Oleh Roziah Adama
14 Januari 2022, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seorang pendidik dan pena tidak dapat dipisahkan, demikianlah ungkapan yang acap kali kita dengar. Sebenarnya kehidupan seorang pendidik bukan hanya tentang pena yang digunakan untuk menandakan tugasan pelajar tetapi juga sebagai insan tertacap “kompas” pada atmanya yang membantu pelajar menentukan hala tuju hidup.

Berbicara tentang dunia pembelajaran maka tidak akan terlepas membicarakan alma mater pelajar, dalam hal ini Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi yang berasaskan seni dan budaya.

Sejak penubuhan ASWARA yang pada awalnya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada 1994 telah melahirkan ramai graduan yang menjadi cendekiawan, pendidik, penggalak, pemupuk, pelaku dan pengamal seni budaya dan warisan tanah air. Situasi ini membuktikan bahawa kerjaya dalam bidang kesenian bukan lagi bidang yang dianggap malap, malah menawarkan masa hadapan yang cerah.

ASWARA telah melahirkan ramai graduan yang menjadi cendekiawan, pendidik, penggalak, pemupuk, pelaku dan pengamal seni budaya dan warisan tanah air.

Dalam bidang akademik, ASWARA telah melahirkan ramai graduan yang bekerja sebagai pendidik dalam bidang seni, dan pada masa yang sama terus aktif berkarya. Bagi menyelami tugas barisan pendidik yang serba boleh ini, Fakulti Penulisan kreatif dan Filem ASWARA telah menganjurkan program “Antara Pena dan Akademi” yang membicarakan pengalaman mereka sebagai graduan Aswara, pendidik dan penggiat seni kreatif.

Program ini menampilkan ahli panel yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan kreatif dan berkerjaya sebagai seorang pendidik, iaitu Marlenny Deen Irwaan yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Drama Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (UM). Ahli panel kedua ialah Mohd Fairuz Mhd Padoli atau yang lebih dikenali sebagai MF Kencana, Felo penyelidik Pusat Kecemerlangan (CoE) Universiti Utara Malaysia (UUM), ahli panel ketiga Siti Naquiah Mohamad Ismail, kini bertugas sebagai Tenaga Pengajar Sekolah Seni Malaysia Johor. Ahli panel keempat pula ialah Nurhidayah Suleiman merupakan pengajar kokurikulum kursus Apresiasi Penulisan Kreatif dan Teater Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat Johor.

Gelanggang bicara dibuka dengan perkongsian pengalaman ahli panel sebagai pelajar ASWARA dan pendidik dalam bidang seni kreatif. Bagi Marlenny, pengalaman sebagai pelajar Jabatan Penulisan ASK selama empat pengajian (1998-2002) telah membentuknya menjadi insan yang serba boleh, di ASK setiap pelajar berpeluang mengembangkan bakat dan potensi diri dengan membantu rakan dari fakuti lain dalam pelbagai program yang dianjurkan.

Selain itu, suasana pembelajaran yang sentiasa dihambat tugasan, khususnya penulisan skrip membentuknya seperti “polis skrip” yang cepat dan cekap mengesan kesilapan pelajar dalam tugasan dengan pantas. Oleh itu, pengalaman menuntut ilmu di ASK memberikan beliau asas yang kukuh dalam bidang penulisan skrip pentas dan layar sehinggalah beliau berjaya sebagai seorang penggiat seni.

Menurut Mohd Fairuz, belajar di pelajar ASWARA memberikan beliau peluang untuk menerokai pelbagai bidang selain bidang penulisan kreatif. Bidang ilmu lain yang dipelajari daripada kawan-kawan akhirnya dapat digunakan dalam bidang pekerjaan yang diceburinya. Mengimbau kenangan ketika belajar, beliau berjaya menjana pendapatan dengan menulis skrip televisyen dan mampu menyara kehidupan dan memiliki kereta sendiri pada usia yang muda.

Demikian juga, pengalaman Nurul Naquiah dan Nur Hidayah sebagai pelajar ASWARA juga membawa melangkah lebih jauh dalam bidang seni. Bagi mereka corak pembelajaran di ASWARA membuka peluang kepada mereka berkecimpung dalam dunia pendidikan, khususnya dalam bidang seni teater dan penulisan skrip teater.

Ketika diminta berkongsi pandangan bagaimana untuk  membuka minda masyarakat tentang kepentingan bidang seni, Marlenny menyatakan bahawa isu tersebut sudah lama menjadi persoalan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar kerana kebimbangan terhadap masa hadapan mereka.

Oleh itu, perlunya pihak universiti dan sistem pendidikan sewajarnya mengambil peranan aktif dalam mempromosi bidang seni. Sebagaimana yang diamalkan oleh Jabatan Drama Fakulti  Seni Kreatif Universiti Malaya, para pensyarah akan menghubungi calon pelajar yang ditawarkan belajar di jabatan mereka dan menerangkan potensi kerja pada masa hadapan.

Selain itu, mereka sering mengadakan promosi dalam media sosial dengan meminta graduan yang telah berkerja dalam pelbagai sektor merakamkan video perkongsian kejayaan mereka selepas menamatkan pengajian, penyebaran kejayaan para graduan kepada masyarakat akan menambahkan keyakinan ibu bapa dan calon pelajar yang memilih bidang kesenian.

Bagi menyebarluaskan kepentingan seni, beliau menyarankan subjek Kesenian perlu diperkenalkan kepada murid sekolah rendah, dengan pendedahan ini bukan sahaja dapat membentuk generasi celik seni tetapi tahu mengapresiasi seni.

Mohd Fairuz sendiri tidak menafikan wujudnya momokan tentang dunia seni yang tidak mempunyai masa hadapan, lebih-lebih lagi dengan sikap segelintir pengkarya seni yang menonjolkan imej diri yang tidak kemas, namun beliau berpendapat bahawa bidang seni kini semakin mendapat sambutan hangat kerana Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM sendiri menerima permohonan yang banyak berbanding dengan kuota yang ditetapkan.

Fenomena ini memperlihatkan bahawa permintaan terhadap bidang seni kreatif semakin tinggi. Bagi Mohd Fairus, penggiat seni juga perlu membuktikan bahawa bidang seni mempunyai masa hadapan yang cerah dan setanding dengan kerjaya yang lain. Dengan bukti kejayaan ini akan membuka minda masyarakat terhadap kepentingan dan potensi bidang seni.

Puan Naquiah sebagai seorang guru seni, beliau meletakan dirinya sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada ibu bapa dan pelajar sekolah seni tentang keistimewaan bidang seni dan membantu pelajar memperkenalkan institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian seni.

Pengetahuan ini bagi beliau amat penting kepada pelajar yang ingin melangkah lebih jauh dalam pengajian seni. Bagi Nurul Hidayah yang menghadapi pelbagai cabaran dalam pengajiannya telah berkongsi pengalaman dirinya sendiri yang pada awalnya sukar menyakinkan ibunya bahawa pengajian di ASWARA boleh menawarkan masa hadapab yang cerah, namun berkat kesungguhan akhirnya beliau berjaya menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan dalam bidang yang dicintainya. Bagi beliau dunia seni ibarat dunia gelombang biru yang membuka pelbagai ruang dan peluang kepada semua orang.

“Bidang seni merupakan bidang yang boleh diterokai dengan luas,” kata Marlenny. Beliau menambah, jika kita melihat bidang seni dari sudut jiwa maka kita akan melihatnya sebagi satu terapi, jika kita melihat seni sebagai bidang kerjaya maka kita akan ada banyak peluang untuk memilihnya. Oleh itu, bidang seni umpama alam yang luas yang perlu disedari oleh masyarakat dan orang ramai, beliau berharap ASWARA sebagai pusat pengajian seni akan terus berdiri dengan mantap.

Berkongsi kata-kata terakhir, Mohd Fairuz acap kali memberikan pesanan bahawa pelajar yang memasuk universiti tanpa mengira bidang bukan semata-mata untuk mendapatkan kerja apabila menamatkan pengajian tetapi merupakan proses belajar membuat keputusan dalam kehidupan, belajar proses berfikir dan satu proses berhijrah.

Setiap pelajar perlulah berusaha mengembangkan bakat diri dan yakin Allah S.W.T akan memberikan kehidupan yang terbaik, manakala Naquiah menyeru para pelajar agar meletakkan misi dan visi diri dalam mencapai cita-cita tanpa mengabaikan sahsiah diri.

Sementara Nurul Hidayah menitipkan pesan agar jangan takut menceburi bidang seni kerana di mana ada kemahuan pasti ada jalan walaupun pelbagai cabaran dihadapi kerana pengalaman guru yang paling garang kerana bagi beliau pengalaman menghukum dahulu kemudian barulah mendidik.

Perkongsian pengalaman bersama empat orang ahli panel yang terdiri daripada graduan ASWARA yang bekerja sebagai pendidik dan penggiat seni merupakan perkongsian yang amat bermakna kerana kejayaan ahli panel ternyata membuktikan ASWARA sebagai institusi pengajian seni yang unggul dan mampu melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing. Semoga dengan perkongsian ini memberikan motivasi yang tinggi kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat agar memandang bidang seni seperti lautan yang luas dan tidak akan menenggelamkan insan seni yang tahu membawa dirinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.