19 Januari 2022, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh yang menerima gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1991 cukup terkenal sebagai penulis puisi, selain sebagai pengarang bersifat cendekia yang banyak menghasilkan tulisan berbentuk kajian dan kritikan sastera.

Buku autobiografi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.

Bagi bertanyakan khabar dan mendapatkan penulisan terbaharu daripada Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Nurul Julia Alani Henry bersama-sama Ketua Bahagian Harta Intelek, Shah Rizal Azwan Ghazali dan pegawainya, Nor Aida Mohd Salleh telah membuat kunjungan ke rumah beliau pada 17 Januari 2022.

Beliau yang akan menjangkau usia 80 tahun pada Mac tahun ini kelihatan ceria dengan kunjungan yang pastinya memalarsegarkan hubungan antara penulis dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Muhammad Haji Salleh menceritakan pengalamannya mengumpulkan peribahasa yang dimuatkan dalam buku Peribahasa Melayu: Pemeri Akal Budi.

Semasa kunjungan tersebut, Muhammad Haji Salleh menunjukkan hasil karya terbaharunya selaku penterjemah karya Tun Seri Lanang yang bertajuk The Geneology of Kings Sulalat al-Salatin, yang diterbitkan oleh Penguin Books.

“Sebagai karya agung, buku ini harus dibaca dan diwacanakan oleh generasi baharu, terutamanya penulis muda. Hal ini penting bagi membuka minda generasi baharu tentang keagungan salasilah raja Melayu dan bagaimana raja Melayu pada zaman dahulu menggunakan kebijakan dan kebijaksanaan mereka untuk menyelesaikan masalah dalam pemerintahan dan semasa menjalinkan hubungan dengan pihak luar. Penulis muda juga boleh menggunakan sejarah yang terakam dalam karya agung itu sebagai ilham untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti dan mempunyai nilai sejarah.”

Khalayak sastera juga mengetahui bahawa Sasterawan Negara yang ke-6 ini terkenal dengan penulisan yang mengangkat martabat jati diri dan budaya Melayu. Dalam perbualannya mengenai jati diri dan keindahan, beliau menyarankan agar penulis dan generasi muda pada hari ini menghasilkan karya yang boleh membangunkan minda.

“Jika menulis cerpen atau mengarang puisi, tulislah menggunakan bahasa yang indah kerana sastera tidak dapat dipisahkan dengan bahasa dan keindahan.” Tambah beliau, “Karya sastera itu juga haruslah berisi mesej yang dapat menggerakkan minda pembaca agar melakukan perubahan yang positif kepada diri dan masyarakat.”

Terkenal sebagai penulis yang menjadikan alam, adat dan budaya sebagai teraju dalam puisinya, Muhammad Haji Salleh menyatakan bahawa karya yang indah namun berkualiti dapat melembutkan hati yang keras menjadi lembut dan memanusiakan manusia.

Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair menghimpunkan tulisan Muhammad Haji Salleh yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya.

Menurut beliau, “Sememangnya itulah fungsi karya sastera yang bukan dijadikan alat untuk membangunkan teknologi tetapi sebagai alat untuk menghiburkan hati, menaikkan semangat dan meluahkan perasaan tentang apa-apa juga yang dirasakan tidak betul atau melanggar norma kehidupan. Oleh sebab itulah pentingnya karya sastera yang indah dan berisi mesej yang membangunkan minda.”

Beliau berkata demikian kerana generasi muda pada hari begitu banyak didedahkan dengan video atau tulisan dalam media sosial, yang kebanyakan kandungannya hanya bersifat hiburan kosong, yang dihasilkan semata-mata untuk meraih tanda suka dan jumlah tontonan yang tinggi.

Semasa menunjukkan karyanya yang bertajuk Peribahasa Melayu: Pemeri Akal Budi terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia, Muhammad Haji Salleh menggesa pengkaji atau penyelidik, terutamanya yang masih muda supaya mengkaji adat, budaya dan sastera Melayu lama bagi menghidupkan khazanah masyarakat yang tidak ternilai itu.

Kecintaan Muhammad Haji Salleh terhadap sastera Melayu lama terbukti apabila beliau bergabung dengan penulis muda, Shahrun Nizal Mohd Nor mengumpulkan pantun dari seluruh Nusantara untuk dibukukan. “Saya harap usaha ini akan diteruskan oleh penulis muda yang meminati bidang kajian sastera agar mengkaji dan mendokumentasikan sastera Melayu lama, yang bukan sahaja melibatkan pantun malahan syair, gurindam dan seloka.” Selain itu, Sasterawan Negara ini juga dalam usaha mendokumentasikan cerita lisan untuk bacaan dan rujukan oleh generasi hari ini dan akan datang.

Yang turut dibincangkan dalam pertemuan ini ialah hal berkaitan dengan izin terbit. Perkara ini timbul kerana Muhammad Haji Salleh dalam usaha mengumpul, menterjemah dan menulis semula karyanya yang telah terbit dalam tempoh 10 dan 20 tahun yang lalu, termasuklah yang diterbitkan oleh penerbit antarabangsa.

Bahagian Harta Intelek, DBP akan membantu Muhammad Haji Salleh mendapatkan izin terbit daripada penerbit lain

Menyedari pentingnya etika dalam penerbitan karya, terutamanya soal izin terbit, Muhammad Haji Salleh mohon agar DBP dapat membantunya mendapatkan izin terbit itu bagi melancarkan usahanya mengemas kini dan memberikan wajah baharu pada karyanya yang terdahulu untuk bacaan dan rujukan generasi muda.

Karya terkini Muhammad Haji Salleh yang diterbitkan oleh DBP ialah Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair, Puitika Sastera Melayu Edisi Ketiga dan autobiografi Sebermula, Maka Tersebutlah Sebuah Hikayat Diri. Karya yang ditulis berdasarkan kajiannya terhadap Hikayat Hang Tuah, terbitan Penerbit Universiti Malaya yang bertajuk Seeking Hang Tuah pula tersenarai dalam 50 judul buku terbaik Malaysia kategori Malaysiana bagi tahun 2021 oleh Majlis Kebangsaan Buku Malaysia (MBKM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.