12 November 2021, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Tiga tokoh pembimbing hebat dalam bidang puisi tradisional ditampilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Program Bimbingan Penulisan dan Penghayatan Puisi Tradisional (Pantun) yang telah diadakan pada 9 November 2021, menerusi laman media sosial UPSI dan DBP.

Program yang menampilkan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hassan, Prof. Dr. Abdul Halim Ali dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, serta Dr. Shamsuddin Othman, pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, UPM ini diadakan untuk memberikan bimbingan dan pendedahan kepada masyarakat tentang teknik penulisan pantun yang baik dan berkualiti selain mengembangkan bakat penulisan kreatif dalam kalangan masyarakat.

“Sebelum kita berbicara mengenai proses penciptaan pantun dengan lebih mendalam, kita terlebih dahulu perlu memahami konsep pantun itu sendiri.” Memetik pandangan SN Datuk Dr. Zurinah Hassan dalam program ini, masyarakat perlu memahami asas dalam penciptaan pantun. Sebelum ini, masyarakat lazimnya mengenali pantun yang mempunyai rima a,b,a,b. Namun aspek utama yang melengkapkan penciptaan sesebuah pantun adalah melalui pembayang dan maksud yang diungkapkan melalui pantun.

Katanya lagi, “Dalam proses penciptaan pantun juga, kita tidak boleh mengorbankan pembayang yang indah, hanya kerana ingin mendapatkan makna dalam pantun”. Apa-apa yang dapat dirangkumkan daripada pandangan beliau ialah proses penghasilan sesebuah pantun memerlukan ketelitian seperti keindahan pembayang untuk menghasilkan maksud pantun yang berkualiti dan juga kepandaian menyimpan rima, yang bermaksud ketelitian masyarakat memilih rima yang baik agar dapat memenuhi konsep penciptaan pantun. Ini kerana pantun yang berkualiti memaparkan nilai kebijaksanaan orang yang mengungkapkannnya.

Selain itu, menurut Dr. Shamsuddin Othman pula, terdapat dua elemen penting dalam proses penciptaan pantun yang baik, iaitu struktur bahasa dan nilai keabadian yang ada dalam pantun yang dicipta. Menurut beliau lagi, “Pantun diikat oleh bahasa dan perasaan”. “Kita tidak mentafsir keindahan pantun seperti kita melihat sekuntum bunga, yang jelas bentuknya seperti mempunyai warna merah atau ciri-ciri pokok bunga yang mempunyai duri. Akan tetapi, kita perlu memahami pantun sebagai khazanah akal dan fikiran”. Oleh itu, pantun boleh ditakrifkan sebagai manifestasi kebijaksanaan orang Melayu.

Proses penciptaan pantun tidak hanya mempunyai idea dan ilham, tetapi kita perlu bijak menyulam pembayang dan maksud pantun hingga menjadi serangkap pantun yang indah untuk diungkapkan seterusnya.

Muhammad Shahrizan Zainal Abidin

Selain itu, menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Muhammad Shahrizan Zainal Abidin tentang ciri-ciri pantun yang menarik. Shamsuddin menyatakan bahawa beliau melihat terdapat lima perkara penting yang perlu ada dalam proses penghasilan pantun yang baik dan berkualiti iaitu idea, tema, pemahaman kita terhadap pembayang dan maksud, pemilihan diksi atau perbendaharaan kata yang khusus atau sesuai, menyusun makna dan menjodoh pembayang.  Sekiranya seseorang ingin mencipta pantun, mereka perlu memahami dan perlu mempunyai kebijaksaan untuk memberikan jodoh atau menjodohkan pembayang dan maksud agar pantun yang dihasilkan mampu memaparkan ketepatan maksud yang ingin disampaikan.

Berbicara mengenai langkah yang perlu dilaksanakan untuk mengekalkan keindahan pantun sebagai puisi tradisional dan memperkenalkan pantun kepada generasi muda, Prof. Dr. Abdul Halim Ali berharap agar budaya berpantun atau penulisan pantun dapat dihadirkan dalam pelbagai majlis yang tidak hanya melibatkan majlis sastera, tetapi majlis yang melibatkan bidang sains, sejarah dan juga bidang lain.

Dalam bidang pendidikan, konsep menghibur atau didik hibur melalui pantun perlu disebar luaskan kepada pelbagai golongan masyarakat khususnya kepada generasi muda. Pertandingan adaptasi pantun kepada lagu juga wajar diadakan bagi mengekalkan puisi tradisional ini.

“Kita perlu mempopularkan pantun dengan menuliskan pantun pada arca yang ada pada setiap negeri atau daerah di Malaysia seperti arca ikan Patin di Negeri Pahang, atau arca di negeri lain. Koleksi pantun menarik juga boleh dijadikan sebagai sumber iklan pada syarikat perniagaan di Malaysia dalam usaha untuk menjadikan pantun sebagai khazanah tradisi negara kita”. Langkah-langkah yang diberikan oleh Prof. Dr. Abdul Halim ini merupakan beberapa perkara penting sebagai usaha untuk mengekalkan pantun sebagai puisi pusaka tradisional di Malaysia.

Program Bimbingan Penulisan dan Penghayatan Puisi Tradisional (Pantun) anjuran DBP-UPSI ini menjadi jambatan yang dapat menyalurkan pebagai maklumat berguna kepada masyarakat mengenai proses penciptaan pantun yang berkualiti. Makna yang sarat dalam pantun ini juga mampu untuk menjadikan sastera sebagai wadah pembentukan nilai murni dalam kalangan generasi muda dan pantun menjadi harta yang perlu diwariskan kepada generasi muda di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.