepada Syahir.

Syahir mengambilnya sambil tersenyum lebar. “Kenapa Encik Syahir senyum?” soal Diana.

“Hal ini membawa kita kepada suspek kedua, Elyas.” Syahir menjawab.

Syahir menerangkan bahawa jam tangan yang dipegangnya itu ialah hadiah daripada Elyas semasa hari lahir Rahman. Semasa hari lahirnya itu, terjadi pergaduhan antara Rahman dengan Elyas. Elyas yang mengetahui ayahnya mempunyai kekasih gelap telah mengugut Rahman agar berterus terang dengan ibunya.

Elyas juga telah memaksa Rahman agar meninggalkan sikapnya yang suka berfoya-foya dengan wanita lain. Namun Rahman mengugut Elyas kembali, sekiranya Elyas menentang perbuatannya, maka Elyas tidak akan mewarisi harta peninggalannya walau satu sen sekalipun.

“Elyas tahu siapa kekasih ayahnya?” Diana bertanya lagi.

“Mengikut kata Elyas, beliau tidak pernah bertemu dengan wanita itu. Namun hanya diketahui oleh rakan Elyas yang ternampak Rahman dan wanita itu selalu tidur di hotel bersama-sama,” jelas Syahir.

“Jadi, mungkin Elyas yang meracun ayahnya kerana ugutan itu?” kata Diana.

“Betul. Mungkin. Sama juga dengan motif suspek ketiga iaitu, Alya.” Syahir meletakkan jam Rolex itu di atas katil. “Boleh Cik Diana ambilkan salah satu gincu milik Alya?” Sekali lagi Syahir mengarahkan Diana.

Diana menuju ke meja solek, lalu menundukkan badannya dan mengambil beg kosmetik yang besar di bawah meja itu. Beg kosmetik itu diserahkan kepada Syahir. Kemudian, Syahir membuka beg kosmetik itu, lalu mencari sesuatu. Kemudian membawa keluar sebatang gincu.

“Kalau Cik Diana nak tahu, gincu ini bukan milik Alya,” jelas Shahir.

Diana terkejut. Dia semakin gelisah. “Bagaimanakah Encik Syahir tahu?” soal Diana.

Syahir menerangkan, Alya sebenarnya telah mengetahui Rahman mempunyai kekasih gelap sebulan yang lalu. Apabila Alya mempunyai urusan di luar kawasan, Alya pergi sendiri untuk beberapa minggu. Namun beliau telah diberitahu oleh seorang jirannya yang ternampak Rahman membawa pulang seorang wanita ke rumah ini beberapa kali semasa ketiadaannya.

Alya telah mengugut untuk membongkar rahsia Rahman, tetapi Rahman berkata bahawa Alya tiada bukti yang kukuh untuk menuduhnya mempunyai kekasih gelap.

“Namun begitu, Alya berjaya menemukan gincu ini di dalam bilik tidur mereka. Alya menyimpan gincu ini sebagai bukti bahawa Rahman curang kepadanya.” Syahir menjelaskan sambil menunjukkan gincu itu kepada Diana.

“Jadi, Alya meracun Rahman kerana suaminya curang?” soal Diana. “Betul. Mungkin.” Syahir menjawab tenang dan masih tersenyum sinis.

“Ini membawa kita kepada suspek yang keempat.” Syahir menutup gincu tersebut.

Shahir perlahan-lahan mengeluarkan gari dari dalam poket seluarnya. Diana mula tidak senang duduk. Diana cuba untuk melarikan diri, tetapi pantas tangannya ditangkap oleh Syahir, lalu tangan kirinya digari, dan dikunci di bucu katil.

Diana meronta-ronta ingin melepaskan diri. Syahir duduk di hadapan Diana lalu mengambil beg tangannya. Syahir mencari-cari sesuatu di dalam beg tersebut, lalu membawa keluar botol yang berisi racun.

“Tujuan Cik Diana datang sini, sebab nak letak racun itu di sini, betul tak? Cik Diana nak letak racun ini di kawasan pembunuhan, supaya pihak berkuasa akan mengesyaki Alya yang membunuh. Betul?” soal Syahir.

Diana hanya berdiam diri. “Tadi Cik Diana kata tak pernah datang rumah ini. Tapi dari tadi saya minta barang di dalam rumah ini, semua Cik Diana tahu kedudukan barang-barang itu. Bagaimana agaknya ya?” Syahir menyindir lagi.

Diana masih mendiamkan diri. Wajahnya bertambah marah. Air matanya hampir mengalir.

“Sebab Cik Diana pernah datang ke sini. Cik Diana ialah kekasih gelap Rahman. Sebelum Rahman pulang ke rumah untuk makan malam, pasti dia bertemu dengan Cik Diana dahulu kerana wangian yang sama pada mayat Rahman ada pada Cik Diana sekarang,” jelas Shahir.

Diana akhirnya tidak dapat menahan air mata. Beliau menangis dan meronta ingin melepaskan diri.

“Semasa berpisah, Cik Diana telah meracun Rahman terlebih dahulu. Oleh sebab itu, semasa makan malam, Rahman telah terkena kesan racun yang diberikan oleh Cik Diana, dan mati secara mengejut,” jelas Syahir sambil melihat ke dalam beg Diana mencari bukti yang lain.

Syahir mengeluarkan jam tangan Rolex milik Rahman dan juga sekeping gambar ultrabunyi janin yang berusia lima minggu. Syahir mengeluh. Syahir meletakkan gambar itu di atas riba Diana.

“Dia tak nak bertanggungjawab. Dia minta aku gugurkan kandungan. Dia kata kalau aku tak gugurkan, dia minta aku pergi daripada hidup dia.” Diana bersuara dalam keadaan teresak-esak. Syahir mengeluh lagi. Diana memandang Syahir lalu berkata, “Saat bila Encik Syahir tahu sayalah pembunuh Rahman?”

Syahir tersenyum lalu menjelaskan, “Kalau betul Cik Diana pertama kali datang ke rumah ini, mustahil Cik Diana boleh tahu replika makhluk asing itu merupakan pemetik api. Tiada siapa pun sangka itu ialah pemetik api. Hanya orang yang biasa di rumah ini sahaja yang tahu.”

Diana hanya tertunduk. Air matanya mengalir tanpa henti. Penyesalannya tiada guna lagi. Hanya menanti nasib yang bakal menimpa dirinya yang telah membunuh seorang sutradara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.