1 Disember 2021, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Noorisa Abdul Khlil, editor majalah Tunas Cipta berkongsi pengalaman dan rahsia berkenaan perjalanan majalah Tunas Cipta yang telah 20 tahun berkelana  mendampingi dan menerokai penulis dan peminat sastera generasi baharu dalam Bicara Karyawan: Tunas Cipta menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 12 tengah hari semalam.

Majalah Gen.

Bermula dengan majalah yang berlatarbelakangkan kertas hitam putih dengan halaman 38 halaman sahaja, sejarah Tunas Cipta dimulakan dengan nama yang berbeza, iatu majalah Gen.

Perjalanan Gen selama tiga tahun dalam platform sastera generasi baharu telah menemui khalayak dengan nama baharu yang lebih menjanjikan dan mempunyai unsur mesej tersirat dan tersurat, iaitu Tunas Cipta. Pada bulan Jun 2021 yang lalu, Tunas Cipta telah meraikan ulang tahunnya yang ke-20, sebagai wadah dan padang peminat sastera utamanya generasi baharu.

Unsur tersirat dapat dilihat pada perkataan ‘Tunas’ yang merujuk kepada bakat baharu, perintis baharu terutamanya bidang penulisan kreatif. Manakala maksud tersurat pula dapat dilihat pada perkataan ‘Cipta’ yang bermaksud fikiran, renungan, malah angan-angan untuk melahirkan dan mencipta sesuatu.

Tambahnya, permainan perkataan antara dua perkataan ini melahirkan makna yang penuh makna dan idea iaitu fikiran, renungan dan angan-angan yang membuahkan ilham oleh bakal karyawan baharu dalam dunia sastera.

Rancangan Bicara Karyawan Tunas Cipta: Muda pada Nama, Matang pada Usia.

Noorisa menzahirkan rasa penghargaan buat penulis yang bersama dengan Tunas Cipta, Hal ini kerana menurut beliau, merekalah yang banyak memotivasikan beliau serta sidang editor untuk sentiasa berusaha mengerjakan palma dan mengasilkan kerja yang terbaik.

“Tidak kira apa pun reaksi dan respon penulis Tunas Cipta, sama ada berbentuk kritikan mahupun pujian, sidang editor perlu sentiasa positif, terutamanya jika kami mahu terus bergerak ke hadapan dan maju dalam perjalanan majalah ini,” jelas beliau.

Memerhatikan khalayak sastera yang sentiasa bergerak dan mengorak langkah menghidupkan sastera di wadah yang pelbagai takah era dan zaman, Tunas Cipta juga mengambil peluang ini untuk mendorong semangat dan ranah kesusasteraan di medan digital.

Melalui pelantar digital penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu JendelaDBP telah menambah platorm dan ruang buat karyawan, pemikir dan penulis untuk berkarya. Tunas Cipta juga tidak terkecuali, malah sidang editor telah menyediakan pelbagai variasi bentuk penyiaran untuk ruangan karya kreatif.

Antara karya yang disiarkan dalam e-Tunas Cipta adalah seperti karya penulisan kreatif seperti cerpen dan sajak. Manakala penulisan bukan kreatif pula seperti artikel dan esei serta berita terkini berkenaan ranah sastera dan penulisan generasi muda.

“Pihak sidang editorial e-Tunas Cipta juga telah menambah satu ruangan baharu, iaitu penyiaran sajak dalam bentuk video,” tambah Noorisa.

Menurut beliau, penyiaran karya sajak dalam bentuk video telah mendapat sambutan yang tinggi dalam kalangan khalayak pelayar dan pembaca Tunas Cipta, malah lebih tinggi tontonan berbanding dengan sajak yang disiarkan dalam bentuk teks.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa potensi sastera muda mempunyai masa depan yang cerah. “Penulis generasi baharu kita memang benar-benar berkarya,” ujar beliau.

Pemerhatian beliau juga membawa beliau ke posisi yakin bahawa kebanyakan karya yang ada di luar sana adalah lain daripada lain, menarik dan mempunyai potensi tinggi. “Kebanyakan karya yang dihantar kepada Tunas Cipta boleh dikatakan antara karya yang jauh daripada stereotaip karya klise dan berulang,” jelas Noorisa.

Menurutnya lagi, ruangan karya kreatif di Tunas Cipta adalah antara kekuatan yang paling utama menunjangkan peranan majalah Tunas Cipta dalam ranah sastera tempatan.

Setelah lebih 20 tahun Tunas Cipta giat melahirkan penulis pelapis negara, Siti Noorisa Abdul Khlil yakin dalam menyatakan bahawa, Tunas Cipta ini muda pada nama, matang pada usianya.

Hantar karya melalui pautan Google Drive yang terdapat dalam Facebook Tunas Cipta DBP dan tonton siaran penuh program di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.