23 Disember 2021, 23:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur sentiasa berusaha menyemarakkan kempen Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) saban tahun di negeri Terengganu. Pada tahun 2021, DBPWT telah melaksanakan Sayembara Menulis Kisah Teladan Berdasarkan Peristiwa Benar Pandemik COVID-19 dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Pertandingan Puisi Tari Terbuka Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Sayembara Lagu Puisi Wilayah Timur 2021 dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu.

“Antara tujuan Dekad Bahasa Kebangsaan dilaksanakan ialah mempersegar dan memperkukuh semangat dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pengucapan, bahasa pemersatu serta bahasa yang mengungkapkan budaya tinggi masyarakat Malaysia misalnya melalui seni penulisan, termasuklah puisi.” Demikian ujar Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur semasa merasmikan program Sayembara Lagu Puisi Wilayah Timur pada 21 Disember 2021 secara tertutup di Auditorium JKKN Terengganu.

Kumpulan Keramat Akustika.

Sayembara ini telah diungguli oleh kumpulan Keramat Akustika yang membawa pulang RM1500. Kumpulan ini mempersembahkan lagu puisi berjudul “Bahtera Satu Malaysia”. Naib Johan disandang oleh kumpulan Piring Terbang yang mempersembahkan lagu puisi berjudul “Sumpah Pendekar” dan menerima RM1200.

Kumpulan Piring Terbang.

Bagi tempat ketiga pula dimenangi oleh Street Buskers dengan dendangan lagu puisinya “Srikandi Cintaku” yang menerima wang tunai RM1000. Dua penerima sagu hati dimenangi oleh Kampung Buskers yang membawakan lagu “Puisi Cinta” dan Masca Band dengan lagunya “Pantun Agama” dan masing-masing menerima RM500. Setiap kumpulan yang menang turut menerima cenderamata iringan berupa buku terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Street Buskers.

DBP sentiasa menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak dalam menggerakkan dan menjayakan program pemerkasaan bahasa dan sastera. Kami juga amat berterima kasih kepada pihak yang terus mengutamakan bahasa Melayu dalam semua urusan. Rakyat Malaysia mesti berasa megah dan terus perkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Sekiranya semua pihak cakna pada bahasa kebangsaan, maka bahasa Melayu akan kekal sebagai salah satu bahasa utama di dunia.

Kampung Buskers.
Masca Band.

Tambah beliau lagi, sayembara yang diadakan ini mencerminkan bahawa DBP menyasarkan program kepada semua peringkat, termasuklah kumpulan seniman jalanan yang majoritinya anak muda dan diharapkan turut berperanan sebagai pendakwah bahasa. Kumpulan seniman berperanan untuk mengembangkan bahasa melalui nyanyian lagu-lagu puisi, yang terpelihara bahasanya, puitis kata-katanya dan tersirat makna yang mendalam sebagai renungan dan bahan mencambahkan pemikiran anak bangsa.

Mohd Azam Juhari juga dalam ucapannya mengharapkan sayembara ini menjadi program tahunan bersama dengan JKKN Terengganu dan mendapat dukungan daripada kerajaan negeri. Sayembara ini boleh dijadikan program pelancongan dalam kalendar kerajaan negeri  dengan menarik orang ramai datang ke Terengganu. Hal ini tidaklah mustahil, sekiranya program ini diadakan di tempat yang lebih terbuka apabila keadaan kembali normal daripada pandemik kelak.

Pada masa akan datang, puisi-puisi yang dipilih boleh bertemakan sama ada bahasa, agama, keluarga Malaysia atau nilai-nilai murni dan ditetapkan puisi yang diterbitkan oleh DBP. Hal ini tentunya mampu untuk menarik minat golongan muda agar membaca dan menghayati puisi sebagai hasil kebijaksanaan penulis warga Malaysia, ujar beliau.

Ahli panel juri khas yang mengadili pertandingan ialah Hishamuddin Hasan daripada Pusat Kesenian dan Warisan, UniSZA, Mohd Affendi Abdullah, Pemuzik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Rosmadi Abdul Rahim, Artis Budaya JKKN, Terengganu. Program ini telah dihoskan oleh Azaha Othman, Jurulatih Teater dan Seni Berbahasa, JKKN, Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.