6 Januari 2022, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub atau Nimoiz T.Y, pembimbing muda yang cerdas, cergas dan bersemangat. Berseloroh kepada peserta bengkel, beliau mengatakan tugasnya kini sebanyak 10 P.  Setelah penulis ini meneliti, benar, beliau seorang pensyarah di sebuah politeknik, penulis, pembimbing dalam ilmu penulisan, penyunting, pengulas, pengkritik, pembentang kertas kerja, pengerusi atau pengacara, juga sebagai pereka bentuk buku.

Dengan kepakaran itu, beliau tampil sebagai pembantu kepada penulis atau mana-mana persatuan penulis yang ingin menerbitkan buku sendiri. Tidak mustahil, Nimoiz T.Y akan muncul sebagai sasterawan besar tanah air kelak dengan karya yang dihasilkan dan anugerah yang diterimanya.

Pembuka bicara, Nimoiz T.Y memperincikan tujuan menulis novel, yang dibahagikan pada kepentingan untuk diri, keluarga, agama, masyarakat dan negara. Seseorang penulis biasanya menghasilkan novel untuk kepuasan diri, hobi, mengisi masa lapang, terapi minda, dan mendapatkan pengiktirafan atau peningkatan dalam kerjaya. Penulis juga biasanya akan berkongsi kisah keluarga, jiran dan masyarakat sebagai salah satu idea dan royalti daripada novel menjadi sumber pendapatan.

Nimoiz T.Y

Tambah beliau lagi, novel juga menjadi salah satu medium dakwah dan wahana untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, memenuhi tanggungjawab sosial,  membina peradaban nusa, serta memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Beliau seterusnya memberikan takrifan novel, memaparkan sejarah novel di Malaysia dan ciri-ciri asas sesebuah novel, dan perbezaan antara novel dengan novelet. Selanjutnya, diperkenalkan novelis dunia, nusantara, novelis mapan Malaysia dan novelis generasi baharu yang kian berkembang dan mencipta nama di Malaysia.

Wacana kian menarik apabila beliau memaparkan antara novel terkenal Malaysia yang perlu dibaca sekiranya ingin bergelar penulis novel. Antaranya Rimba Harapan dan Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, karya Sasterawan Negara (SN) Keris Mas, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge dan Rentong oleh SN Shahnon Ahmad, Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi, karya SN A. Samad Said, Sandera, Lingkaran dan Rontok karya SN Arenawati, Interlok dan Imam, karya SN Abdullah Hussain, Juara, Angin Timur Laut dan Orang Kota Bharu, nukilan SN S. Othman Kelantan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan, karya SN Anwar Ridhwan, dan Seorang Tua di Kaki Gunung, Sangeetha dan Ayahanda yang dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah.

Selanjutnya beliau memberikan panduan untuk menulis novel. Antaranya mengenal pasti sasaran pembaca, jenis novel, idea dan kreativiti, merancang penulisan novel, unsur dalam novel, dan kaedah mengayakan fragmen bahasa.

Sasaran pembaca amat berkait dengan kategori novel yang ingin ditulis, misalnya novel kanak-kanak, novel remaja atau novel umum. Beliau mengelaskan ciri-ciri novel dan juga pembaca untuk tiga kategori novel tersebut. Nama novelis untuk setiap kategori novel tersebut juga dikongsikan sebagai makluman dan panduan kepada peserta untuk mengenal pasti dan mendapatkan hasil karya mereka.

Beliau menyatakan juga jenis novel yang muncul dan menjadi trend penulisan di Malaysia. Antaranya ialah novel umum atau serius, popular atau cinta, islami, thriller, fantasi, misteri atau seram, sejarah dan sains fiksyen atau teknologi.

“Idea biasanya diperoleh melalui pengalaman sendiri, pengalaman orang lain dan juga melalui  pemerhatian. Yang penting, terus bersemangat untuk menulis. Baca novel yang berkualiti, tetapkan matlamat, dapatkan ilmu tambahan dan pergi bercuti.” Demikian saranan beliau untuk mendapatkan idea dalam penulisan.

Beliau juga menyarankan agar meletakkan matlamat yang jelas dan boleh diukur apabila menulis. Misalnya tetapkan bilangan jam atau bilangan halaman setiap hari untuk menulis novel, atau bilangan bab yang dapat dihasilkan dalam seminggu. Saranan yang dikemukakan ini amat penting untuk menepis segala cabaran dalam menyiapkan novel seperti kekangan masa, keluarga, kerjaya, idea, teknologi, kesihatan, persekitaran, emosi dan kewangan.

Kemuncaknya, beliau berkongsi panduan dalam merancang penulisan novel bermula dengan membuat sinopsis, bab dan menyediakan jadual khusus untuk ringkasan sinopsis dan alur cerita. Seterusnya disampaikan juga kaedah memberikan judul pada novel dan menamakan setiap bab.

Nimoiz T.Y juga menerangkan unsur dalam novel yang perlu diketahui oleh penulis, seperti tema dan persoalan, watak dan perwatakan, jenis dan penggambaran watak, plot, latar, sudut pandangan dan gaya bahasa. Untuk mengayakan fragmen bahasa, beliau berkongsi teknik membina naratif dan teknik membina dialog. Penutup tirai wacana, beliau mengemukakan format karya dan maklumat yang perlu disertakan oleh penulis sebelum menghantarkan manuskrip pada mana-mana penerbit.

Demikian Nimoiz T.Y tampil menyampaikan ceramah dalam Siri Wacana PUSPA: Nak Jadi Penulis Novel Tak? yang diadakan secara dalam talian pada 21 Disember 2021.  Program anjuran Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dan Persatuan Penulis Patani (3P) ini diikuti oleh 100 orang peserta dalam kalangan penulis tempatan dan Selatan Thailand.

Dr. Abham TR atau Abdul Aziz Mahmood, Ketua Satu PUSPA dalam ucapannya merakamkan terima kasih kepada Nimoiz T.Y yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman beliau. Semoga tips penulisan yang dikongsikan dapat dicernakan dalam penulisan dan membantu penulis baharu dan lama di Kelantan, Terengganu dan wilayah Patani, Thailand untuk menulis dengan lebih gigih dan cemerlang. Beliau juga berterima kasih kepada CT Puspa atau Abd. Razak Ismail, Setiausaha Dua PUSPA yang menguruskan program ini dengan jayanya.

Kamarulzaman Ismail selaku moderator program amat kagum dengan keupayaan Nimoiz T.Y yang kekal bertenaga selama dua jam tanpa henti mengutarakan cadangan, pandangan dan berkongsi segala maklumat yang ada kepada penulis atau peserta yang mengikuti wacana tersebut. Peserta amat bertuah kerana bukan sekadar memperoleh panduan yang menarik untuk menghasilkan novel, tetapi beroleh motivasi yang merangsang minat dan mendorong semangat untuk terus berkarya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!