22 November 2021, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR – Sastera rakyat atau dipanggil juga sastera lisan umumnya disampaikan oleh anggota masyarakatnya dengan menggunakan pancaindera tubuh yang diiringi dengan pergerakan. Disampaikan melalui generasi bangsa Melayu terdahulu, sastera rakyat ini dihidupkan secara lisan melalui media pertuturan dan merupakan hasil kreatif yang diturunkan melalui satu generasi ke generasi yang lain.

Sastera rakyat bebas ditokok tambah oleh penutur mengikut zaman keberadaannya, kerana ia tidak mempunyai sempadan hak cipta oleh mana-mana pihak. Malah sastera rakyat boleh dilihat sebagai satu hasil kolektif sebuah masyarakat, yang naratifnya menggambarkan fitrah sesebuah masyarakat dan zaman itu sendiri.

Melalui Program Sastera Lisan Negeri Johor 2021 (SALINJ), sebuah webinar khas yang membicarakan sastera tradisi atau sastera lisan ini menemui pelayar media sosial. Webinar Bicara Sastera “Tradisi Lisan: Warisan Bangsa Merentas Zaman” berlangsung secara maya di laman Facebook Yayasan Warisan Johor pada 21 November 2021 (Ahad), pukul 10.00 pagi.

Program Sastera Lisan Negeri Johor 2021 (SALINJ) anjuran Yayasan Warisan Johor ini merupakan sebuah inisiatif yang mengangkat sastera tradisi dan lisan seperti cerita dan puisi rakyat dalam ranah moden kini. Inisiatif besar ini bertujuan menyemarakkan jiwa sastera tradisi buat masyarakat awam dan generasi kini.

Selain webinar Bicara Sastera “Tradisi Lisan: Warisan Bangsa Merentas Zaman”, turut diadakan dalam program SALINJ adalah seperti Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Negeri Johor Kategori Kanak-kanak, Pertandingan Menulis Cerita Rakyat dan Pertandingan Teater Cerita Rakyat.

Menerusi webinarnya, tiga panel yang terdiri daripada tokoh dan figura kepakaran bidang sastera tradisi mengemukakan kenyataan penting perihal sastera tradisi di zaman teknologi hari ini.

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar dari Universiti Putra Malaysia, yang pengkhususan beliau terletak dalam Pengajian Bahasa Melayu, Sastera Tradisi Lisan menerangkan bahawa tanggungjawab pelestarian sastera tradisi ini terletak di atas usaha penggiat sastera itu sendiri.

Sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia yang mengorak langkah pelajar untuk lebih melibatkan diri dalam budaya sastera tradisi dilihat aktif melalui pelaksanaan kegiatan perutusan sastera tradisi itu sendiri. Antaranya termasuklah pertandingan dan program yang diadakan pada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Tambah beliau lagi, pelaksanaan usaha seperti itu dapat membuktikan bahawa sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat tidak mengecewakan.

Selain itu, Roslina juga berpendapat bahawa disiplin ilmu ini perlu diselarikan dengan dunia moden supaya ia dapat menimbulkan minat dalam kalangan generasi kini.  ‘Adaptasi Seni Layar Tradisional’, iaitu sebuah kerja adapatasi tradisi lisan ke seni layar adalah antara inisiatif peribadi yang beliau berasa bangga untuk kongsikan bersama. ‘Adaptasi Seni Layar Tradisional’ merupakan inisiatif yang beliau laksanakan dengan kerjasama antara pelajar dan mahasiswa tempatan untuk melestarikan budaya tradisi lisan.

Unsur-unsur seperti grafik khas, pemurnian suara, animasi dan kerja pembikinan seni layar semuanya diambil berat dalam menghasilkan sebuah seni layar tradisi lisan. Kerja-kerja mereka (pelajar dan penggiat) juga akan dikongsikan ke pelantar maya seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube. Sebahagian daripada mereka  telah menubuhkan saluran Youtube khas untuk menghasilkan kerja kreatif mereka.

Namun demikian, di sebalik kejayaan dalam pelestarian sastera tradisi, Dr. Madiawati Mamat, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan di Jabatan Kesusasteraan Melayu di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, menyenaraikan beberapa kekangan utama yang dihadapi untuk mengangkat karya tradisi itu pada hari ini.

“Kekangan untuk mengakses sumber asal karya tradisi lisan ini merupakan cabaran tinggi untuk kita sebagai generasi legasinya.” Ujar Madiawati.

Beliau yang pernah mengembara ke pelusuk negeri-negeri di Malaysia untuk mengumpul lebih banyak lagi karya penglipur lara menceritakan bahawa, kebanyakan penglipur lara yang masih ada telah menjangkau usia emas.

Tambah Madiawati lagi, dengan perkembangan teknologi yang begitu pantas, secara tidak langsung juga akan mewujudkan cabarannya yang tersendiri. Dari satu aspek, ia telah menyempitkan lagi ruang untuk masyarakat beradaptasi dengan karya tradisi, yang mengambil masa buat masyarakatnya untuk berfikir sama.

Menyentuh perihal adaptasi, menurut Dr. Rohaya Md. Ali, (Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia), jika diimbau kembali sejarah perkembangan sastera tradisi ini, proses adaptasi memang sentiasa berlaku hingga ke hari ini, seiring dengan kemajuan dan teknologi zaman masyarakatnya.

Awalnya dahulu, khalayak masyarakat Melayu menikmati cerita rakyat ini melalui lisan. Cerita tersebut disampaikan dari satu generasi ke satu generasi melalui pertuturan lisan.

Apabila menelusuri pula ke zaman yang lebih moden, cerita rakyat ini terus diadaptasi pula ke bentuk percetakan. Bermula daripada tulisan jawi sehinggalah kepada tulisan  rumi. Kandungan dan jiwanya masih sama, tetapi mediumnya akan berubah mengikut zaman, merentas generasi dan era dengan teknologi masyarakatnya,” jelas Rohaya.

Tambah beliau lagi, dalam dapatan kajian beliau, kegiatan dan fenomena adaptasi karya tradisi pada hari ini terbahagi kepada tiga kegiatan adaptasi besar, iaitu adaptasi tradisi lisan kepada filem (seni layar), adaptasi tradisi lisan kepada animasi dan adaptasi tradisi lisan kepada media digital (cetakan, Internet). Beliau yakin bahawa sastera tradisi lisan ini akan kekal bernafas mengikut perkembangan masyarakatnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.