5 November 2021, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Anekdot ialah penceritaan, luahan rasa hati dan kisah pengalaman hidup. Idea penceritaan untuk menulis anekdot adalah bebas, namun yang penting penulisan itu menepati tema yang telah ditetapkan. Contohnya tema makanan tradisional, maka penulisan anekdot harus menjurus pada tema tersebut. Teknik penceritaan anekdot pula menyamai penulisan karya kreatif yang lain, iaitu bersandarkan imaginasi dan kreativiti penulis, selain memanfaatkan teknik imbas kembali, imbas muka, dialog, monolog dan seumpamanya.

Ada beberapa “perencah” yang boleh digunakan untuk membina cerita dalam penulisan anekdot. Yang paling utama adalah menulis berdasarkan pengalaman sendiri atau isu semasa. Ada pelbagai bentuk pengalaman yang boleh ditulis sebagai anekdot, misalnya pengalaman memasuki sesuatu pertandingan, pengalaman tentang alam persekolahan, pengalaman menghadapi penyakit atau musibah, dan pengalaman memulakan perniagaan.

Sebagai contoh, ada anekdot bertemakan duit poket yang mengajak penulis menceritakan pengalaman mencari pendapatan tambahan. Berdasarkan isu semasa pula, penulis boleh mengambil pengalaman menghadapi pandemik COVID-19, yang juga berkaitan dengan pengalaman sebagai petugas barisan hadapan dan kemurungan atau ketegangan hidup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan. Yang pastinya, pengalaman atau isu yang dinaratifkan itu ada nilai teladan dan sarat dengan iktibar dan pengajaran.

Sebagai panduan tambahan untuk menjana idea, penulis anekdot boleh bersandarkan perkara yang berikut semasa membina cerita:

  1. Berusaha mengingati semua kejadian atau peristiwa yang pernah dialami dalam  hidup. Juga, berasa yakin bahawa peristiwa itu sesuatu yang menarik untuk dijadikan cerita, ada elemen lucu dan terselit pengajaran.
  2. Menyenaraikan semua kejadian atau peristiwa yang dirasakan menarik, kemudian membuat saringan. Dengan demikian, penulisan cerita anekdot boleh ditumpukan pada kejadian atau peristiwa yang dipilih berdasarkan justifikasi cerita itu menarik, menghiburkan dan memberikan pengajaran.
  3. Menulis kejadian atau peristiwa berdasarkan soalan, kenapa kita sangat mengingati peristiwa itu dan mengapa peristiwa itu perlu ditulis dan dikongsi dengan orang lain? Jawapan kepada soalan tersebut secara tidak langsung akan menjadi rumusan, kesimpulan atau penutup anekdot.
  4. Memfokuskan penulisan pada tindakan atau bicara yang meninggalkan kesan. Kalau ada pelaku/watak, tidak perlu terlalu hendak menceritakan perwatakannya, pergerakannya dan lain-lain. Pendek kata, beri tumpuan pada percakapan dan tindakan berkaitan dengan kejadian tersebut.
  5. Setiap perkataan yang digunakan mesti berkaitan terus dengan cerita.

 

Struktur Anekdot

Di kolej atau universiti, anekdot menjadi suatu subjek dalam kursus penulisan kreatif. Hal yang ditekankan dalam pengajaran tersebut ialah rangka penulisan anekdot yang merangkumi lima struktur.

  1. Abstrak
    Merupakan bahagian pembuka yang memberikan gambaran umum tentang hal atau perkara yang akan diceritakan. Sebagai pembuka cerita, bahagian ini haruslah berupaya untuk menarik perhatian pembaca.
  2. Arah atau Orientasi
    Bahagian ini menumpukan latar cerita atau latar belakang bagaimana sesuatu peristiwa terjadi, dan secara tidak langsung menggambarkan situasi cerita tersebut. Pada bahagian inilah, teks anekdot dibangunkan
  3. Konflik atau Krisis
    Bahagian ini memaparkan masalah yang unik atau tidak biasa, yang berlaku atau dialami oleh orang yang diceritakan. Konflik ditandai dengan terjadinya kejanggalan atau ketidakpuasan yang dirasai oleh orang yang mengalami konflik tersebut.
  4. Reaksi
    Reaksi merupakan klimaks cerita yang berisi tanggapan daripada peristiwa yang ditulis pada bahagian konflik atau krisis. Bahagian ini juga berupa penyelesaikan masalah berdasarkan konflik atau krisis yang terdapat dalam cerita.
  5. Penutup
    Bahagian terakhir yang berisi rumusan, pandangan, kesan, pesanan daripada cerita dan lain-lain. Biasanya ditandai dengan komentar atau penegasan daripada makna yang disampaikan dalam teks anekdot.

Lima struktur dalam penulisan anekdot itu hanyalah sebagai panduan untuk membina cerita. Usah tidak terlalu memikirkan persoalan, adakah karya anekdot harus mempunyai semua struktur tersebut? Dikhuatiri penulis akan tertinggal bahan/idea penting yang sepatutnya dimasukkan dalam penulisan anekdot. Sebaiknya, penulis menumpu pada usaha menulis cerita terlebih dahulu dan jangan terlalu memikirkan strukturnya serta apakah nasihat, impak atau kebaikan daripada cerita itu. Maka itu, tidak menjadi kesalahan sekiranya penulisan anekdot itu tidak menepati strukturnya kerana yang penting ialah penulis bercerita dan ceritanya menarik.

Saranan untuk Memantapkan Penulisan Anekdot

  1. Membaca karya anekdot yang kini sudah banyak diterbitkan, sama ada secara swaterbit atau oleh penerbit tertentu. Dengan membaca buku berkonsepkan anekdot, secara tidak langsung penulis pasti akan mendapat idea tentang kisah yang mahu ditulis dan mengetahui gaya penulisan anekdot yang menarik.
  2. Diakui bahawa akhir-akhir ini, penulisan kisah yang berkonsepkan anekdot akan menyelitkan kata pikat (punchline). Tujuannya untuk menimbulkan kelucuan, selain untuk “mengenakan” pembaca dengan kata pikat yang sudah pasti mengundang gelak atau rasa sinis. Untuk meningkatkan kemahiran menulis kata pikat dalam anekdot, boleh ikuti Facebook Rozlan Mohamed Noor, seorang editor yang banyak membantu malah menyelenggarakan buku yang menghimpunkan karya anekdot oleh penulis pemula. Juga, boleh mengikuti Harith Hakeem yang sering menulis status berkonsepkan anekdot dalam akaun Facebooknya.
  3. Menulis anekdot dalam medium media sosial dan blog untuk mengasah kemahiran menulis cerita yang ringkas tetapi padat. Pastikan cerita yang dikarang itu tidak panjang kerana karya anekdot lazimnya mengehadkan antara 100 hingga 250 patah perkataan untuk satu-satu kisahnya.
  4. Mengikuti bengkel penulisan anekdot, kemudian menghantar karya yang dihasilkan melalui bimbingan bengkel tersebut. Kejayaan menerbitkan karya sulung sudah pasti akan memberikan suntikan semangat untuk terus menulis anekdot yang lebih baik dan menarik.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.