18 Mac 2022, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi. (Sumber: Goodreads)

Kuala Lumpur – Penulis dan aktivis dalam dunia penulisan, Iman Danial Hakim memang dikenali sebagai pembaca buku tegar yang tidak luak berkongsi rasa cinta terhadap buku kepada khalayak. Melalui buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi, Iman begitu teruja bercakap tentang pentaasub membaca yang “berdosa” dan bagaimana bibliofil sejati sanggup memanjat tangga yang tinggi untuk membaca senaskhah buku.

Menerusi sebuah sesi curhat yang diadakan baru-baru ini dengan tema “Membaca untuk Sembuh” anjuran JIWA, iaitu sebuah rumah penerbitan baharu yang tampil sebagai suara mempromosikan “swacinta” buat khalayak muda khususnya, Iman Danial Hakim tampil sebagai pembicara. Beliau berkongsi maksud sembuh dapatan beliau sebagai “apabila kita bertambah baik daripada kesakitan”.

Definisi kesakitan pula luas, dan banyak konteks perlu diambil kira. Bagi pelajar, mungkin sakit dalam mengurus wang dan pembelajaran. Bagi mereka yang berkerjaya, kesakitan itu boleh datang dalam bentuk keterbatasan masa dalam hidup. Malah bagi penulis, kekurangan idea, kemahiran dan sentuhan dalam berkarya adalah kesakitan yang juga khusus dirasai oleh mereka. “Dan bagi individu tersebut, berbeza cara mereka berhadapan dengan kesakitan. Ada yang berdamai dengan kesakitan, ada pula yang bertindak mengatasi kesakitan itu,” ujar Iman.

Langit Vanilla. (Sumber Goodreads)

Beliau juga memetik kata-kata Wani Ardy yang ditulisnya dalam Langit Vanilla, “kita ini manusia, kita tidak boleh nak ada semua”. Baris itu disifatkan Iman sebagai baris yang memberi kesan kepadanya. Menurut Iman, “Sebagai manusia, kita memang terbatas. Kehendak kita luas, tetapi kemampuan kita tetap terbatas. Kita hanya manusia, makhluk yang ada pencipta.”

Menerusi sesi curhat itu juga, Iman berkongsi pandangannya perihal membaca untuk sembuh. Tambahnya, “Melihat hakikat pada hari ini, kita dalam zaman yang tergesa-gesa. Kita nak kejar banyak perkara. Semua yang berlangsung di sekeliling kita hari ini laju dan makin laju. Kita sebagai manusia, terpaksa ikut norma ini kerana jika kita tidak ikut arus, kita akan tertinggal.”

Membaca adalah momen yang kita boleh tarik nafas dengan tenang, dan duduk sebentar. Pedulikan dunia luar yang bergerak tanpa henti. Tutup sebentar kesibukan dunia dan buka senaskhah buku, itulah momen penyembuhan.

Terangnya lagi, ia seakan-akan terapi jiwa, kepala dan dada. Apabila seseorang itu membaca, mindanya akan membayangkan cerita. Cerita itu sifatnya memberikan emosi, menceriakan, menggembirakan, mengkhayalkan dan menginspirasikan. Secara tidak langsung, membaca ini memberikan ruang untuk kita merasa dan berperasaan.

Membaca itu seakan-akan bernafas. Seperti bernafas, membaca itu adalah antara keperluan paling penting untuk seseorang itu hidup. Membaca ini perlu sentiasa. Dengan membaca, kita boleh menjadi manusia yang sebenar.

Sesi curhat anjuran JIWA itu turut disertai Bahruddin Bekri, Hani Jamal, Hafizul Faiz, Amirul Hannan dan pempengaruh buku, Syazwina Johari. Masing-masing menyuarakan pandangan, rasa peribadi dan cerita masing-masing perihal buku dan membaca yang bersifat menyembuh.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.