23 Oktober 2021, 07:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Konsep kesusasteraan lisan menurut Richard M. Dorson dalam Folklore and Folklife (1972) merupakan warisan tradisi lisan yang berbentuk ujaran dalam bentuk bahasa dan sastera lisan.

Selain itu, konsep kesusasteraan lisan berasal daripada terjemahan istilah folk literature. Kemunculan istilah folk literature menurut Richard M. Dorson dalam Folklore and Folklife: An Introduction (1972) merupakan kesusasteraan lisan, seni pertuturan dan kesusasteraan ekspresif dalam bentuk cerita dan bukan berbentuk cerita secara lisan yang berlegar dalam kehidupan sebuah masyarakat.

Pada dasarnya, konsep folklore dalam Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia Edisi Kelima (2011) merupakan budaya rakyat dan cerita rakyat. Secara keseluruhannya, konsep folklor Melayu di Alam Melayu menurut Wendy Moore dalam This Is Malaysia (1995) dan Roland Werner dalam Royal Healer (2002) merupakan siri warisan sejarah, bahasa, budaya dan pantang larang secara lisan yang diamalkan oleh penduduk asli maritim di Alam Melayu.

Hikayat Anggun Cik Tunggal  edisi pelajar bagi mata pelajaran SPM sukatan terdahulu. (Foto Penulis)

 

Kepentingan Karya Agung Kesusasteraan Lisan di Alam Melayu

Kepentingan karya agung kesusasteraan lisan sebagai karya agung milik semua bangsa dalam semua tamadun telah diungkapkan oleh Ruth Benedict, ahli etnografi dan antropologi Amerika Syarikat menerusi data kesusasteraan lisan ketika melengkapkan kajian Zuni Mythology (1935).

Oleh itu, keunggulan sastera lisan bangsa Melayu melambangkan keunggulan budaya bangsa Melayu di Alam Melayu. Jelaslah bahawa keunggulan sastera lisan bangsa Melayu mencerminkan pemikiran, nilai dan falsafah kehidupan masyarakat di Alam Melayu.

Pemikiran kolektif masyarakat dalam cerita mitos menurut Syed Abdullah bin Syed Sulaiman dalam kertas kerja bertajuk, “Tradisi Lisan: Satu Penilaian Semula” merupakan hasil pemerhatian masyarakat terhadap kejadian penciptaan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan fenomena alam seperti banjir, hujan dan guruh.

Keindahan bahasa Melayu dan kekuatan pemikiran bangsa Melayu dipersembahan dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal. (Foto Penulis)

Kelahiran mitos dalam cerita bertajuk, “Asal Usul Kejadian Isi Dunia” (2003) menceritakan penciptaan dunia, penciptaan manusia pertama, penciptaan binatang, penciptaan tumbuh-tumbuhan, selain penciptaan hujan dan kilat.

Kepentingan karya sastera lisan berperanan mendidik pembaca agar mengetahui norma dan sistem nilai sesuatu bangsa secara kolektif. Sebagai contohnya, peribahasa merupakan medium pendidikan masyarakat yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Jelaslah bahawa peribahasa bagai aur bergantung ke tebing, bagai tebing bergantung ke aur menggambarkan kehidupan masyarakat yang saling bantu membantu antara satu sama lain.

Sejarah kehebatan Kapal Petolo Kapal Petolai dan keindahan bahasa berirama atau “runs” yang dipersembahkan dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal  telah diceritakan oleh Pawang Ana berdasarkan petikan yang berikut:

Kapal Petolo Kapal Petolai,

Siang berbaju layang,

Malam berbaju rantai.

(Hikayat Anggun Cik Tunggal, 2016).

Pawang Ana menceritakan kehebatan Kapal Petolo Kapal Petolai dan disulami keindahan bahasa berirama. (Foto Penulis)

Masa Hadapan Kesusasteraan Lisan

Masa hadapan kesusasteraan lisan dalam mendepani era Revolusi Perindustrian 4.0 telah diberikan nafas baharu agar terus berkembang dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional di Alam Melayu. Selain itu, keunggulan ilmu dalam warisan kesusasteraan lisan Alam Melayu telah menarik minat para sarjana Barat yang datang ke Alam Melayu pada zaman penjajahan.

Kecenderungan sarjana Barat terhadap dunia kesusasteraan lisan di Alam Melayu telah melahirkan pelbagai pusat pengajian Melayu terkenal yang menyimpan warisan kesusasteraan lisan Alam Melayu seperti di London, Leiden, Paris, Frankfurt, Moscow dan California.

Usaha memartabatkan masa hadapan kesusasteraan lisan di Malaysia diteruskan setelah negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Maka itu, usaha ini terus digerakkan dengan penubuhan Pusat Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Kemunculan Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita Dr. Ismail Hussein (Allahyarham), Profesor Dr. Mohd Taib Osman (Allahyarham), Dr. Harun Mat Piah (Allahyarham) dan Profesor Madya Dr. Noriah Taslim merupakan sarjana sastera lisan tempatan yang mewarnai perkembangan dan masa hadapan kesusasteraan lisan di Malaysia dan Alam Melayu dengan memperkenalkan kajian sastera lisan dalam acuan budaya Melayu.

Masa hadapan kesusasteraan lisan di Malaysia menurut Siti Haliza Yusop dalam artikel bertajuk, “Tampilkan Lebih Banyak Sastera Etnik dan Kekayaan Bahasa” menunjukkan bahawa negeri Sabah dan Sarawak kaya dengan warisan kesusasteraan lisan.

Oleh itu, warisan kesusasteraan lisan suku kaum Kadazan dan Iban seharusnya diperkenalkan dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional di Malaysia, kesusasteraan Asia dan kesusasteraan dunia.

Tegasnya, warisan kesusasteraan lisan suku kaum Kadazan dan Iban mengandungi keindahan bahasa, kekuatan cerita dan keunggulan pemikiran masyarakat berjiwa Alam Melayu.

Kepentingan nilai ekonomi pada masa hadapan kesusasteraan lisan di Malaysia kini merupakan penyumbang kepada sektor ekonomi negara. Bahkan, konsep kreatif merupakan daya penarik kepada karya sastera lisan yang masih mengekalkan keaslian dan kelisanannya.

Nilai ekonomi sastera lisan yang bermutu tidak dihasilkan menerusi segulung ijazah, akan tetapi nilai ekonomi sastera lisan yang bermutu dihasilkan menerusi daya pemikiran kreatif dan keindahan bahasa yang mengangkat keunggulan bahasa Melayu di Alam Melayu dan di mata dunia.

Masa hadapan warisan kesusasteraan lisan di Malaysia dan di Alam Melayu terus dilestarikan dalam dunia hiburan Malaysia. Sebagai contohnya, lagu Can Mali Can merupakan lagu rakyat terkenal di Malaysia dan di Indonesia telah dimuatkan dalam lagu bertajuk Comel Pipi Merah dendangan Dato’ Seri Siti Nurhaliza.Lagu Comel Pipi Merah telah memikat hati golongan kanak-kanak dan dewasa.

Lagu Can Mali Can merupakan lagu rakyat terkenal di Malaysia dan di Indonesia telah dimuatkan dalam lagu bertajuk Comel Pipi Merah dendangan Dato’ Seri Siti Nurhaliza. (Foto Penulis)

Nilai ekonomi warisan lagu rakyat di Alam Melayu telah dikomersialkan dalam album runut bunyi filem yang dirakamkan oleh artis popular tempatan di Malaysia.

Kepentingan dan masa hadapan warisan kesusasteraan lisan Melayu di Alam Melayu melambangkan keunggulan warisan sejarah dan budaya bangsa Melayu. Selain itu, kepentingan sastera lisan yang bersifat kolektif bagi bangsa Melayu telah diceritakan menerusi rangkaian mitos popular dalam sastera lisan Alam Melayu.

Kepentingan kesusasteraan lisan melambangkan sebuah dokumen budaya bangsa. Jelaslah bahawa keunggulan karya agung kesusasteraan lisan merupakan warisan budaya bangsa dalam semua tamadun di dunia.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.