8 Mac 2022, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terengganu – Shamsudin Othman menasihatkan agar para penulis dapat mengubah cara berkarya. “Apabila menulis karya eceran dalam akhbar atau majalah, penulis seolah-olah tidak serius tentang kematangan karya, tidak seperti apabila menulis untuk menyertai sesuatu sayembara. Jangan hantar karya yang “lebih kurang” kepada akhbar atau majalah. Saya harap penulis (lebih) berdisiplin, bersedia dengan mentaliti dan karya yang berkualiti apabila mengirimkan karya kepada mana-mana media penerbitan,” tegas Shamsudin dalam Wacana Karya Terpilih HASDI V yang telah diadakan baru-baru ini.

Sebagai pengarang, pastikan matlamat karya yang ditulis adalah untuk menyertai anugerah atau hadiah sama ada pada peringkat negeri atau Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan bukan lagi sekadar “suka-suka”. Dalam setiap anugerah, penganjur telah meletakkan pelbagai kategori seperti kanak-kanak, remaja dan umum untuk disertai. Namun beliau mengatakan bahawa ada penulis yang tersilap melabelkan kategori bagi karya mereka.

Penulis muda disarankan agar buang rasa rendah diri dan hantar karya berdasarkan kategori yang bersesuaian. Jangan meletakkan diri sebagai “penulis kecil” sehingga menurunkan karya sendiri kepada kategori karya yang lebih rendah kerana takut untuk bersaing.

Selain itu, terdapat tanggapan umum bahawa menulis puisi adalah mudah. Namun hakikatnya, menulis sebuah puisi walaupun pendek, adalah sukar. Dalam puisi, mesti ada konsep bijaksana dalam memilih dan menyusun kata-kata terbaik. Apabila menulis puisi kanak-kanak, remaja dan umum; para penulis hendaklah  memahami dan memenuhi konsep kata-kata terbaik sesuai dengan kategori karya yang hendak ditulis. Sebagai contoh, penulis boleh bermain dengan unsur gaya bahasa seperti simile, metafora dan hiperbola yang bersesuaian untuk puisi kanak-kanak.

Bagi Shamsudin, keaslian amat penting dalam puisi kerana keaslian bergantung kepada kekuatan berkarya. Setiap penulis beriltizam untuk mencipta karya yang benar-benar bersifat peribadi, namun untuk menjadi pengarang yang baik mereka perlu banyak membaca. Membaca akan memberikan jawapan supaya tidak berlakunya proses ciplakan (plagiat). “Kita mempunyai idea yang bagus, kemudian tulis dan olah, namun kerana kurang membaca kita akan mengolah benda yang sama seperti bacaan kita dengan mengikut seperti yang ditulis oleh orang lain dan akhirnya menampakkan adanya ciplak,” tambah beliau.

Shamsudin menjelaskan antara aspek yang ditekankan dalam penilaian karya HASDI V merangkumi beberapa aspek, iaitu yang meliputi inovasi dan kreativiti, kekuatan dan keaslian, kesatuan organik yang boleh menyentuh emosi atau rasa dan memberi pengajaran, gaya bahasa dan kepekaan sensitiviti atau persepsi.  Panel membaca hampir 1000 buah puisi dan mencari “rasa” yang boleh memberikan kesan, iaitu kembali kepada kebenaran yang asasnya boleh memberikan pengajaran. Jelaslah, bahawa sastera akhirnya mestilah bertunjang kepada kebenaran.

Menyentuh tentang karya berunsur futuristik oleh para peserta, Shamsudin meletakkan futuristik bukan karya bersifat fantasi. Futuristik bukan khayalan tetapi berpaksi kepada kebenaran. Karya begini bergantung pada kebijaksanaan dan keupayaan penulis untuk berfikir atau mengolah secara futuristik. Contoh karya futuristik ialah sajak Baha Zain bertajuk “Surat Tahun 2000” yang ditulis pada tahun 1973. Dalam sajak tersebut, ada perkataan ‘komputer’.  Komputer pada masa itu belum ada di negara kita dan Baha Zain menemuinya sewaktu ke Amerika. Dalam sajaknya turut dimasukkan frasa “Kubawa komputer ke mana-mana”. Inilah futuristik yang akhirnya menjadi realiti dan ada kebenarannya. Panel menolak karya berunsur futuristik yang berada di tahap awang-awangan. Konsep futuristik merupakan sesuatu yang tampak di depan mata, namun tidak boleh disentuh.

Shamsudin turut ditanya tentang karya eksperimental. Menurut beliau, karya eksperimental merupakan cubaan ke arah melahirkan inovasi dan kreativiti, namun akhirnya mesti berpaksikan pada kebenaran. Kemuncak penerbitan karya absurd adalah sewaktu ditangani oleh Mana Sikana yang turut pernah memenangi HSPM. Hal ini kerana karya eksperimentasi yang dihasilkan oleh Mana Sikana adalah berlandaskan kebenaran yang gemar menggunakan teknik reverse psikology.  Oleh itu, penulis pemula disarankan untuk merujuk karya eksperimentasi beliau untuk lebih memahami karya eksperimental.

Mengulas dengan lebih lanjut tentang pencalonan bagi kategori Sasterawan Negeri atau peringkat nasional, Shamsudin mengharapkan agar persatuan penulis bersatu untuk mencalonkan penulis dalam persatuan masing-masing. Selain itu, penulis muda juga perlu diberikan ruang untuk bercakap tentang karya-karya penulis mapan dan sekali gus mengangkat kekuatan pemikiran berkarya yang akan menjadi elemen penting dalam membantu menguatkan sesebuah pencalonan itu.

Beliau turut mencadangkan agar penulis pemula harus membaca esei tulisan Sasterawa Negara Anwar Ridhwan dan melihat tentang bagaimanakah beliau menyentuh dan mengangkat tentang ketokohan seseorang penulis yang diperkatakan oleh beliau.

Menutup bicara, Shamsudin menerangkan tentang beberapa kategori HASDI V yang tidak mempunyai pemenang. Hal ini disebabkan oleh keputusan panel yang bersetuju untuk tidak memberikan hadiah kepada karya yang tidak mencapai tahap yang diletakkan. Perkara ini dilakukan demi menjaga kredibiliti HASDI V agar setaraf dengan hadiah sastera di negeri lain.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.