21 Januari 2022, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awan Wafdan, seorang penulis pemula yang juga pernah menghiasi ruangan “Borak Orang Muda” majalah Tunas Cipta Bil. 10/2021 menyatakan bahawa fantasi Hikayat Adiwangsa – Lasykar merupakan sebuah defense-mechanism­ agar beliau tidak tenggelam dalam dunia yang bergerak laju dan sentiasa memerlukan beliau untuk terus mencari hala tuju.

Awan Wafdan, atau nama sebenarnya, Ahmad Rasul Habirun bakal menerbitkan novel sulungnya, Hikayat Adiwangsa – Lasykar pada awal tahun ini. “Ia sebuah karya yang sangat bernuansa peribadi buat saya. Sebenarnya, setelah ia siap pada tahun 2018, teragak-agak juga saya untuk menghantarnya ke rumah penerbitan,” ujar beliau dalam sebuah acara pelancaran yang beliau anjurkan di Twitter Space baru-baru ini.

Beliau memulakan perjalanan penulisannya melalui penulisan maya di Fiksyen Shasha, selain turut aktif menulis untuk Arkib Angker Negara di Facebook. Seterusnya, penulis pemula ini terus mengorak langkah dalam menghasilkan sebuah novel fantasi yang berjudul Hikayat Adiwangsa – Lasykar.

Bergiat aktif dalam media sosial telah membantu Awan Wafdan untuk mempromosikan karya beliau kepada khalayak pembaca.

Sepanjang acara pelancaran novel tersebut, Awan Wafdan turut berkongsikan pengalaman sepanjang proses beliau untuk menyiapkan manuskrip sehinggalah pengalaman untuk menghantar ke syarikat penerbitan. Walaupun manuskripnya pernah ditolak, namun beliau beranggapan bahawa itu sebagai proses pengajaran dan pengalaman untuk menjadikan beliau sebagai penulis yang matang.

“Saya bina profil, citra dan nama di laman sosial dan saya memang berhasrat untuk menjual buku sulung saya, Hikayat Adiwangsa. Sebelum ini, saya seorang yang memencilkan diri daripada media sosial,” luah Awan.

Menurut Awan, Hikayat Adiwangsa ini akan diceritakan secara trilogi dan cereka ini akan ditamatkan dalam buku ketiga. Oleh itu, buku pertama ini akan menjelaskan perihal semesta latar Hikayat Adiwangsa itu sendiri. “Pembaca akan tenggelam ke dalam dunia Estodania dan dunia Esramudra yang kaya dengan kehidupan. Itu adalah perancangan saya. Namun, jika ia boleh diceritakan menjadi dua buah buku sahaja, saya tiada masalah,” tambah Awan.

Cereka fantasi ini akan memaparkan latar sebuah tamadun Estodania, yang menurut Awan, boleh dilihat sebagai sebuah tamadun jelmaan Kerajaan Melaka. Hikayat Adiwangsa – Lasykar ini akan bermula dengan kejatuhan Estodania.

“Kejatuhan Estodania yang menggerakkan hikayat ini. Seperti Melaka, kejatuhannya juga yang menggerakkan perjalanan sejarah sehinggakan menjadi sebuah negara Malaysia pada hari ini,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, membina Kota Estodania adalah langkah pertama dalam membina semesta Hikayat Adiwangsa ini. Membesar sebagai anak nelayan, anak jati Sabah itu juga turut menyerikan keindahan dunia di bawah laut yang beliau kenal dalam kehidupannya ke dalam Hikayat Adiwangsa.

Penyampaian jalan cerita yang menarik dalam Hikayat Adiwangsa – Lasykar ini telah membuktikan bahawa penulis pemula mampu menghasilkan karya yang kreatif dan berkualiti.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.