Oleh Liya Winchester
24 Februari 2022, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Siapa budak itu?” Kedengaran orang bercakap. Din berpaling. Di kanannya; di seberang jalan, dua orang budak perempuan sebaya kakaknya menapak lambat-lambat. Din tidak kenal pun mereka.

Seingat Din, dua orang budak perempuan itu tidak pernah dilihatnya di kampung ini. Oleh sebab malas ambil tahu hal mereka, Din berpaling semula ke hadapan. Di situ ada banyak mainan – semuanya plastik. Din membelek-belek patung askar kecilnya.

“Itu adik Nur Akmaliah,” kata seorang daripada budak itu dengan suara yang sedikit pelik. Budak itu bercakap seperti orang lidah pendek. Tali perut Din seperti ada orang garu. Suara budak perempuan itu sama benar suara satu watak siri kartun Wok Yoh. Din gelak; teringat dagu Wok Yoh seakan-akan dagu ahli sihir. Giginya cuma dua batang. Suara Wok Yoh seperti suara budak tadi.

Din selalu menonton cerita itu dalam YouTube bersama dengan Kak De dan Abang Ngah pada hujung minggu. Masa itu Abang Ngah berehat sahaja di rumah. Abang Ngah bercuti.

“Oh, itu adik Nur Akmaliah ya!” ujar budak perempuan yang mula-mula bertanya pasal Din tadi. Barangkali pada ketika itu dia terbayang akan wajah Nur Akmaliah.

“Dia selalu bermain seorang diri. Bagus betul. Dia langsung tidak mempedulikan sesiapa,” ujar kawan budak itu; menapak melepasi kawasan bersimen di hadapan tangga rumah Din.

“Macam mana kau tahu pasal budak tu? Kau bukannya tinggal di sini,” soal rakannya.

“Memanglah aku bukan orang kampung ni!”

“Habis tu, macam mana kau tahu? Kau ni selalu saja buat-buat tahu.”

Mereka melintasi rumah Din dan sesekali menoleh ke belakang; melihat kelibat Din. Mereka seperti tahu Din curi-curi dengar perbualan itu. Din membongkok namun tidak jadi bangun. Sewaktu Din mahu bangun tadi, dia nampak dua orang budak itu menoleh ke arahnya.

“Aku tahu pasal budak itu sebab aku selalu pergi dan balik dari sekolah ikut jalan ni. Aku naik van dengan rakan-rakan sekelas aku tiap-tiap hari. Van lalu ikut kawasan ini untuk ambil dua orang penumpang yang sama seperti aku. Aku selalu nampak dia bermain seorang diri macam yang kita tengok tu,” kata budak perempuan yang disindir kawannya.

“Oh, begitu kisahnya! Kau ni prihatin, tak macam aku. Sambil naik van pergi balik dari sekolah pun sempat kau perhati macam-macam. Kau tak seperti aku ni yang entah apa-apa. Aku ni bukannya prihatin sangat,” balas kawannya.

“Itulah kau, kalau aku jawab kau merajuk,” ujar budak perempuan yang seorang lagi.

“Alahai, maaflah. Aku bergurau saja,” balas kawannya. Mereka terus melangkah tetapi tidaklah pantas lagi. Mungkin mereka tidak perlu mengejar masa.

Din mendengar semua perbualan mereka. Bagi Din, mungkin budak perempuan itu berniat menyedarkan kawannya yang suka berprasangka kepada kanak-kanak sepertinya. Din dengar budak perempuan itu kemudiannya gelak-gelak.

Suara budak tadi kedengaran sayup-sayup. Dek sedar dua orang budak perempuan itu makin menjauh, Din pun cepat-cepat bangun. Din berdiri kukuh di situ. Sejurus kemudian, Din berlari keluar sedikit dari kawasan teduhan dekat dengan tangga rumahnya. Dia cuba menjenguk dua orang budak perempuan tadi ke hujung jalan.

Dari jauh, Din mendapati kelibat dua orang budak perempuan tadi hampir sampai ke tepi jalan raya. Kelibat mereka mengecil. Mereka membelok ke kanan simpang. Mungkin mereka mahu ke pondok bas di tepi jalan sana, fikir Din seketika. Memang benar apa yang Din sangka. Dua orang budak itu ke kanan simpang. Mereka ke kawasan hadapan sebuah kedai tayar. Dari situ mereka bergerak ke arah surau. Dekat surau itulah adanya pondok bas.

Din kembali ke kawasan teduh tempat dia bermain perang-perang askar plastik. Dia seronok bermain permainan itu. Askar plastik itu abah yang beli. Kata abah, askar banyak jasa kepada negara ini. Askar akan lawan jika musuh menyerang negara ini.

Maka, kata abah lagi, kita mestilah hormati askar. Kita mesti pandang askar dengan pandangan yang mulia. Itulah kata abah. Banyak kali abah berkata begitu. Din ingat pesan abah. Din tahu itu pesanan yang baik. Pesan yang baik perlulah Din patuh.

Lama Din bermain di situ. Kak De belum pulang. Kak De ada kelas khas Matematik dan selalu ada kelas begitu pada hujung minggu.

Sebenarnya Din bosan duduk di rumah seorang diri macam ni. Memanglah mama ada di atas, tetapi mama tidak boleh bermain-main dengan Din. Mama kena memasak. Sekarang pun mama sedang memasak. Abah akan pulang dari bandar. Abang Ngah akan pulang dari kampung kerana menziarahi nenek. Abang Long akan pulang dari rumah ibu saudara di sebuah bandar lain yang agak jauh. Sekarang mereka tiada di rumah tetapi mereka akan pulang juga nanti.

Apabila semua pulang nanti, mereka sekeluarga akan makan tengah hari. Jadi mama kena memasak. Kerana mama kena memasak, mama tidak boleh bermain dengan Din. Maka, Din kena bermain seorang diri. Semua itu Din tahu.

Dari kawasan teduh bawah rumah dekat tangga bersimen itu tiba-tiba Din tercium bau sesuatu benda. Din bangun daripada duduk bertinggung sejak tadi. Din melepaskan dua askar plastik yang ada di tangan kiri dan tangan kanannya. Askar itu tertiarap di lantai.

Bau yang kuat itu menjelajah ke rongga hidung Din. Harum. Sedap baunya. Din kenal benar bau itu. Ya, itu bau masakan mama! Hati Din seakan-akan dijentik oleh keinginan menikmati masakan mama. Din dapat meneka masakan di dalam belanga mama. Itu pasti ikan patin. Ikan patin itu mama masak asam pedas campur tempoyak. Di rumah mereka banyak tempoyak, hasil durian kebun abah. Selera Din terbuka.

Sejak setahun yang lalu Din suka masakan itu. Neneklah yang mula membiasakan Din dengan lauk tradisional itu. Nenek Din itu ibu kepada abah. Nenek menyediakan masakan itu sewaktu Din pulang bercuti di kampung asal kelahiran abah, tidak jauh dari sebuah kawasan pelancongan terkenal. Sejak itu, Din gemar makan nasi berlaukkan ikan patin begitu.

Petang itu, selepas selesai bersolat Asar berjemaah sebagaimana biasa di surau tidak jauh dari rumah mereka, abah memanggil Kak De ke ruang tamu. Kuat suara abah. Kebetulannya Din pun ada di ruang tamu rumah mereka. Din memasang telinga. Kata abah, pihak berkuasa tempatan daerah itu akan mengundang seorang personaliti televisyen terkenal negara ini datang memeriahkan Pesta Pekan Budaya kira-kira seminggu dari sekarang.

Kak De menunggu penjelasan abah. Din pun begitu. Din seronok; suka berkunjung ke pesta seumpama itu. Abah seolah-olah faham apa yang ada dalam fikiran Din. Maka, abah pun berkata bahawa pesta tahun ini dijangka lebih meriah daripada tahun terdahulu.

“Yang Dipertua Majlis Daerah itu telahpun melantik beberapa wakilnya untuk mengenal pasti seorang kanak-kanak berbakat dalam bidang deklamasi sajak. Kanak-kanak itu nanti, kata abah, akan mendeklamasikan sebuah sajak di hadapan orang ramai,” kata abah lagi.

“Dia nak budak lelaki atau budak perempuan?” tanya Kak De sambil mencuri pandang Din. Kak De mengangguk dan membesarkan matanya. Kak De senyum ke arah Din. Kak De merapatkan gigi atas dengan gigi bawah menahan hatinya yang geli melihat gelagat Din.

“Setakat cerita yang abah tahu, pihak penganjur mahu kanak-kanak lelaki. Lagi muda lagi bagus. Kalau ada, kanak-kanak sekitar usia empat hingga enam tahun yang jadi pilihan. Sajak tak perlu panjang; tak perlu hafal tapi, kalau panjang dan kalau hafal, lagi bagus. Ada bayaran disediakan kepada kanak-kanak itu,” jelas abah.

Panjang juga abah memberikan penjelasan tadi. Ngeri pula Din mendengarnya. Bahagian yang paling Din takut ialah bahagian “keperluan kanak-kanak lelaki”. Din berasa mahu demam serta-merta. Tambah menakutkannya ialah bahagian “usia antara empat hingga enam tahun”. Din berasa dia mahu lari dari ruang tamu itu sekarang, tetapi Din risau kalau dia bergerak nanti abah tahu dia takut. Din tidak mahu abah tahu anak lelaki bongsunya itu takut.

Dek tidak mahu abah tahu anak lelaki bongsunya itu takut, maka Din terus juga kekal duduk di kerusi set. Dia buat tidak apa-apa tetapi Kak De macam tahu sahaja apa ada dalam hati Din. Cara Kak De tengok Din tadi pun macam Kak De mahu mengusik Din.

“Apa kata kalau… .” Kak De menjeling ke arah Din sekali lagi. Kak De tidak meneruskan kata-kata. Kak De curi-curi pandang wajah Din sebelum dia menyudahkan kata-katanya. Din berasa seperti mahu terkencing dalam seluar. Tubuh Din seram sejuk jadinya. Kata Kak De seterusnya, “Apa kata kalau abah cadangkan nama… .”

“Cadangkan nama Din sajalah,” kata Abang Ngah yang datang entah dari mana. Kak De tersengih, kemudian bersorak. Abang Long bertepuk tangan; bersetuju. Mama pula diam tetapi senyum sikit-sikit. Senyum mama, senyum bercampur simpati. Abah ketawa besar dan seakan-akan menerima cadangan Abang Ngah.

“Arghhhhh!” Din mendengus. Dia pucat lesi. Kalau dipicit wajah Din ketika itu tentu tidak kelihatan warna darah pada bahagian bawah kulitnya. Wajah Din seperti wajah zombi.

“Semua syarat tu tepat dengan Din. Cadangkan nama Din sajalah, abah. Anak bongsu, lelaki pula tu, kenalah berani,” ujar Abang Ngah; disokong Abang Long dan Kak De.

“Arrggghhh… .” Din seterusnya beredar dari ruang tamu. Dia terus ke bilik air. Ditanggalkannya seluar. Seluar itu basah ketika dia berada di ruang tamu.

Di dalam bilik air, Din menangis tak bersuara. Dia takut kalau benar abah mencadangkan namanya kepada penganjur Pesta Pekan Budaya sebagai kanak-kanak pendeklamasikan sajak.

Oleh sebab terlalu takut, Din pun mengambil keputusan untuk berkurung sahaja di dalam bilik air itu beberapa lama hari itu. Din mahu abah tahu dia tidak mahu naik ke pentas pada malam itu nanti. Din hanya mahu ke majlis itu sebagai penonton; bukannya pendeklamasi sajak.

Lama Din duduk di dalam bilik air tetapi akhirnya dia keluar juga sambil mengesat kedua-dua matanya dengan belakang tapak tangan. Petang itu, selepas selesai menunaikan solat Asar bersama-sama abah di surau dan kemudian ke rumah sepupu mama di sebelah surau itu, Din berlari pulang. Din dapat mengagak bahawa di rumah, Kak De dan mama yang pulang lebih awal sedang menyambung latihan mendeklamasikan sajak. Mama menjadi jurulatih Kak De dari segi kelancaran. Abah pula sebagai jurulatih sebutan, jurulatih nada, dan jurulatih gaya.

Din yakin Kak De mampu membuat persembahan dengan baik malam nanti. Din tahu pemilihan Kak De sebagai deklamator sajak tepat kerana Kak De pernah menjadi juara peringkat negeri ketika bertanding mewakili daerah mereka. Selepas itu Kak De selalu menjadi johan dalam pertandingan anjuran pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun agensi swasta.

Detik berlalu pantas. Din terkenang peristiwa lucu. Apabila abah memberitahunya satu  perkara, barulah Din keluar dari bilik air. Rupa-rupanya Kak De sudah pun menjadi pilihan penganjur. Tanpa sedikit pun Din sangka, abah dan seluruh ahli keluarga hanya menyakatnya. Mereka, terutamanya Abang Ngah sekadar mahu menguji keberanian Din.

Malam pun tiba. Itulah detik yang din tunggu-tunggu. Hati Din kembang kerana Kak De akan menjadi kanak-kanak popular. Nama Kak De akan dipanggil oleh personaliti televisyen terkenal ke pentas. Kak De akan mendapat sagu hati. Ada pula stesen televisyen melakukan rakaman yang disiarkan dalam beberapa siri pada sebelah petang.

Din dan seluruh ahli keluarganya keluar dari rumah selepas selesai bersolat isyak di surau dekat rumah. Kata abah, jadual Kak De melakukan persembahan sekitar pukul 10 malam dan itu amat sesuai. Rumah mereka tidak jauh dari tapak pesta. Oleh sebab itu, mereka tidak perlulah gopoh-gapah. Yang penting meneruskan solat berjemaah di surau.

Sampai di bandar kecil yang juga bandar utama daerah itu, abah meletak kenderaan agak jauh dari dataran tempat majlis berlangsung. Biarpun jauh, ketika pintu kereta dibuka, keriuhan majlis sampai ke telinga mereka. Kedengaran sebuah kumpulan penyanyi lagu warisan daerah itu sedang melakukan persembahan. Hati Din melonjak-lonjak kegembiraan.

Din dan ahli keluarganya duduk di atas rumput beralaskan tikar plastik yang mereka bawa. Kira-kira tiga suku jam kemudian abah mendapat isyarat melalui telefon bimbit. Kak De diiring oleh abah dan mama ke belakang pentas untuk menunggu giliran. Din dan abang-abangnya terus sahaja kekal berada di atas hamparan tikar plastik.

Di sekeliling mereka orang ramai menghadap pentas. Memang benar, juruacara majlis seorang personaliti televisyen terkenal. Dia sedaya upaya menjalankan tugasnya dengan baik. Din seronok menyaksikan persembahan sebuah kumpulan lawak.

“Ini teks telefon Abah. Giliran Kak De sekejap saja lagi,” kata Abang Ngah, teruja.

“Bagus. Elok juga kita turut rakam gambar dan video,” cadang Abang Long pula.

Dari jauh Din cuba sorot pandangan ke belakang pentas tetapi tidak kelihatan Kak De. Ke mana Kak De, fikir Din. Mama dan abah sudah mula bergerak dari belakang pentas ke sisi kanan dan kiri untuk membuat rakaman dengan kamera telefon bimbit masing-masing.

“Hadirin yang dimuliakan, malam ini kita tampilkan seorang bintang deklamator sajak dalam pembikinan yang berbakat biarpun masih cukup muda. Beliau akan mendeklamasikan sajak berjudul “Bahasa” karya Profesor Rahman Shaari. Dipersilakan Adik Nur Akmaliah Alias,” kata juruacara berkenaan dengan suara yang mantap dan bernilai komersial.

Penonton bertepuk tangan. Kak De tidak muncul-muncul di pentas. Din cemas. Dia teringat perbualan dua budak perempuan yang melintasi rumah mereka minggu lepas. Din diam. Suatu perasaan menyerap ke salur darahnya. Din memandang ke arah pentas sekali lagi. Tidak kelihatan pun Kak De muncul. Kak De tiada di situ.

Ke mana Kak De, fikir Din. Tiba-tiba sahaja Din berasa kecut perut. Din berasa seperti mahu terkucil. Penonton kian kuat bersorak. Suasana gegak-gempita. Din tenggelam dalam sorakan yang membesar. Suara itu menceroboh ruang telinga Din, kemudian menjalar ke hulu hatinya. Tidak!

“Mana Din?” tanya mama kepada Abang Ngah selepas selesai Kak De melakukan persembahan. Tidak ada kelibat Din pada ruang pemerhatian mama.

Abang Ngah tidak terjawab. Mulutnya bagaikan terkunci.

“Din mana?” ulang mama. Matanya singgah ke dataran wajah Abang Long. Abang Long hilang punca; ketiadaan jawapan. Mama cemas, rusuh dan bergelora. Abah juga demikian.

Kedua-dua orang saudara tua dalam keluarga Din tidak tahu perkataan yang harus mereka ujarkan. Yang jelas, mereka berasa sangat bersalah. Mereka tidak sedar bahawa Din tiada di sebelah mereka tadi. Kedua-duanya berwajah kelat dan berasa sangat bersalah. Mereka mengakui kecuaian masing-masing dan dalam hati, mereka berharap Din selamat.

Mereka berpecah mencari Din. Kak De menunggu di atas tikar plastik dengan harapan tiba-tiba nanti Din muncul di situ. Di pentas, pesta berterusan mengikut atur cara. Kumpulan penyanyi terkenal daerah itu melakukan penampilan. Penonton  bersorak memberikan semangat. Kegembiraan memenuhi ruang pesta malam itu. Yang rusuh hanyalah ahli keluarga Din. Suku jam berlalu, namun Din belum juga ditemukan. Mereka dilanda kebimbangan yang parah.

Tiba-tiba abah terfikir sesuatu kemungkinan. Tanpa banyak memberikan penjelasan, abah mengajak mereka ke kereta. Apabila tiba di situ, abah cepat menekan butang kunci automatik. Mereka pantas membuka pintu kereta tetapi kereta kosong. Tiada pun Din di dalamnya. Abah terpandang secebis kertas pada kerusi pemandu. Pantas selepas itu abah buka but kereta. Kelihatan Din menggerekot di situ. Di tangannya ada kunci pendua kereta!

“Din takut!”

“Takut apa?” tanya mama.

Din diam dan mula menangis.

“Apa yang Din takut?” tanya abah. “Din takut dengar juruacara tadi tu panggil Din ke pentas. Dia kata, dipersilakan adik Nur Akmaliah. Din tahu dia panggil Din tu. Mana Din pandai baca sajak. Din bukannya Kak De. Din takut semua orang gelakkan Din,” kata Din tersedu-sedu.

Serentak dengan itu pecah ketawa semua ahli keluarga Din, termasuklah Kak De yang baru tiba dengan hidung berpeluh!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.