3 November 2021, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bimbingan berterusan dalam bidang penulisan kreatif boleh melahirkan bakal penulis pelapis yang berketerampilan pada masa akan datang. Bagi melahirkan generasi penulis muda yang kreatif, dinamik dan berilmu pengetahuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran dengan kerjasama Sekolah Menengah Seri Puteri dan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan Program Bimbingan Penulisan Cerpen bersempena dengan Sayembara Penulisan Cerpen Sains Peringkat Antarabangsa pada 30-31 Oktober 2021 secara dalam talian.

Program ini menampilkan tiga orang penceramah bepengalaman, iaitu Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy atau Dr. Fahd Razy, penulis mapan yang juga merupakan alumni Minggu Penulis Remaja (MPR), Hafizah Iszahanid, penulis yang telah banyak memenangi hadiah seperti Pemenang Anugerah HSPM DBP Tahun 2015/2016 (Kategori Cerpen dan Novel Terbaik), Pemenang Anugerah Pertandingan Novel Futuristik Gapena 2020 dan turut ditampilkan Hazwani Rameli atau Rebecca Ilham, Pemenang HSKU Tahun 2014 (Hadiah Utama Cerpen Remaja) dan juga merupakan Wakil Malaysia untuk Bengkel Penulisan Cerpen MASTERA-Indonesia, serta Pemenang HSPM DBP Tahun 2013 (Kumpulan Cerpen Dewasa).

Program bimbingan penulisan yang disertai oleh 78 orang peserta daripada pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh Malaysia ini turut disertai oleh seramai 14 orang pelajar sekolah dari Indonesia. Program yang dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam proses penulisan ini menampilkan tajuk yang menarik oleh para penceramah, iaitu Mencari Idea dan Tema, Teknik dan Gaya Bercerita oleh Hafizah Iszahanid, Mengarang Cerita yang Bermakna dan Proses Kreatif Cerpen Rumah dan Maraton Kampung oleh Rebecca Ilham serta Tip Menulis Cerpen serta Proses Kreatif Cerpen Enigma Dunia oleh Dr. Fahd Razy.

Slot Proses Kreatif Cerpen “Maraton Kampung” yang disampaikan oleh Rebecca Ilham.

Program Bimbingan Penulisan Cerpen dan Sayembara Penulisan Cerpen Berunsur Sains DBP-SSP-SBP-KPM Peringkat Antarabangsa ini merupakan satu program yang dapat memberikan impak besar kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu di Malaysia dan peringkat antarabangsa. Program ini menjadi medan pertukaran maklumat dalam bidang penulisan kreatif selain memberikan peluang kepada para peserta untuk mendapatkan pendedahan serta maklumat terkini tentang teknik penulisan cerpen sains yang bermutu daripada pembimbing yang berpengalaman.

Yang menariknya mengenai program ini ialah selain dapat membina jaringan dalam bidang penulisan peringkat antarabangsa, program ini juga dapat membantu pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang “hebat dalam dunia sains” untuk mengaplikasikan segala teori sains melalui cerpen yang bakal dihasilkan nanti.

Sesungguhnya, bimbingan terarah dalam bidang penulisan kreatif kepada pelajar yang berkemahiran dalam bidang sains ini dapat membantu membentuk pemikiran generasi muda ke arah yang lebih murni, berwibawa dan bersahsiah tinggi pada masa hadapan dan mempertingkatkan keberhasilan program sastera. Program sedemikian juga turut mampu membawa nama DBP ke peringkat yang lebih tinggi, selain meningkatkan apresiasi dan memasyarakatkan pelajar sains ke dalam dunia sastera.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.