30 Oktober 2021, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penggunaan pelbagai unsur atau elemen bahasa seperti unsur perbandingan, penegasan, perlambangan mahupun sindiran dapat menyampaikan hasrat hati si penutur. Penggunaan kata yang indah dan santun dalam hujah juga dapat menggambarkan citra peribadi pengucapnya dan menunjukkan kekayaan bahasa dalam seni berhujah.

Petikan ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Mohd Radzuan bin Ibrahim, peguam dan juga Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dalam Malam Baca Puisi di Luar Kamar ini membawa masyarakat untuk bersama-sama berfikir bahawa bahasa dan sastera dapat dimasyarakatkan kepada semua khalayak, walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam dunia sastera seperti pengamal undang-undang, termasuklah peguam bela, peguam cara, peguam syarie, mahupun eksekutif  undang-undang.

Malam Baca Puisi di Luar Kamar merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran dengan kerjasama Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), dan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Perundangan yang disiarkan pada 29 Oktober 2021 (Jumaat), menerusi Studio Siaran Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka, Pemuisi Berkarya dan media sosial PPMM.

Program yang turut menampilkan persembahan daripada Muhammad Hariz bin Md. Yusoff, peguam dari Tetuan Hariz Syakinah & Co serta Muhamad Hisham bin Marzuki, Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) turut menampilkan persembahan baca puisi daripada Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan dan juga Sasterawan Negara YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Naib johan dimenangi Dayana binti Chacho, Peguam Syarie dari Firma NM & Co.

Paling istimewa, keputusan Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan Peringkat Akhir yang telah diadakan pada 27 Oktober 2021 lalu juga turut diumumkan pada Malam Baca Puisi di Luar Kamar ini. Atikahpushpa binti Sharkawi Ramli, Peguam Bela dan Peguam Cara dari Firma Guaman Tetuan Chambers of Atika Partners dinobatkan sebagai johan sayembara, dan menerima hadiah wang tunai bernilai RM3000. Naib johan pula menjadi milik Dayana binti Chacho, Peguam Syarie dari Firma NM & Co yang menerima wang tunai bernilai RM2000. Penerima tempat ketiga, Syed Muhammad Anwar bin Syed Lokman Hakim, Peguam Bela dan Peguam Cara dari Tetuan Haffiz Zuhair & Co pula menerima hadiah wang tunai bernilai RM1000.

Syed Muhammad Anwar bin Syed Lokman Hakim, Peguam Bela dan Peguam Cara dari Tetuan Haffiz Zuhair & Co berjaya mendapat tempat ketiga.

Tiga penerima hadiah sagu hati iaitu, Azree Ariffin (Eksekutif Undang-undang), Nor Asiya binti Nasir (Peguam Syarie dari Messrs Radzuan & Co), dan Adharye Johari, Pegawai Undang-undang dari Sarawak pula diumumkan sebagai penerima hadiah sagu hati yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 setiap seorang. Selain itu, penerima johan, naib johan dan tempat ketiga juga turut menerima langganan majalah Pemuisi selama setahun, tajaan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI).

Juri professional yang dilantik untuk menghakimi sayembara ini ialah YBhg. Dato’ Rahman Shaari (Mantan Pensyarah Universiti Malaya (UM) dan Presiden Persatuan Penyair Malaysia), YBhg. Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman (Pensyarah Kanan UM dan Timbalan Presiden Persatuan PEMUISI), YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli bin Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), YBrs. Tuan Ismail bin Ahmad (Adiwangsa Sukma dan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM), dan YBrs. Puan Shahidatul Munirah binti Badrul Munir, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program seni budaya, Malam Baca Puisi di Luar Kamar ini juga turut mendapat sokongan daripada artis dan penyair tanah air seperti Siso, Adiwangsa Sukma, Roslan Madun, Man Kayan, Mazlan Perindu Seni dan Nor Atiekah Hidayah Hussein. Program ini diharapkan akan membuka ruang dan peluang kepada pengamal undang-undang seperti peguam untuk menonjolkan bakat berpuisi selain menjadi asas penting kepada golongan profesional ini untuk menggunakan bahasa yang indah, santun dan tersusun dalam kamar mahkamah kelak.

Semoga usaha DBP melalui pelaksanaan kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan dalam kempen cintai bahasa kebangsaan ini dapat memasyarakatkan bahasa dan sastera kepada karyawan, khususnya di sektor perundangan seluruh Malaysia. Siaran penuh program dapat ditonton di sini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi