Oleh Nazrul Aziz
27 Disember 2021, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka melalui pembiayaan geran oleh Yayasan Hasanah (milik Khazanah Nasional) menerusi ArtsFAS telah berjaya menerbitkan sebuah buku pantun yang bertajuk Pantun Warisan Merentas Zaman.

Buku pantun ini telah menghimpunkan seramai 52 orang penukil pantun yang berumur bawah 45 tahun, dan kata pengantar oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Replika buku.

Pantun merupakan antara seni yang paling lama dan mempunyai keasliannya tersendiri. Pada asalnya, dikenali melalui seni lisan kerana pantun digunakan sebagai alat untuk memberikan nasihat, teguran dan sindiran. Namun demikian, kini pantun turut dikenali melalui penulisan apabila banyak karya, buku dan antologi pantun dihasilkan.

Antara jenis pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat dan pantun lapan kerat. Kebiasaannya, bagi pantun empat kerat akan mengandungi dua baris pembayang atau juga dikenali sebagai sampiran dan dua baris maksud. Rima pantun pula ialah abab bagi membezakannya dengan syair dan lain-lain puisi.

Buku Pantun Warisan Merentas Zaman ini mengandungi empat tema utama pantun iaitu pantun budi, pantun kasih sayang, pantun nasihat dan pantun agama. Setiap penulis menghasilkan lima rangkap pantun bagi setiap tema menjadikan sebanyak 1040 rangkap pantun telah dikarang dalam buku ini.

Matlamat utama penerbitan buku ini adalah untuk menimbulkan kesedaran awam terhadap kepentingan pantun Melayu sebagai puisi tradisional yang segar sepanjang zaman. Hal ini juga berkait rapat dengan pengiktirafan pantun oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya tidak Ketara.

Salah seorang penulis yang menyumbang pantun dalam buku ini.

Sebelum buku ini diterbitkan, para penukil yang digelar sebagai menti telah diberi bimbingan oleh lima orang mentor dan seorang mentor tamu yang sangat arif dan mahir dalam bidang penulisan pantun. Para menti telah dibahagikan kepada lima buah kumpulan kecil yang diberi nama Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu bagi memudahkan para mentor untuk membimbing menti.

Para menti telah diberi bimbingan melalui Bengkel Penukilan Pantun dan Penerbitan Naskhah Pantun. Sebanyak empat siri bimbingan telah diberikan bagi memastikan pantun yang dihasilkan berkualiti dan menepati ciri-ciri utama pantun.

Projek buku ini yang bermula pada 1 Oktober 2021 berakhir pada 24 Disember 2021 dengan Majlis Pelancaran Buku Warisan Merentas Zaman. Majlis ini diadakan di Auditorium Panggung Seri, Kompeks JKKN Melaka dan disempurnakan oleh Exco Pelancongan Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka, Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Turut memeriahkan atur cara majlis pelancaran buku ialah Pentas Kemuncak Sanggar Berbalas Pantun yang menghimpunkan lapan orang pemantun yang juga merupakan penukil pantun buku Pantun Warisan Merentas Zaman. Johan acara ini telah menangi oleh Nur Fatin Ainina Nor Azman, manakala pantun terbaik pula dimenangi oleh Chan Chin Ho.

Menariknya acara Sanggar Berbalas Pantun ini bertujuan untuk mengangkat sejarah Melayu sebagai watak setiap pemantun yang bertanding seperti Tun Kudu, Hang Tuah, Dang Anum dan Puteri Hang Li Po.

Semoga penerbitan buku pantun ini dapat dijadikan sebagai bahan warisan untuk rujukan dan panduan bukan hanya generasi akan datang, malah kepada semua pihak. Diharapkan juga pantun akan diminati oleh generasi muda dan semakin ramai yang memperjuangkan khazanah warisan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.