Oleh Lim Wei Wen
3 November 2021, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Minggu Penulis Remaja (MPR) merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1985 lagi bagi mencungkil bakat penulis baharu dalam dunia penulisan. Program MPR yang diadakan pada tahun 2021 ini merupakan kali kedua yang berjaya dijalankan secara dalam talian berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Program yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini telah berjaya mengumpulkan seramai 30 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Antara aktiviti yang diaturkan oleh penganjur, termasuklah Sesi Bimbingan Puisi, Sesi Bimbingan Cerpen, Sesi Bimbingan Penerbitan Digital, Sesi Bersama-sama Editor DBP dan Sesi Bersama-sama Rakan Sebaya Alumni MPR.

Dalam Sesi Bersama-sama Editor DBP telah berjaya menemukan para peserta bersama-sama Editor Tunas Cipta, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil dan Penolong Editor, Puan Syafiqah Abdul Khalid. Pada awal sesi tersebut, para peserta diberi penjelasan mengenai karya kreatif dan bukan kreatif yang diwujudkan dalam Tunas Cipta atau turut dikenali sebagai TC. Kemudian, para peserta turut didedahkan secara lebih mendalam setiap ruangan dalam majalah tersebut, termasuklah ruangan Pena Sutera, Sembang Buku, Ulasan Sajak, Ulasan Cerpen, Rencana Tunas dan sebagainya.

Selain menerbitkan majalah dalam bentuk bercetak, TC turut diterbitkan secara digital bermula pada tahun ini yang dikenali sebagai e-Tunas Cipta. Oleh itu, peserta MPR turut dialu-alukan untuk menghantar penulisan mereka kepada sidang editorial Tunas Cipta.

Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan kepada pihak editor bagi merungkai segala persoalan dan kemusykilan. Editor juga sempat berkongsi cara penghantaran karya kepada Tunas Cipta, selain menggalakkan penulis muda agar beranikan diri untuk mengirimkan karya mereka. Pihak editor juga tidak terlupa dalam memberikan kata-kata semangat kepada peserta yang hadir selaras dengan moto MPR iaitu “Sekali menulis akan selamanya menulis”.

Peserta MPR turut dialu-alukan untuk menyumbang karya mereka kepada sidang editor Tunas Cipta sama ada untuk penerbitan majalah bercetak ataupun e-majalah (e-Tunas Cipta).

Sebagai penulis, mereka harus peka dengan aspek yang boleh menjadi faktor karya mereka ditolak. “Antaranya ialah tema yang tidak menarik, terlalu banyak kesalahan bahasa, maklumat peribadi tidak lengkap, karya yang dihantar dalam bentuk fotokopi, karya ciplak, karya (cerpen/sajak) yang berbentuk seperti rencana/laporan berita,” ujar Siti Noorisa. Katanya lagi, penulisan yang baik tidak semestinya harus mengangkat tema yang berat. Ini kerana penulisan yang baik ialah penulisan yang berjaya mendekati masyarakat pembaca walaupun tema yang dibawa hanya memaparkan isu setempat sahaja.

Sesi Bersama-sama Editor DBP secara tidak langsung membenarkan para peserta supaya lebih mendekati dengan setiap ruangan dalam majalah Tunas Cipta, termasuklah e-Tunas Cipta yang mula diperkenalkan pada tahun ini. Secara tidak langsung sesi tersebut telah membuka peluang kepada penulis muda untuk menghantar karya mereka dan sekali gus menggilap bakat penulisan mereka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.