Oleh Nimoiz T.Y.
28 Oktober 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 “Dia sempat menggenggam tangan saya dan meminta saya membacakan tulisan yang dinukilkan untuk beliau dalam Qasyaf 80 yang diamanahkan kepada kami untuk menguruskan penerbitan dan pencetakannya,” Demikian cerita Mohamed Nasser tatkala dia, Shirley Idris dan Dr. Fazilah Hussin sewaktu mengunjungi Kemala pada petang 19 Oktober 2021.

QASYAF 80: Kemala yang Kami Kenali merupakan judul buku yang diselenggarakan oleh Fazilah Husin, Lily Multatuliana dan Shirley Idris sempena ulang tahun kelahiran ke-80 Kemala. Buku ini merupakan koleksi catatan, memori, kenangan, pengalaman dan tafsiran terhadap karya Kemala yang diurus penerbitan dan percetakan oleh Nuha Books.

Kemala begitu gembira menatap buku tersebut. Hal ini demikian kerana semua tulisan yang termuat dalam buku tersebut merupakan apresiasi jujur daripada hampir 40 orang penulis dari Malaysia, Indonesia dan Brunei. Ini antara hadiah ulang tahun kelahiran ke-80 yang paling bermakna buat beliau. Tambahan pula, dalam keadaan kesihatan dirinya yang semakin merosot.

Namun, petang Rabu 27 Oktober 2021 kita dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham sepertimana yang diumumkan oleh anaknya, Ainal Adnin Ahmad Khamal. “Dengan penuh insaf rendah diri dan dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Haji Ahmad Khamal bin Abdullah telah menghembuskan nafas yang terakhir pada 27 Oktober 2021 hari Rabu, pukul 12.00 tengah hari sewaktu dalam tidurnya.”

Al-Fatihah. Semoga Tuhan menempatkan arwah dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Sudah pasti, berita pemergian ini merupakan kehilangan besar bagi warga sastera Melayu di Malaysia dan Nusantara.

Karya Kemala sememangnya unik. Tidak mustahil, nukilan beliau sering menjadi rujukan penulis muda terutama mereka yang cenderung ke arah puisi yang berkonsepkan keislaman.

Tahun 2000-an merupakan tahun sastera dalam talian yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan penulis muda. Untuk itu, beliau banyak berkomunikasi dengan penulis muda dalam yahoogroups dengan nama kumpulan Zikir Group. Bahkan, beliau tidak kekok menulis dalam blog sewaktu era penulisan blog semakin meningkat naik.

Pemergian Kemala turut ditakzimkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui kenyataan media Pengerusi Lembaga Pengelola. “Negara kehilangan seorang sasterawan yang telah menyumbangkan karya sastera untuk pembangunan akal budi bangsa dan pembangunan negara dalam aspek persuratan. DBP secara khusus terhutang budi kepada Allahyarham yang selama puluhan tahun mencurahkan bakti di DBP sebagai tenaga kerja yang gigih dan turut mengangkat imej DBP sebagai badan bahasa, persuratan dan penerbitan,” ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Penulis muda Shasha Shakierah turut berkongsi kesedihan bersama-sama khalayak sastera selepas menerima berita kehilangan ini. “Negara telah dikejutkan dengan kehilangan Sasterawan Negara, Dato’ Ahmad Khamal Abdullah (Kemala). Ya, seorang demi seorang tokoh sasterawan pergi meninggalkan kita. Salah seorang tokoh yang tetap menghargai karya dan perjuangan anak muda dalam bidang sastera. Kalau bertemu di mana-mana majlis atau singgah meninggalkan komen di paparan Facebook, pastinya saya akan ingat sampai bila-bila gelaran yang diberikan kepada saya, iaitu ‘srikandi’,” ujarnya.

Kemala telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 2011. Sebelum itu, Kemala pernah menerima Anugerah S.E.A. Write Awards pada tahun 1986 daripada kerajaan Thailand. Sudah pasti, penobatan Kemala ini memberikan kelegaan kepada peminat puisi kerana akhirnya ada juga Sasterawan Negara yang dipilih dalam kalangan mereka yang menulis dalam genre ini.

Mengikut sejarah, kali terakhir Sasterawan Negara dipilih dalam kalangan penulis yang sinonim dengan puisi ialah Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pada tahun 1991. Selepas itu, kebanyakan Sasterawan Negara terdiri daripada mereka yang lebih dekat dengan penulisan genre cerpen dan novel selain Sasterawan Negara Dato’ Nordin Hassan yang lebih akrab dengan penulisan genre drama.

Selain Kemala, Sasterawan Negara kelahiran Gombak, Selangor ini juga turut menggunakan nama pena Akmal Jiwa. Antara sumbangan lain Kemala ialah menjadi Pengasas Persatuan kesusasteraan Bandingan Malaysia, Nusantara Melayu Raya (NUMERA) dan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur.

Dalam bidang pendidikan, beliau memperoleh Sijil  Pelajaran Malaysia (1963), Sijil Tinggi Persekolahan (1974), Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (1980), Sarjana Sastera (1985) dan Doktor Falsafah (2000). Perjalanan pendidikan Kemala dalam usaha menuntut ilmu ini sudah pasti memberikan inspirasi kepada penulis muda untuk terus memburu ilmu.

Dalam kerjaya, Kemala pernah berkhidmat sebagai penolong penyunting di DBP pada tahun 1968 sebelum menjadi editor majalah dan lain-lain. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan pada tahun 1996.

Walaupun turut menulis cerpen dan drama, puisi merupakan antara genre kegemaran sehingga mengangkat beliau ke puncak paling tinggi. Antara buku beliau yang pernah diterbitkan ialah Timbang Terima (Pustaka Melayu Baru, 1970), Meditasi (Venus Arts, 1972), Era (DBP, 1975), Kaktus-kaktus (Penerbitan Fargoes, 1976), ‘Ayn (DBP, 1983), Pelabuhan Putih (DBP, 1989), Titir Zikir (Pustaka Cipta, 1995), Mim (DBP, 1999), Ziarah Tanah Kudup (DBP, 2006), Syurga ke Sembilan (Insandi Sdn. Bhd., 2009) dan Sumsum Bulan Rawan (DBP, 2011). Bahkan, karya beliau telah diterjemah dalam pelbagai bahasa termasuklah China, Urdu, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Belanda.

Kemala antara penyair Malaysia yang cenderung menulis puisi yang bercitra keislaman. Memetik Amal ‘Aqilah Ismail dan Nursafira Ahmad Safian (2019) dalam jurnal  Konsep Sastera Islam oleh Kemala dan al-Nadwi: Satu Perbandingan, Kemala turut bersetuju bahawa penyair beragama Islam tidak harus memisahkan diri dengan ilmu dan pengetahuan. Mereka juga perlu memiliki daya pemikiran yang kritis dan inovatif, seiring dengan konsep ta‘aquli; yang merupakan elemen penting dalam melahirkan sasterawan Islam yang mendukung nilai intelektualisme (‘akliah).

Tidak mustahillah karya Kemala sentiasa menjadi rujukan penulis muda. Bagi Fauzan Zain, penulis muda kelahiran Kelantan, beliau menyifatkan kuntum-kuntum puisi yang dikarang Kemala menjadi pintu pembuka bagi penulis muda mengenal puisi bernada keislaman. Kemala meninggalkan khazanah pemikiran yang mengajak kita mencari jalan mendekatkan diri dengan Tuhan.

Penulis Singapura, Haris Hamzah pula menyifatkan Kemala sebagai tokoh, Sasterawan Negara dan bapa sastera Melayu Nusantara dan Dunia. “Kemala banyak mengalirkan ilmu penulisannya kepada saya dan generasi muda kini serta tetap terus memberikan dukungan, galakan dan inspirasi maju jaya kepada kita hingga umur senja dan nafas akhirnya,” tulisnya dalam laman sosial Facebook.

Pemergiaan Kemala juga turut dirasai oleh penulis muda Abdullah Hussaini. “Antara hasil usaha Kemala yang meninggalkan kesan ialah jurnal Perisa dan Jambak. Isinya sangat bermanfaat. Tak lupa, bacaan puisinya yang bergaya.”

Sudah pasti, pemergian Allahyarham dalam usia 80 tahun merupakan kehilangan besar dalam ranah kesusasteraan negara. Semoga karya beliau akan terus hidup dan menjadi rujukan penulis generasi baharu.

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi