20 Disember 2021, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seramai enam orang pelajar Semester 7, Program Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, terlibat sebagai pembentang makalah dalam Seminar Serantau Kesusasteraan Melayu pada 8 Disember 2021.

Seminar ini merupakan anjuran Program Studi Sastera Melayu, Fakulti Ilmu Budaya, Universitas Sumatera Utara, Medan Indonesia. Turut bekerjasama dalam penganjuran seminar ini ialah Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam dan Program Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, Malaysia.

Para pelajar UPSI yang terlibat sebagai pemakalah terdiri daripada Anis Amral, Nur Syahirah Idayu Hussne, Muhamad Khusairy Kassim, Norziela Nordin, Izyan Syahiran Rosland dan Mohamad Hakimi. Sementara itu, pelajar daripada Universitas Sumatera Utara yang terlibat sebagai pemakalah terdiri daripada Mashermawan, Chindhy Kharisma, Samsul Bahari, Suhari Atari, Cut Salsabila Indah Deria dan Musbar Siregar.

Pengerusi Seminar, iaitu Dra. Mardiah Mawar Kembaren, yang juga Ketua Program Studi Sastera Melayu, Universitas Sumatera menyatakan, seminar yang pertama kali dianjurkan ini bertujuan menyediakan platform kepada pelajar pelbagai universiti di rantau Asia Tenggara ini terlibat dalam program ilmu pada peringkat tinggi bagi membentangkan hasil kajian mereka berkaitan dengan bidang sastera Melayu.

Menurut beliau lagi, seminar ini juga merupakan satu inisiatif baharu yang digerakkan oleh Profesor Dr. Abdul Halim Ali, Profesor Kesusasteraan Melayu dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI yang kini dilantik sebagai Profesor Pelawat di Fakulti Ilmu Budaya, Universitas Sumatera Utara.

Sementara itu, Pensyarah Penasihat bagi pelajar UPSI Malaysia, iaitu Profesor Madya Dr. Norazimah Zakaria berharap seminar ini dapat memberikan pendedahan kepada pelajar berinteraksi di pentas antarabangsa bersama-sama rakan dari universiti lain di rantau Asia Tenggara dalam meningkatkan pengetahuan tentang sastera Melayu, khususnya bagi tujuan penyelidikan pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.