25 Januari 2022, 20:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rantai Art Event yang bertempat di Myground Mytown, Cheras menampilkan barisan penyair generasi muda membuat persembahan deklamasi serta pembacaan puisi. Para deklamator yang juga penggiat seni dan sastera dalam kalangan anak belia tempatan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang mempersembahkan puisi,  sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Acara yang berlangsung selama empat minggu ini bermula dengan minggu pertama, iaitu dari 14 hingga 16 Januari 2022. Yang menariknya, acara pada minggu pertama turut disertai oleh pemuisi daripada pelbagai kaum seperti Arathi, Alison Lew, Abigail Lim dan Niq Mendung.

Rantai Art Event dianjurkan pada setiap tahun oleh Rantai Art yang meraikan kegiatan seni dan budaya dalam kalangan generasi muda saban tahun. Sejak tahun 2006, Rantai Art aktif menganjurkan pelbagai acara seperti Pesta Kechill Rantai, Rantai Art Event dan Pasar Raya Rantai. Selain itu, Rantai Art Festival yang dianjurkan pada hujung tahun secara tahunan merupakan acara yang melibatkan pameran galeri seni, pentas persembahan muzik, pentas deklamator puisi, pementasan teater, tayangan filem dan reruai kraftangan seni.

Rantai Art Event 2022 yang bertempat di Myground Mytown, Cheras itu akan meneruskan acara mingguan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad iaitu hingga 6 Februari 2022. Pelbagai reruai jualan dan kraftangan akan bertapak di hari Rantai Art Event berlangsung, dimeriahkan dengan persembahan-persembahan puisi, seni akustik dan muzik.

Antara persembahan yang diadakan sepanjang acara tersebut berlangsung. (Sumber: Rantai Art).

Menurut wakil daripada Rantai Art, iaitu EJ Safari, Rantai Art membuka peluang kepada artis dalam kalangan generasi muda untuk berkarya sama ada dalam bidang muzik, seni dan sastera.

Walaupun slot dan aktiviti Rantai Art Event pada minggu kedua iaitu dari 21 – 23 Januari 2022 terpaksa dibatalkan atas urusan teknikal dan susunan semula acara, pihak penganjur memaklumkan bahawa mereka akan menyambung acara bagi minggu ketiga dan keempat iaitu 28 – 30 Januari 2022 dan 4 – 6 Februari 2022.

Bagi tarikh yang akan datang, Rantai Art Event masih membuka slot untuk pemuisi dan artis berkarya, mereka yang berminat boleh hubungi EJ Safari menerusi Twitter beliau, @Ejsafari.

Antara pemuisi yang turut terlibat dalam mempersembahkan bacaan puisi bahasa Melayu.  (Sumber: Rantai Art).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.