27 Februari 2022, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menurut Ainunl Muaiyanah, kritikan yang kuat dalam novel Pride and Prejudice dipaparkan sendiri melalui watak dalam novel kesayangan ramai itu. Malah, hampir kesemua watak dalam Pride and Prejudice, atau Angkuh dan Prasangka (terbitan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Biblio Press) sendiri ada memaparkan kebodohan dan sifat ketidaksedaran masing-masing.

“Ketika novel ini hadir, zaman ini adalah zaman dunia sedang berperang (juga latar dalam novel itu sendiri). Serta sifat tidak peduli terhadap realiti dalam watak tersebut merupakan kritikan Jane Austen sebenarnya. Ketika masyarakat sekeliling kesemuanya merana dalam dunia peperangan, kehilangan tempat tinggal dan orang kesayangan, watak-watak seperti Elizabeth dan Darcy hanya berpusar pada isu tentang perihal tanpa memikirkan nasib rakyat yang menderita,” jelas Ainunl.

Wan Azriq berkata, lingkungan kehidupan pengarangnya, Jane Austen juga sebenarnya seperti itu. Menurutnya, “Jane Austen sendiri mempunyai keluarga yang tidak terlalu progresif. Walaupun ibu bapanya menyokong pembelajarannya, namun beliau juga kelihatan dikongkong keluarga, dan beliau menggambarkan masyarakat sekeliling melalui perspektifnya, malah memaparkan pula bagaimana kehidupan sebegitu dapat mengongkong kebebasan seorang wanita. Kebebasan untuk bertindak, membuat keputusan dan untuk menulis.”

Seperti tajuknya, Angkuh dan Prasangka merupakan naskhah komentar terhadap sifat prasangka yang ada dalam diri manusia. Setiap manusia mempunyai rasa prasangka terhadap diri masing-masing, dan Austen menunjukkan bahawa,setiap perkara yang kita sangka dalam seseorang itu selalunya tidak seperti yang kita fikir.

Wan Azriq menyifatkan Elizabeth sebagai seorang yang individualistik, sangat percaya pada diri sendiri, walaupun dia sendiri ada kesilapan dalam meletakkan sifat prasangka. Ainunl menambah bahawa selaku orang kaya, Elizabeth merasakan dirinya di takah yang lebih tinggi daripada beberapa watak lain. “Malah kerana dia banyak membaca, maka dia berasa dia lebih bijak dan pandai daripada orang lain. Novel ini seperti mencuit keangkuhan watak ciptaan Jane Austen.”

Menurut Ainunl lagi, persoalan yang dimainkan dalam dialog penggerak naratif novel ini ialah ‘tentang keangkuhan seorang perempuan, dan apakah aku berprasangka pada engkau, dan apakah benar prasangka ini?’.

Dalam novel Angkuh dan Prasangka juga,  Jane Austen menampilkan kelainan yang ketara dalam dunia penulisan sewaktu zamannya yang diterbitkan pada tahun 1813. Wan Azriq memperlihatkan tentang bagaimanakah Jane Austen membawa pembaharuan dalam penceritaan yang lebih intim terhadap pembaca.

Wan Azriq menjelaskan, “Jane Austen terus membuang latar yang terlalu rumit. Sebelum zaman romantisme, dunia luar rumah yang dipaparkan merupakan aspek paling penting dalam aksara penulisan seperti angin yang menderu, padang yang luas, pokok yang bergoyang. Melalui Angkuh dan Prasangka, Jane Austen mengehadkan semuanya kepada perbualan di dalam rumah sahaja. Sama ada perbualan dalam bilik, melalui tarian dan sebagainya.”

Selain Wan Azriq dan Ainunl Muaiyanah, sesi bual bicara tersebut turut menampilkan Kiridaren Jayakumar yang mengupas dengan lebih mendalam tentang karya tersebut. Kiridaren berkata, “Dalam dunia penulisan, Pride and Prejudice (Angkuh dan Prasangka) adalah sebuah karya agung. The Biblio Press memang menetapkan pengkhususan kami dalam memastikan karya agung dunia memasuki ranah pembukuan tempatan.”

Beliau turut berpendapat, Angkuh dan Prasangka ini adalah sebuah adikarya Jane Austen yang perlu dan wajib dibaca semua lapisan masyarakat.  “Melalui buku ini Jane Austen menyentuh isu perkahwinan, kasta dan genderisme.” Tambah Kiridaren.

Angkuh dan Prasangka dipilih The Biblio Press untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang dilakukan oleh Irni Fazrita Farid. The Biblio Press sebagai rumah penerbitan kontemporari begitu giat dalam kerja menterjemahkan karya agung dunia kepada bahasa Melayu. Pelancaran buku ini dilaksanakan pada 25 Februari yang lalu bersempena dengan Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB 2022) yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.