Oleh KAITHIRI
17 November 2021, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesusasteraan kanak-kanak merupakan satu bidang yang penting kerana berperanan mewujudkan dunia kanak-kanak yang menyeronokkan. Melalui bidang kesusasteraan ini, kanak-kanak akan lebih berminat untuk membaca bahan sastera kanak-kanak yang kreatif dan imaginatif sesuai dengan usia mereka.

Dalam tulisan bertajuk “Cerita Kanak-kanak Berunsur Mitos, Legenda dan Sejarah: Membina Kecendekiaan Murid-murid Sekolah dalam Hospital”, yang disiarkan dalam Journal of Education and Social Sciences pada tahun 2017, Ani Omar menyatakan sastera kanak-kanak merupakan gambaran kehidupan dan fikiran manusia melalui bahasa, juga dari segi perkembangan yang menyeluruh dalam kehidupan kanak-kanak khususnya dalam aspek sosio-emosi, intelek dan psikomotor.

Takrifan lain bagi kesusasteraan kanak-kanak dinyatakan oleh Mohd Sidin Ahmad Ishak dalam bukunya, Perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia (2005). Mohd Sidin melihat kesusasteraan kanak-kanak sebagai karya yang tidak mengetepikan kanak-kanak, iaitu yang meliputi semua karya daripada buku cerita bergambar kanak-kanak sehingga novel yang boleh dinikmati oleh kanak-kanak, sama ada secara bersendirian atau dibaca bersama-sama orang dewasa.

Dalam buku yang diselenggarakan oleh Othman Puteh dan Abdul Ahmad berjudul Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja (1984), Molina melalui tulisannya dalam buku tersebut yang bertajuk “Apakah Sastera Kanak-kanak Khasnya Buku Bergambar?” menjelaskan kesusasteraan kanak-kanak merangkumi semua jenis penulisan kreatif dan imaginatif yang dikhususkan untuk bacaan, hiburan dan penilaian kanak-kanak.

Berkaitan hal yang sama, Izzah Abdul Aziz dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Buku Bergambar: Langkah Pertama ke Alam Fantasi dan  Realiti” (2001) mendedahkan lahirnya kesusasteraan kanak-kanak bertujuan untuk menambahkan pengalaman dan pengetahuan, membina serta mengembangkan penghayatan estetik melalui bahasa dan lukisan, serta menghibur, melalui pembacaan atau penceritaan karya-karya sastera yang memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif dan afektif.

Berdasarkan beberapa takrifan dan pandangan tersebut, jelaslah bahawa kesusasteraan kanak-kanak merangkumi semua karya sastera berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen yang ditulis khusus untuk bacaan kanak-kanak dan memberikan gambaran kehidupan serta fikiran manusia untuk menambahkan pengalaman kanak-kanak.

Setelah dibuat penelitian, karya kesusasteraan kanak-kanak bukan sahaja dinikmati oleh kanak-kanak malah turut diminati oleh orang dewasa. Hal ini terbukti apabila penulis di Barat seperti Charles Perrault, Grimm Bersaudara, Hans Christian Anderson dan Joseph Jacobs telah menghasilkan karya seperti Cinderella, Red Riding Hood, Snow White, Rapunzel dan Jack and the Beanstalk.

Dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional pula, cerita rakyat seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai, Pak Belalang dan Lebai Malang yang sememangnya popular dan mendapat perhatian kanak-kanak serta orang dewasa.

Karya kesusasteraan kanak-kanak mula berkembang pada awal tahun 1970-an apabila Enid Blyton, penulis buku kanak-kanak yang terkenal telah muncul dengan karyanya yang begitu popular pada ketika itu. Pada tahun 1974, karya Enid Blyton mencatat rekod sebagai karya yang paling banyak diterjemahkan, iaitu sebanyak 149 terjemahan oleh 15 buah negara.

Di Malaysia, karya itu diterjemahkan oleh Penerbitan Fargoes Sdn. Bhd. dan Syarikat S. Abdul Majeed. Aktiviti penterjemahan karya sastera ini jelas menunjukkan bahawa karya sastera kanak-kanak mendapat permintaan ramai kerana dibaca dan digemari oleh orang dewasa walaupun kebanyakan watak utama dalam karya sastera tersebut berpusatkan alam kanak-kanak.

Secara tidak langsung, situasi ini menunjukkan bahawa cara kanak-kanak membaca dan menikmati karya sastera berbeza daripada cara orang dewasa membaca karya sastera walaupun kedua-duanya mendapat kepuasan yang sama.

Kesusasteraan kanak-kanak di negara Barat dikatakan bermula pada abad ke-17 kerana ada kanak-kanak yang mula menggunakan buku walaupun pada ketika itu belum ada usaha khusus untuk menerbitkan buku bagi kegunaan kanak-kanak. Semua karya yang lahir sebelum tahun 1700 dianggap sebagai teks yang sesuai untuk golongan kanak-kanak dan remaja.

Hal ini dikatakan demikian kerana sastera rakyat seperti cerita binatang, mitos, legenda dan cerita fantasi ditulis bagi menarik minat kanak-kanak untuk membaca. Pada tahun 1744, seorang penjual buku bernama John Newbery telah menerbitkan satu buku komersial khusus untuk kanak-kanak di England. Hal ini dicatatkan oleh Russel dalam bukunya, Literature for Children: A Short Introduction yang diterbitkan pada tahun 2005.

Meneliti buku Peranan dan Perkembangan Sastera Kanak-kanak (2006), Hadijah Rahmat menyatakan bahawa di Malaysia, kesusasteraan kanak-kanak dalam kalangan masyarakat Melayu bermula dengan tradisi sastera lisan. Sastera lisan atau sastera rakyat, walaupun ditujukan khusus untuk santapan anggota masyarakat yang dewasa, namun turut diminati oleh kanak-kanak.

Berdasarkan penelitiannya dalam kertas kerja bertajuk “Menjelajah Dimensi Sastera Kanak-kanak dan Remaja di Malaysia: Suatu Penelitian” (2009), Arba’ie Sujud menjelaskan bahawa Hikayat Penerang Hati (1896) merupakan cerita kanak-kanak terawal yang pernah diterbitkan. Hikayat tersebut merupakan karya terjemahan daripada cerita dongeng Aesop yang popular di negara Barat.

Pada peringkat awal, kesusasteraan kanak-kanak berkembang dalam tiga tahap yang umum, iaitu Tahap Permulaan: Penerbitan Misi Kristian, Tahap Pertumbuhan: Peranan Pejabat Karang-Mengarang, dan Tahap Selepas Merdeka: Pertumbuhan Penerbit Baru.

Tahap permulaan kesusasteraan kanak-kanak berkembang di Tanah Melayu apabila pengembang agama Kristian dari England dan Amerika bertapak di Negeri-negeri Selat untuk menyebarkan agama Kristian serta bergiat aktif dalam hal pendidikan untuk kanak-kanak tempatan. Maka itu, terdapat keperluan untuk menyediakan bahan bacaan kanak-kanak dalam bahasa Melayu, khususnya untuk memperkenalkan kemahiran menulis dan membaca kepada golongan kanak-kanak.

Pada tahap ini, diterbitkan buku cerita bertajuk Menolong Segala Anak (1818) oleh Claus Henrich Thomsen, khusus untuk bacaan golongan muda dan kanak-kanak. Selain itu, Buku Pelajaran Bahasa Melayu (No.1) dan Buku Pelajaran Bahasa Melayu (No.2) telah diterbitkan pada tahun 1838 dan tahun 1847 oleh Mission Press.

Pada waktu itu juga diterbitkan beberapa buah buku untuk kegunaan mengajar kanak-kanak membaca dan menulis buku. Judul buku tersebut seperti Bacaan Kanak-kanak (1840), Budak Hampir Tenggelam (1844), Teka-teki Tebang (1855), dan Jalan Kepandaian (1876). Pada masa yang sama, buku cerita keagamaan juga banyak diterbitkan untuk membolehkan kanak-kanak menikmati dan menghayati cerita yang dapat memberikan pengajaran. Antara judul yang diterbitkan termasuklah Harry Belajar (1846), Henry (1840), Kisah-kisah Kitab Injil (1844) dan Ceritera Indah (1860).

Dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 2005, Mohd. Sidin Ahmad Ishak melaporkan pada akhir abad ke-19, buku cerita yang mengandungi kisah hikayat seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Indera Mengindera, Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Seri Rama dijadikan sebagai bacaan awal bagi murid-murid sekolah. Beberapa tajuk buku seperti Gemala Hikmat (1906), Kiliran Budi (1906), Cerita Jenaka (1908), Hikayat Pelanduk (1925) dan Kisah Pelayaran Abdullah (1928) diterbitkan untuk murid-murid sekolah pada awal abad ke-20.

Tahap kedua memperlihatkan kewujudan Pejabat Karang-Mengarang (PKM) pada tahun 1924. PKM ditubuhkan bertujuan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin buku untuk kegunaan sekolah Melayu, dan bahan bacaan untuk masyarakat Melayu secara amnya. Menurut Hadijah Rahmat (2006), sumbangan PKM terhadap perkembangan kesusasteraan kanak-kanak pada tahap itu dapat dilihat daripada dua siri penerbitannya, iaitu The Malay School Series yang menerbitkan buku-buku teks dan The Malay Home Library Series yang menyediakan buku bacaan sastera ringan untuk kanak-kanak sekolah dan juga orang dewasa.

Pada tahap kedua ini, PKM juga telah memperkenalkan cerita pengembaraan dan penyiasatan dari dunia Barat seperti Hikayat Taman Ajaib (1929), Chendera Lela (1931), Sang Kuching Berkasut dan Lain-lain Cherita (1932), Panglima Hercules (1933), Cherita-Cherita Grimm (1936) dan Hikayat Taman Peri (1937) manakala dari Timur Tengah diterbitkan cerita dongeng seperti Cherita Ali Baba (1934), Cherita Alhambra (1937) dan Cherita Ala’ud-din (1931).

Selain itu, PKM juga telah menerbitkan cerita binatang, misalnya cerita Sang Maharaja Singa (1929). Bagi merancakkan lagi penghasilan karya sastera kanak-kanak, PKM juga bertanggungjawab menganjurkan tiga peraduan mengarang yang berlangsung pada tahun 1951, 1953 dan 1956.

Karya yang memenangi peraduan tersebut adalah seperti novel detektif Chinchin Rahsia (1953), Bahagia Sa-sudah Derita (1958), Ahad (1959) dan cerita pendek, Aku Di-Sabuah Pulau dan Lain-Lain Cherita (1957). Terdapat juga buku cerita dongeng tradisional dan klasik tempatan yang diterbitkan pada tahap tersebut seperti Batu Belah Batu Bertangkup (1937), Singapura Di-Langgar Todak (1950), Siri Cerita untuk Kanak-Kanak (1956), Hikayat Pancha Tanderan (1965) dan Hikayat Sang Kanchil (1953). Hasilnya, PKM dianggap telah menggiatkan usaha orang perseorangan dalam memajukan kesusasteraan kanak-kanak.

Tahap ketiga muncul menerusi pertumbuhan penerbit baharu selepas kemerdekaan. Tinjauan oleh Mohd. Sidin Ahmad Ishak (2005) memperlihatkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru ditubuhkan pada tahun 1956 telah menyemarakkan dunia penerbitan dan pengkaryaan buku kanak-kanak. Pada tahap ini, muncul penerbit tempatan dan penerbit antarabangsa yang mula beroperasi di negara ini.

Kemunculan penerbit tersebut turut membantu dalam perkembangan kesusasteraan kanak-kanak. Penerbit antarabangsa yang memulakan penerbitan buku berbahasa Melayu adalah seperti Oxford University Press, Federal Publication, Longman, Heinemann Educational Books, MacMillan Publishing dan Eastern University. Pada masa yang sama, muncul penerbit tempatan seperti Sinaran Bros, Pustaka Dian, Pustaka Aman, Pustaka Antara, Pustaka Melayu Baru, Penisular Publications dan Pustaka Pendidikan yang turut menerbitkan buku cerita kanak-kanak.

Kemunculan syarikat penerbitan menyebabkan wujudnya kesedaran dan minat masyarakat terhadap kesusasteraan kanak-kanak selepas kemerdekaan hingga tahun 1970-an. Hasilnya, penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka serta penganjuran Seminar Kebangsaan Mengenai Sastera Kanak-kanak telah memberikan nafas baharu terhadap usaha penerbitan bahan bacaan kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

Catatan oleh Mohd Sidin Ahmad Ishak (2005) menemukan bahawa pada tahun 2000, jumlah pendaftaran keseluruhan bagi kategori buku kanak-kanak ternyata telah meningkat sebanyak 1312 judul atau 30% berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu daripada 3131 judul pada tahun 1999 kepada 4443 judul pada tahun 2000. Senario ini menunjukkan bahawa kemunculan syarikat penerbitan buku antarabangsa dan tempatan telah membantu perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia.

Pada tahun 2000, terdapat sebanyak 180 buah syarikat penerbitan buku yang terlibat dalam aktiviti penerbitan judul baharu buku kanak-kanak. Pada tahun yang sama juga, beberapa buah syarikat penerbit tempatan berusaha menghasilkan lebih banyak buku kanak-kanak seperti Penerbit Koh Wai & Young Publication (M) Sdn. Bhd., Penerbit Fargoes Sdn. Bhd. dan Aneka Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Menjelang abad ke-21, Dewan Bahasa dan Pustaka mula bergiat aktif dalam penerbitan buku kanak-kanak, khususnya buku cerita kanak-kanak dalam bahasa Melayu. Data yang ditemukan oleh Hadijah Rahmat (2006) menunjukkan bahawa statistik penerbitan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka memperlihatkan kategori buku cerita kanak-kanak dalam bahasa Melayu kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Misalnya, pada tahun 2010 sebanyak 16 buah buku cerita telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada tahun 2013 dan 2014, bilangan penerbitan buku cerita kanak-kanak bertambah dengan masing-masing sebanyak 23 dan 38 buah buku. Walaupun bilangan penerbitan buku kanak-kanak berbahasa Melayu menunjukkan penurunan pada tahun 2015 dengan bilangan sebanyak 10 buah buku, namun bilangan penerbitan buku cerita kanak-kanak menunjukkan peningkatan sebanyak 29 buah buku pada tahun 2016 dan terus meningkat kepada 34 buah buku pada tahun 2019.

Ternyata, Dewan Bahasa dan Pustaka bukan sahaja aktif dalam penerbitan buku kanak-kanak, malah menjadi nadi utama dalam menyemarakkan kegiatan kesusasteraan kanak-kanak tempatan. Penganjuran beberapa siri seminar turut memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia. Begitu juga dengan Festival Sastera Kanak-Kanak 2014 yang diadakan di Amphitheatre, Menara Kuala Lumpur, menunjukkan suatu inisiatif dalam usaha memperjuangkan sastera kanak-kanak dalam pelbagai genre di peringkat nasional.

Maklumat dan penemuan yang dipaparkan dalam penulisan ini jelas memperlihatkan kesusasteraan kanak-kanak semakin berkembang di Malaysia. Buktinya, selepas tahun 1970-an kesusasteraan kanak-kanak mula menampakkan perkembangan yang positif. Pelbagai genre buku kanak-kanak telah muncul khusus untuk bacaan kanak-kanak yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit.

Pelibatan golongan muda sebagai penulis cerita kanak-kanak merancakkan lagi perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia. Yang menariknya, beberapa penulis muda telah berjaya menghasilkan buku cerita kanak-kanak berbahasa Melayu, antaranya termasuklah buku berjudul Layang-layang itu Menerbangkan Iman karya Nur Aliyah Aqilah Mohd Azri, Kerana Kasut Ajaib karya Abdul Halim Aiman, dan Mahu Menjadi Doktor karya Sheikh Muhd Irfan al-Habshee b. Che Ibrahim.

Senario yang positif ini jelas menunjukkan bahawa kesusasteraan kanak-kanak di Malaysia semakin berkembang mengikut arus peredaran zaman.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi