21 Januari 2022, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Membaca “Latar Belakang Cerita Pendek” dalam https://malay.wiki, anekdot dikatakan popular di Eropah, terutamanya pada abad ke-18, ketika surat berbentuk anekdot karya Sir Roger de Coverley diterbitkan. Pada masa itu, teks anekdot memiliki ciri-ciri yang membezakannya dengan karya sastera yang lain. Berikut merupakan ciri-ciri teks anekdot pada awal kemunculannya, iaitu:

  1. Terilham daripada kejadian sebenar atau kisah benar yang lazimnya diubah menjadi kelakar atau lucu dalam bentuk cerita atau dialog.
  2. Pada awalnya, penulisan anekdot hanya menumpu pada tokoh terkenal, pada zaman ketika anekdot itu ditulis. Namun begitu, penulisan anekdot mengalami perubahan ke arah fiksyen dan menampilkan kisah tokoh yang dikenali oleh masyarakat dalam kehidupan harian mereka.
  3. Bersifat menghiburkan hati, tetapi tujuan utamanya untuk mengungkapkan kebenaran atau realiti, selain melontarkan sindiran secara berjenaka.
  4. Penulisan anekdot yang berdasarkan tradisi tamsil atau perumpamaan.
  5. Anekdot sebagai medium untuk menyampaikan kritikan, pandangan, dan aspirasi yang bernilai positif kepada khalayak atau masyarakat.

Namun demikian, pada masa ini, bentuk dan gaya penulisan anekdot dilihat mengalami perubahan yang ketara. Ceritanya bukan sahaja memaparkan kisah yang lucu, tetapi menjadi ruang untuk sesiapa sahaja meluahkan rasa hati dan perasaannya terhadap apa-apa yang dialami dan dirasainya.

Ilham penulisan anekdot biasanya bersumberkan kisah realiti kehidupan atau kejadian yang benar-benar berlaku. Rasa yang disampaikan oleh penulis anekdot juga pelbagai, sama ada sedih, gembira, seronok, teruja ataupun rasa marah, meluat dan benci terhadap seseorang atau sesuatu isu yang dilihat atau dialaminya.

Begitu juga dari segi persembahan penulisan anekdot memperlihatkan variasi yang pelbagai. Ada anekdot yang dipersembahkan dalam bentuk dialog dari awal hingga akhir ceritanya. Ada anekdot yang hanya dalam bentuk naratif tanpa dialog, dan ada yang menyamai penulisan cerpen, namun yang membezakannya ialah kepanjangan cerita tersebut.

Gaya yang kerap menjadi pilihan dalam penulisan anekdot ialah gabungan naratif dan dialog. Dialog itu pula, sama ada dipaparkan seperti bentuk skrip drama ataupun bentuk percakapan seperti dalam penulisan cerpen atau novel. Umum mengetahui, anekdot ialah kisah yang ringkas dan pendek, lazimnya diungkapkan tidak melebihi 1000 patah perkataan, dan yang paling sedikit dalam 500 hingga 800 patah perkataan. Ciri itulah yang menjadi titik perbezaan antara anekdot dengan cerpen.

Jika membaca siri anekdot paling popular, iaitu Cakar Ayam Seorang Doktor terbitan Kata-Pilar, pembaca akan mendapati kebanyakan kisah dalam anekdot tersebut dipersembahkan dalam bentuk dialog yang menyerupai skrip drama.

Dialognya memaparkan percakapan antara doktor dengan pesakit. Selain itu, anekdot yang ditulis oleh sekumpulan doktor perubatan itu juga menyelitkan panduan dan maklumat berkaitan dengan penyakit, penjagaan kesihatan, pengambilan ubat dan rawatan doktor di hospital sebagai tambah nilai pada karya anekdot. Panduan dan maklumat sedemikian jarang-jarang, malah hampir tiada dipaparkan dalam cerpen yang lebih mengutamakan imaginasi dan kreativiti dalam penghasilan ceritanya.

Pada masa ini, oleh sebab ceritanya hanya memenuhi satu atau dua halaman kertas bersaiz A4 yang menghimpunkan antara 800 hingga 1000 patah perkataan, maka penulisan cerita dalam bentuk anekdot lazimnya dihimpunkan dalam satu buku.

Hal ini menyamai cerpen yang turut menemui khalayak pembaca, sama ada dalam bentuk antologi atau kumpulan/himpunan cerpen. Buku antologi anekdot pula biasanya akan diterbitkan mengikut tema yang ditetapkan oleh penerbit atau penyelenggara. Maka terhasillah anekdot yang ceritanya terikat pada tema seperti kenangan zaman sekolah, kematian, kerjaya, makanan tradisional, perkahwinan dan sebagainya. Melihat antologi atau kumpulan cerpen pula, tema dalam setiap cerpen itu biasanya pelbagai dan tidak terikat pada satu tema yang sama.

Apakah pula perbezaan anekdot dan travelog? Umum mengetahui bahawa anekdot menyajikan cerita yang ringkas, pendek dan santai, namun mengesankan. Anekdot boleh dihasilkan pada bila-bila masa kerana idea atau isi ceritanya ditulis berdasarkan apa-apa yang dirasakan lucu, sedih, mengujakan, menimbulkan kemarahan, ada pengajaran, dan perkara atau kejadian itu perlu dikritik.

Untuk menghasilkan travelog pula, syarat utamanya penulis harus mengembara atau pergi ke sesuatu tempat dalam tempoh yang agak lama. Tempat tersebut pula biasanya di luar negara kerana tidak semua orang berpeluang mengembara ke tempat tersebut atau berkemampuan untuk sampai di tempat berkenaan.

Ada travelog tentang percutian di luar negara, kisah pengembaraan berjalan kaki atau berbasikal merentas negara, cerita perjalanan ibadah haji atau umrah, ataupun kisah cabaran mendaki puncak tertinggi di dunia. Yang jelas, travelog ada garis masa, plotnya cenderung berbentuk kronologi, gaya bahasanya santai, sarat dengan maklumat dan panduan, dan lazimnya disertakan dengan gambar foto.

Karya travelog biasanya mengisahkan pengembaraan seseorang penulis ke tempat yang dikunjunginya.

Hal ini bermakna, travelog tidak boleh terhasil dengan hanya menggunakan 1000 patah perkataan atau tidak mungkin dipersembahkan dalam satu atau dua halaman kertas bersaiz A4. Lantaran itulah, penulisan travelog yang biasanya panjang akan diterbitkan dalam bentuk buku.

Maka jelas bahawa penulisan travelog biasanya berkaitan dengan cerita pengembaraan seseorang penulis ke tempat yang dikunjunginya. Travelog juga boleh ditulis dalam bentuk laporan yang diselitkan dengan pelbagai fakta, atau dalam bentuk penceritaan yang ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi yang disertakan dengan gambar yang relevan dan menarik.

Tujuan penulisan travelog adalah untuk menceritakan pengalaman, berkongsi tip, memberikan anggaran bajet untuk mengembara atau bercuti di sesuatu tempat, dan menyampaikan pandangan peribadi berkaitan dengan apa-apa yang dialami semasa dalam kembara.

Travelog yang bagus ialah travelog yang mampu menjawab segala persoalan setiap pembacanya. Hal inilah juga yang menjadikan buku travelog muncul sebagai judul yang terlaris dalam pasaran kerana menurut pembaca, buku travelog membolehkan mereka membayangkan suasana tempat yang diceritakan, malah sebahagiannya menjadikan buku travelog sebagai panduan untuk melakukan kembara, sama ada di tempat yang sama atau ke suatu tempat lain.

Melihat bentuk persembahan dan gaya penulisan travelog, ternyata bahawa travelog jauh berbeza daripada cerpen apatah lagi anekdot. Tidak mungkin travelog ditulis bersandarkan imaginasi dan disampaikan menggunakan gaya bahasa yang berbunga-bunga atau bahasa figuratif. Akan tetapi, cerpen lazimnya ditulis berdasarkan ilham yang menggabungkan fakta dan imaginasi

Dengan demikian, cerpen berisi gabungan antara pengalaman (realiti/benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang. Panjang cerpen biasanya antara 5000 hingga 20 000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebut panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

Dalam “Bimbingan Berkarya – Cerpen” (laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka), dipaparkan ciri-ciri khas cerpen (cerpen konvensional) seperti yang berikut:

  1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan).
  2. Ada adengan, watak, gerak.
  3. Bahasa tajam dan menarik.
  4. Interpertasi pengarang pada kehidupan.
  5. Dapat menimbulkan suatu kesan.
  6. Menarik perasaan pembaca.
  7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih.
  8. Ada cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana.

Berbalik pada anekdot yang kini diterima sebagai karya kreatif, menurut Buku buku Panduan Istilah Sastera: Sastera, Bahasa, Teori (2004) tulisan Kennedy X.J. dan rakan-rakan, anekdot yang terhasil itu mungkin suatu kisah nyata atau sekadar fiksyen. Yang penting, karya anekdot amat sesuai untuk mereka yang mencari bacaan santai yang menghiburkan, namun berisi pesanan, pandangan, kritikan dan sindiran  yang menjentik perasaan dan minda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.