28 Oktober 2021, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persatuan Penulis Patani (3P) dan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) bergabung bagi menjayakan Bengkel Asas Penulisan Puisi yang diadakan pada 26 Oktober 2021. Program bimbingan Awang Abdullah, penulis asal Kelantan yang menetap di Terengganu ini telah dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi  3P, Dr. Suraiya Chapakia. Program dalam talian ini melibatkan 99 orang peserta yang terdiri dalam kalangan ahli 3P, PUSPA, pelajar Universiti Fatoni, warga pendidik di Selatan Thailand dan masyarakat umum.

Pengerusi Persatuan 3P, Dr. Abdurrahman Haji Hasa Dewani dalam ucapan perasmiannya, berkata, “Bengkel ini dirintis bertujuan untuk melahirkan penulis baharu dan merupakan antara usaha untuk meningkatkan taraf penulisan penulis muda dalam wilayah Patani dan Selatan Thailand, umumnya.”

Penulis muda juga diminta menghantar mesej yang boleh membangunkan insan, sentiasa tabah kerana tiada jalan pintas untuk menjadi penulis yang berjaya dan jangan sesekali ciplak atau plagiat karya orang lain.

Menurut beliau, “Warga Patani agak terkebelakang dalam penulisan namun mempunyai cita-cita dan keinginan yang cukup tinggi untuk berjaya menjadi penulis.  Kami amat memerlukan bimbingan daripada Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) yang mewakili Malaysia pada kali ini. Terima kasih kerana menghadirkan Cikgu Awang Abdullah, guru puisi yang hebat.”

Awang Abdullah memulakan sesi ceramah dengan membezakan antara puisi tradisional dengan puisi moden. Beliau memperkenalkan puisi tradisional antaranya pantun, nazam, seloka, dan mantera. Seterusnya beliau memperkenalkan sajak, ciri-cirinya dan mendeklamasikan sajak berjudul “Ke Makam Bonda”, karya Usman Awang.

Beliau seterusnya menggolongkan sajak kepada tiga jenis. Pertama, jenis sajak daerah. Kedua sajak upahan yang ditulis atas permintaan termasuklah sajak peraduan dan ketiga, sajak yang ditulis hasil daripada ilham kalbu dan ini banyak mewarnai dunia kehidupan penulis pada hari ini.

Awang Abdullah selanjutnya menerangkan tentang dua elemen penting dalam sajak, iaitu bahasa, dan isi atau pemikiran. Awang menekankan, bahasa puisi mestilah indah, puitis dan ini termasuk unsur bunyi.  Antara contoh ayat yang diberikan ialah ‘Askar mati di medan perang’. Bagi penulis sajak, bahasa ini ditukarkan kepada, ‘Perajurit gugur di perbatasan’. Contoh kedua, ‘Petang yang harmoni di tepi pantai’, dialih kepada bahasa puitis, ‘Jemari ombak menggeletek kaki senja’.

Antara saranan beliau untuk menghasilkan bahasa yang indah dan puitis ialah kuasai variasi kata (contoh variasi perkataan untuk ibu ialah bonda, ummi, mak, mek, mami dan mama), masukkan unsur personifikasi atau perorangan, kuasai inversi (pembalikan kata) kerana sastera memiliki lesen puitika, masukkan rima akhir dan cari perkataan baharu yang digunakan dengan penuh kesedaran dan tepat pada tempatnya.

Menyentuh tentang isi sajak, Awang Abdullah menyatakan bahawa ini merupakan aspek batin dan diklasifikasikan sebagai roh, pemikiran, makna dan mesej pengarang. Isi yang baik mengandungi unsur kebenaran, iaitu nilai yang diterima oleh masyarakat umum dan untuk membina bukan meruntuhkan insan.

Pemikiran yang baik dalam sajak meninggalkan lapisan makna yang tersurat dan tersirat, ada nilai murni atau unsur kemanusiaan seperti membina masyarakat yang baik. Mesej pengarang pula selalunya terkandung dalam pemikiran di luar kotak dan ada pesona.

Sesi bimbingan seterusnya, Awang menerangkan tiga bentuk sajak yang merangkumi sajak terikat, sajak eksperimen, dan sajak bebas. Sajak terikat biasanya dipengaruhi oleh  ciri-ciri pantun, gurindam dan syair. Sajak eksperimen pula muncul dalam sajak persendirian atau antologi dan tiada dalam akhbar. Tergolong dalam sajak eksperimen ialah sajak berbentuk mini kata, sajak 3V (vokal, verbal, dan visual) dan sajak konkrit. Bentuk sajak bebas pula melanggar hukum tatabahasa dalam bina ayat dan kalimat. Bentuk yang tidak terikat inilah yang paling popular pada hari ini.

Sebagai penutup, Awang Abdullah meninggalkan pesanan bahawa penulis sajak seharusnya menerapkan emosi positif dalam sajaknya supaya mesej tersebut lebih sampai kepada pembaca dan bertindak sebagai pendakwah seni.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.