19 Januari 2022, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Membuka lembaran tahun baharu dengan memenangi anugerah penulisan merupakan hadiah paling manis buat penulis muda kelahiran Pulau Labuan, Gabriel Kimjuan. Anak muda yang bekerja sebagai Jurumesin ini menerima berita gembira itu pada 10 Januari 2022 apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Penulis Prolifik dan Anugerah Penulis Bukan Melayu Terbaik.

Anugerah tersebut merupakan anjuran Academic International Dialgoue (AID), iaitu sebuah badan penerbit yang giat mengusahakan projek penulisan sejak tahun 2020. Satu daripada projek penulisan yang dinilai karyanya untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis yang menyertai projek tersebut ialah Penulisan Antologi Puisi.

Gabriel memegang dua trofi yang dimenanginya dalam Anugerah Projek Penulisan 2021 anjuran AID.

Melalui Anugerah Projek Penulisan Tahun 2021, sebanyak lima kategori anugerah disediakan oleh pihak AID, iaitu Anugerah Penulis Prolifik, Anugerah Pengkarya Veteran, Anugerah Pengkarya Termuda, Anugerah Penulis Bukan Melayu Terbaik, dan Anugerah Penyertaan Karya Terpantas. Daripada lima kategori tersebut, Gabriel memenangi dua kategori, iaitu Anugerah Penulis Prolifik dan Anugerah Penulis Bukan Melayu Terbaik.

Berdasarkan kenyataan AID, pemberian Anugerah Penulis Prolifik kepada beberapa orang penulis yang menyertai projek penulisan anjuran badan penerbit itu bertujuan untuk memberikan motivasi dan semangat kepada penulis, selain menghargai usaha mereka berkarya dengan projek penulisan yang dilaksanakan oleh AID.

Keputusan penuh bagi semua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Projek Penulisan 2021 anjuran AID.

 

Yang turut tersenarai bersama-sama Gabriel memenangi Anugerah Penulis Prolifik ialah Ts. Dr. Mohd Effendi@Ewan Matore, Sahar Misron, Anang Juria Jalilul, Mohd Ab Malek Md Shah dan Dr. Norzalina Ghazali.

Seperti namanya, Anugerah Penulis Bukan Melayu Terbaik diberikan khusus untuk penulis bukan Melayu yang menyertai Projek Penulisan AID 2021. Pengiktirafan bagi kategori ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penulis bukan Melayu menyumbang karya dalam bahasa kebangsaan.

Sebagai penulis bukan Melayu yang banyak menghasilkan karya dalam bahasa Melayu, Gabriel Kimjuan terpilih untuk menerima Anugerah Penulis Bukan Melayu Terbaik. Sememangnya pemilihan Gabriel bagi kategori ini suatu keputusan yang tepat kerana beliau telah menghasilkan banyak karya berupa puisi dan cerpen yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Anugerah Pengkarya Veteran dimenangi oleh Mohd Yatim Dolis manakala Anugerah Pengkarya Muda diberikan kepada Nur Farihah Ahmad Putera@Sagap. Anugerah Penyertaan Karya Terpantas pula diberikan kepada para penulis mengikut katgeori penulisan yang disertainya. Tiga kategori tersebut ialah Antologi Puisi Tarian Tinta 2, Penulisan Travelog (Kembara Hikmah) dan Penulisan Kisah Hidup (Bianglala Kehidupan).

Selain aktif berkarya, Gabriel juga merupakan Aktivis Susastera Muda Zon Wilayah Persekutuan Labuan dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Beliau juga menjadi Pentadbir Grup Facebook Aktivis Sastera yang baru diwujudkan namun telah berjaya mengumpul 506 pengikut. Usaha lain yang dilakukannya untuk menyemarakkan aktiviti penulisan karya sastera ialah menyediakan platform secara dalam talian, E-SASTERA VAGANZA ASEAN (https://esasteravaganza.com) dengan moto “Medan Karya bagi Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa ASEAN)”.

Logo hasil rekaan Gabriel akan digunakan sebagai kepala majalah yang baharu untuk bulletin Bingkisan Kembara Sastera.

Di luar bidang penulisan pula, Gabriel melalui hantaran dalam laman sosial Facebook berkongsi kejayaannya terpilih sebagai pemenang mereka cipta logo. Logo tersebut akan digunakan sebagai kepala majalah (masthead) buletin Bingkisan Kembara Sastera yang baharu bermula pada tahun ini. Menyingkap kenangan manisnya pada tahun 2021 pula, Gabriel berasa bangga kerana terpilih mewakili Malaysia untuk menyertai Hari Puisi Antarabangsa yang diadakan secara dalam tallian pada Mac 2021.

Bercakap tentang kejayaan yang diraihnya pada awal tahun 2022 ini, Gabriel berkata, “Syukur kepada Tuhan. Ini suatu berita gembira untuk usaha yang telah dicurahkan dalam penulisan karya sastera.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.