29 Oktober 2021, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok– Tiga novel Sasterawan Negara (SN) S. Othman Kelantan yang kurang dikaji sebelum ini mendapat penelitian yang mendalam dalam Wacana Pemikiran Karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan yang diadakan pada 28 Oktober 2021 secara dalam talian.

Novel Ustaz, Norbani dan Angin Timur Laut kurang diperkatakan kerana diterbitkan oleh penerbit swasta dan pasarannya tidaklah begitu meluas jika dibandingkan dengan karya-karya S. Othman Kelantan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), dan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini disertai oleh lebih 160 orang peserta dalam kalangan pelajar dan pensyarah UMK,  UniSZA, UMT dan IPG di Kelantan dan Terengganu. Turut menyertai program ini ialah warga persatuan penulis di Kelantan.

Pengarah DBPWT, Encik Mohd Azam Juhari dalam ucapan perasmian,  menyatakan program ini diadakan khusus bagi memberikan penghormatan atas keunggulan penciptaan dan pemikiran yang terdapat dalam karya  Allahyarham SN S. Othman Kelantan. Allahyarham telah menyumbangkan karya yang baik dan bermutu tinggi kepada masyarakat, yang merakamkan keluhuran dan kemurnian akal budi manusia dalam usaha membentuk manusia yang beradab, berilmu, berdisiplin, bertanggungjawab dan berhemah tinggi sejajar dengan prinsip Rukun Negara. Karya  sastera Allahyarham akan terus terakam sebagai bukti jati diri bangsa Malaysia untuk diwarisi dan dibanggakan oleh generasi muda pada hari ini dan akan datang.

Wacana ini dipengerusikan oleh Dr. Nasirin Abdillah (UMK) dan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta dalam kalangan generasi muda tentang karya agung SN S. Othman Kelantan, menggali pemikiran dan berkongsi keistimewaan karya Allahyarham.

Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman yang merupakan pensyarah UMK membicarakan novel “Ustaz Berdasarkan Perspektif Al-Ghazali dan Fahaman Konfuisianisme”. Beliau telah menganalisis isu moral, nilai karya, serta aspek didaktik dalam novel tersebut. Beliau turut merumuskan bahawa novel Ustaz bukan sekadar perakam zaman, malah sesuai dibaca oleh generasi muda kerana sarat dengan pengajaran yang berguna.

Dr. Nordiana Ab. Jabar dari UMK membentangkan tajuk “Novel Norbani: Daya Tahan Zaman” ketika Wacana Pemikiran Karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan.

Pembentangan Dr. Nordiana Ab. Jabar (UMK) pula bertajuk “Novel Norbani: Daya Tahan Zaman”. Beliau meletakkan novel ini menepati ciri-ciri sebuah karya agung berdasarkan pandangan oleh sarjana Barat, Mortimer Adler (1981), iaitu pertama, karya yang dapat dikaitkan dengan masalah dan isu semasa; kedua, karya yang tidak jemu dibaca berulang kali; dan ketiga, karya yang memuatkan pemikiran yang hebat dan boleh mengisi minda pembaca sehingga masa kini.

Tambah beliau, novel Norbani juga bertepatan dengan rangka asas sesebuah karya agung menurut Yayasan Karyawan (2005), iaitu sebuah karya yang mengandungi pancaran akal budi Melayu, tinggi estetika dan seni kepengarangannya, kaya dengan pandangan nilai dan hidup, mengandungi nilai ilmu yang benar dan sarat dengan isu dan pesan atau amanat.

Angin Timur Laut diterbitkan pada tahun 1969.

Pembentang ketiga, Mohd Faradi Mohamed Ghazali (UniSZA) membentangkan kajian beliau bertajuk “Representasi Konflik Sosial dalam Angin Timur Laut (ATL) dari Lensa Sosiologi Sastera”. Menurut beliau, ATL memaparkan kegetiran hidup para nelayan akibat kemiskinan yang digalang penindasan oleh golongan kapitalisme. Selain masalah sosial yang menjerut emosi, kekuatan novel ini terletak pada gambaran sosiobudaya masyarakat dan juga gaya bahasa S. Othman Kelantan yang kaya dengan dialek Kelantan.

Othman Kelantan telah menulis 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja, selain menghasilkan lebih 185 buah cerpen. Antara novel Allahyarham yang terkenal ialah Pengertian (1966) atau judul kemudiannya Norbani (1980), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003).

Allahyarham juga menghasilkan lima buah kumpulan cerpen dan karya  Allahyarham  turut diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan China. Selain itu, S. Othman Kelantan juga pernah menghasilkan 366 buah esei dan kertas kerja. Program ini turut disertai oleh Ketua Pustakawan, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK iaitu Encik Azman Hashim dan mantan Ketua Pengarah DBP dan Presiden PERADABAN, Dato’ A. Aziz Deraman.

S.M. Zakir

Selain itu, Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir) iaitu Pengurus Penerbit Nusa Centre dan juga anakanda kepada Allahyarham SN S. Othman Kelantan dalam ucapan penutupnya menghargai komitmen pensyarah muda dalam membedah karya Allahyarham ayahandanya. Kekuatan karya S. Othman Kelantan dari kaca mata S.M. Zakir terletak pada latar masyarakat dan latar tempat di Kelantan yang mewakili era 1950-an hingga 1990-an yang sekali gus memperkenalkan Kelantan kepada khalayak pembaca. Oleh itu, beliau amat berharap agar karya SN S. Othman Kelantan dapat diterbitkan semula melalui kerjasama antara DBP dan Nusa Centre.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.