26 Januari 2022, 21:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Impak pempengaruh dalam media sosial tidak dapat dinafikan lagi dalam kalangan pengikut mereka. Aspek pengaruh dari sudut gaya hidup adalah antara elemen yang ketara apabila wujudnya pelbagai jenis produk yang diiklankan berjaya mendapat sambutan, ditambah pula dengan budaya konsumer yang tinggi dalam kalangan masyarakat, merancakkan lagi aktiviti ini.

Namun bagaimanakah pula dengan komuniti pempengaruh buku? Dalam episod “Acah Borak” anjuran Booktube Malaysia, pencinta buku terkenal, Hafiz Latiff berkata, pempengaruh buku boleh jadi seorang yang sangat berpengaruh untuk buatkan pengikut mereka membeli sesuatu buku atau langsung menolak dalam mendapatkan naskhah tersebut bergantung pada kandungan yang disampaikan.

Membincangkan soal kepentingan komuniti ini, Anis Suraya percaya bahawa tidak semua pengaruh adalah baik. Beliau yang sering berkongsi bahan bacaan di TikTok menggesa para pempengaruh buku untuk mementingkan etika dalam memuat naik kandungan yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Terdapat segelintir figura di media sosial yang kelihatan seperti seorang pembaca buku, namun mereka hanya menggunakan buku sebagai alat estetika dan prop dalam kandungan media sosial mereka sahaja. Hakikatnya audiens mengharapkan kita untuk berkongsi ulasan buku yang bermanfaat kepada mereka untuk dibaca,” ujar Anis.

Program “Acah Borak” pada kali ini menampilkan pempengaruh buku yang aktif dalam media sosial masing-masing, iaitu Iman Danial Hakim dan Anis Suraya.

Mula aktif di Twitter setelah membuat satu ciapan mengenai pasar buku Bangi, Iman Danial Hakim jelas membawa pengaruh besar dalam komuniti buku Malaysia selepas mendapat ribuan ulang ciap daripada orang ramai yang berterima kasih kerana berkongsi lokasi tersebut.

Menyuarakan pendapat mengenai hobi membaca sebagai simbol identiti nasional, Iman mengatakan bahawa tidak salah untuk menjadikan tabiat membaca sekadar hobi untuk mengisi masa lapang.

“Memetik kata-kata seorang ahli akademi, membaca buku ini macam kita bernafas sebenarnya. Apabila tak bernafas dalam masa 10 saat, dada jadi sesak. Seperti itulah buku dalam kehidupan kita apabila tidak membaca, dunia menjadi gelap. Oleh itu, tidak ada masalah jika membaca sebagai hobi atau membaca kerana ingin mencari ilmu dan maklumat,” tambah beliau lagi.

Berbicara tentang tanggungjawab pempengaruh buku yang mendapat bayaran untuk membuat ulasan terhadap sesuatu manuskrip, tetapi tidak menggemarinya, Iman berpendirian bahawa beliau akan jujur mengenai pendapat dan pandangan berkaitan hal tersebut, namun pembaca lain perlu tahu itu adalah pendapat peribadi. Bagi Anis pula, adalah lebih baik untuk menolak ulasan berbayar yang ditawarkan berbanding dengan cuba menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan minat diri.

Program “Acah Borak” merupakan program yang disiarkan secara episod dan episod 5 pada malam tadi yang mengupas berkaitan pempengaruh buku dapat ditonton menerusi Facebook Booktube Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.