Oleh Roslan Jomel
15 Februari 2022, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memetik esei bertajuk “Kreativitas” dalam buku Solilokui (2020), Budi Darma menyatakan, “Menurut pandangan Herbet Read, banyak seniman muda dijangkiti suatu penyakit, iaitu penyakit ingin menjadi seniman terkemuka, tetapi modalnya hanya dengkul.”

Sekukuh mana idealisme dan pegangan seseorang penulis muda sewaktu beranjak ke fasa kedewasaan? Apakah bezanya antara alam fiksyen dengan kenyataan sebenar? Adakah sikap seseorang penulis itu masih sama sebagaimana yang terakam dalam karya awal mereka? Atau prinsip yang dipertahankan akhirnya beransur-ansur melebur kerana desakan kehidupan seiring dengan perubahan zaman?

Terlalu banyak manisan di sana sini dalam kehidupan. Ada yang menulis kerana tuntutan artistik dari dalam. Jiwa seniman mereka mudah terusik bagai daun semalu. Ada yang menulis demi meluahkan pandangan dan pemikiran, lalu teguh membalut pada keperibadian. Tidak mudah terpancing oleh “sampul surat”. Sastera hanyalah sastera. Bukan kemahiran hidup yang perlu dikuasai. Sama ada sastera berupaya mengubah budaya dan mentaliti masyarakat, ia hal ghaib untuk dijadikan slogan muluk.

Pada usia 25 tahun, Azman Hussin mengejutkan khalayak sastera kebangsaan, apabila buku kumpulan cerpen terbitan sendiri, Dongeng PascaMerdeka diumumkan sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999. Buku Dongeng PascaMerdeka dikarang ketika usianya baharu mencecah 24 tahun dan ini mengingatkan kita tentang Sasterawan Negara A. Samad Said yang menghasilkan novel Salina pada usia muda.

Sumber: goodreads.com

Kedua-duanya meriwayatkan kehidupan golongan marginal dari dua zaman berlainan tetapi sama menyakitkan namun dibezakan dengan bentuk naratif dan teknik penceritaan. Pada detik itu, sastera kebangsaan mula bergelora dengan pertembungan pemikiran konvensional dan eksperimental. Adakah benar kemunculan penulis muda umpama mi segera? Setiap manusia, ada ego, termasuklah golongan yang dinamakan sasterawan.

Secara peribadi, saya belum memiliki buku tersebut, apatah lagi mengaribkan pengarangnya sebagai kenalan. Adakah Azman Hussin serumit watak utama dalam cerpen “Eskapis” tulisannya sendiri? Kononnya, kaum penulis sangat perahsia. Lebih gemar menyendiri dengan menyusuri jalan yang tidak dilalui orang kebanyakan.

Azman Husin. Sumber: penaminang.com

Selain mereka bukanlah artis pujaan masyarakat, urusan kesenian dan kesusasteraan, juga suatu hal yang asing dalam rutin kehidupan praktikal masyarakat normal. Oleh sebab alasan tertentu, ada penulis yang memendamkan perkara peribadi mereka daripada pengetahuan khalayak sastera. Enggan berfoya-foya di media sosial. Emas selalunya berada di balik lapisan bumi. Biarkanlah pembaca mengenali pengarang berdasarkan karya. Anda sukar menonton wawancara Haruki Murakami di YouTube. Padahal, itulah kesempatan untuk memasarkan karya dan menonjolkan diri.

Azman Hussin entah muncul dari mana. Beliau naik ke pentas, berambut panjang dan seterusnya meninggalkan enigma tentang dirinya dalam kalangan penggiat sastera arus utama. Limpahan ulasan dan kajian tentang buku Dongeng PacaMerdeka diterbitkan di pelbagai media massa yang menganjakkan nama Azman Hussin sebagai bintang generasi baharu.

Beliau meninggalkan naratif penceritaan yang lazim dilakukan oleh pengarang seusia dengannya. Ketika penulis muda menerbitkan cerita tentang patah hati dan kesunyian, Azman Hussin mengarang (Tahun Depan di Jerusalem) tentang kemelut dunia setelah pencerobohan tentera Zionis di bumi Palestin serta dilema moral seorang aktivis politik.

Pada tahun 1998, berlaku peristiwa demonstrasi secara besar-besaran dalam negara. Peristiwa itu merupakan detik bersejarah dan kini menjadi dokumen penting dalam perjalanan politik negara. Keriuhan dalam negara itu dimanfaatkan oleh Azman Hussin untuk tema cerpennya. Saya pada ketika itu, masih terapung-apung antara pekerjaan dengan impian untuk menjadi penulis, yang entah akan bersinar atau dipudarkan oleh khayalan semata-mata. Bakat, minat dan semangat serta rambut bergaya M. Nasir sahaja belum mencukupi untuk bersaing dalam penulisan masa kini.

Landskap sastera kebangsaan pada akhir 1990-an, dimeriahkan dengan nama-nama seperti SM Zakir, Nisah Haron, Faisal Tehrani, Uthaya Sankar, Mawar Shafei, Ana Balqis dan beberapa lagi pengarang generasi muda yang mengemukakan gaya penulisan dengan teknik dahsyat nuansa mutakhir. Tiada lagi cerita perebutan tanah pusaka, keluarga kehabisan beras dan cendawan beracun.

Namun nama dan sosok Azman Hussin tersorok di balik kerancakan gelombang kesusasteraan kontemporari. Beliau mengunjungi Kuala Lumpur, menyaksikan kehidupan di jalanan dan balik ke kampungnya di Kelantan lalu menumpahkan pengalaman dalam tulisan. Beliau menganggap bahawa dia bukan seniman, tetapi pemikir.

Ungkapan itu menegaskan kehadirannya (populariti) dalam kalangan sasterawan bukanlah agenda utama. Yang ingin diangkatnya dalam naskhah bukan bersandarkan pada 100 peratus cerita. Adapun yang menjadi keutamaannya ialah idea, wawasan, kritikan dan pemikiran berhubung isu-isu semasa dalam masyarakat. Demi mencapai standard penulisan bercorak sedemikian, mahu tidak mahu, beliau menekuni buku yang canggih isi kandungannya. Kemudian, saya menyedari bahawa beliau kerap singgah ke kedai buku di Wisma Yakin untuk mendapatkan maklumat yang nantinya menjadi bahan bantu kepiawaian naskhah.

Siapakah lelaki nokturnal itu? Berapa kali beliau menghadiri bengkel penulisan? Bagaimanakah beliau mampu menulis cerpen yang memuatkan pelbagai deretan tajuk buku dalam naskhah kreatifnya? Lebih menakjubkan lagi, pada usia semuda itu, ufuk penulisan beliau juga sudah jauh meninggalkan ruang lingkup pembacaan anak muda.

Secara intelektual, bahan bacaan yang sofistikated telah meningkatkan tema penulisan Azman Hussin. Mata penanya ditajamkan oleh daya renung. Isu yang diketengahkan dalam cerpennya begitu serius, daripada masalah kejiwaan peribadi, kemelaratan orang-orang marhaen sehinggalah kemunafikan tokoh masyarakat.

Rupa-rupanya beliau tidak pernah menuntut ilmu penulisan melalui bengkel. Semua karya dihasilkan datang daripada pengalaman pembacaan yang kompleks. Maka, asas-asas wajib yang menjadi landasan penulisan karya kreatif tidak menjadi halangan untuk gaya penulisan menongkah struktur biasa.

Di belakang buku Dongeng PascaMerdeka,  Jaafar Abdul Rahim, mantan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, menyarankan bahawa karya Azman Hussin merupakan bacaan wajib untuk semua penulis. Pernyataan tersebut bukan sekadar suatu pujian, tetapi sebagai pembuktian daripada seorang ulat buku yang luas pengetahuan tentang perkembangan penulisan antarabangsa. Bukan sekadar itu, Jaafar Abdul Rahim jugalah individu yang mencadangkan buku itu untuk penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Hal itu, pernah saya tuliskan di laman blog peribadi pada suatu ketika dahulu (2008).

Azman Hussin cepat matang kerana didewasakan oleh saiz pembacaannya. Dengar khabarnya juga, manuskrip Dongeng PascaMerdeka pernah ditolak oleh rumah penerbitan terkenal. Namun demikian, sesiapa yang menentang kelaziman bakal meraih ganjaran pada kemudian hari kerana kelainan dan semangat pembaharuannya.

Azman Hussin sudah berlainan sekarang. Wajahnya serumit Raskolnikov. Namun dia tetap menjauhkan diri daripada komuniti sasterawan. Tema penulisannya lebih menjurus pada hal-hal keagamaan, falsafah, teologi dan situasi politik. Beliau masih dengan imej berambut panjang. Tiada lagi cerita warga kemacar yang melarat di tengah bandar raya. Dunia memang benar-benar berputar cepat. Mengubah yang hitam menjadi putih dan palsu tampak benar.

Tahun berganti tahun, saya akhirnya ditakdirkan untuk bersahabat dengannya. Pertemuan demi pertemuan berlaku di kafe kopi dan mamak di Jalan Bunus, Kuala Lumpur. Saya sering bertanya dengan beliau, mengapa tidak lagi menghasilkan cerpen? Buku kumpulan cerpen Apa yang Kau Cari? (2004) merupakan buku fiksyen terakhirnya hingga kini. Sudah pasti penulisan beliau bertambah komprehensif, sejajar dengan perjalanan usianya kini.

Di Starbuck MBC Tower pada 21 Januari, kami berjumpa lagi. Situasi politik tetap sahaja sama seperti yang terakam dalam buku Dongeng PascaMerdeka. Apalah yang terdaya dilakukan oleh golongan sasterawan untuk melurus sistem dunia? Beliau masih pembaca sebagaimana yang dikenali dahulu. Tidak lagi muda dan suka memberontak. Beliau mengakui kurang mengikuti perkembangan sastera masa kini yang dihasilkan oleh pengarang generasi baharu.

Kami generasi sebelum Facebook dan Twitter. Secara jujur, beliau tidak mengerti apa yang dikarang karyawan muda masa kini. Pekerjaan mengarang bagaikan terlihat mudah kepada sesiapa sahaja. “Penyair dilahirkan, bukan dibentuk,” demikian tulis T. Alias Taib dalam sajak “Pertemuan dengan Pengkritik Sastera”.

Dengan berjaket jean, seluar Momotaro kasut dan Red Wing, beliau menyelak buku karangan Imam Al Ghazali, Resep Bahagia. Beberapa tahun sebelumnya, beliau membeli buku Ilmu Mantik, tulisan Muhammad Nuruddin. Pada perjumpaan yang lain nanti, sudah tentu ada sahaja buku baharu di tangannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.