23 Oktober 2021, 23:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puisi adalah falsafah dan pemikiran yang mempunyai emosi. Bukan hanya tertumpu kepada falsafah yang tinggi, tetapi pemikiran yang rendah juga jika diungkapkan dengan menarik akan mampu membawa makna mendalam dalam kehidupan.

Menulis puisi bukanlah sesuatu yang mudah walau sering dianggap begitu. Penulisan puisi memerlukan bakat, sama ada bakat sedia ada atau diasah sehingga mampu menghasilkan karya berkualiti.

Oleh itu, Program Sunting dan Nilai Sehingga Cantik (SUNTIK) Siri 3/2021 meneruskan lagi program dengan menampilkan Lutfi Ishak dalam sesi “Penilaian Puisi” yang diadakan pada pukul 2 petang tadi menerusi laman media sosial DBP dan JendelaDBP. Lutfi Ishak, seorang penulis cerpen dan sajak menyifatkan penghasilan puisi sebagai usaha menggali emas, antara perkataan pertama yang ditekan oleh beliau adalah aspek pengalaman sendiri dalam berkarya.

Kita bersabar dan menggali banyak tanah untuk mendapatkan emas. Jadi, untuk mendapatkan pemikiran serta kata-kata yang baik dan bagus juga perlu bersabar dan banyak membaca. Kata-kata yang indah dalam menyampaikan pemikiran yang elok, merupakan sebuah puisi yang baik.

“Mengarang puisi juga merupakan pekerjaan yang berbahaya pada saya. Umpama menyalakan lilin dalam bilik yang gelap, mula-mula yang kelihatan adalah diri sendiri. Bagi saya, dalam menulis puisi kita tidak boleh mencipta sesuatu yang jauh daripada kita. Ia mesti datang secara alami dari dalam diri”, sambung beliau.

Membincangkan proses menilai puisi, Lutfi menggariskan beberapa kelemahan dalam penulisan karya, antaranya adalah mengenai jargon dan istilah yang digunakan penulis.

“Dalam puisi bertema misalnya kemerdekaan, sudah banyak ungkapan yang biasa dipakai seperti ‘matahari ogos’, ‘Malaysiaku tercinta’, ‘hamparan Hijau’ dan ‘halaman rumahku’. Ini menjadikan puisi bertema susah untuk dihasilkan. Ada juga kata-kata yang digunakan tanpa pertimbangan yang mendalam. Contohnya, terdapat pada puisi mengenai COVID-19. Ada yang menggunakan ungkapan ‘namun Tuhan lebih perkasa bila ajaib diturunkan’. Pada saya, Tuhan itu sudah perkasa walau tanpa kewujudan COVID-19. Hasilnya, kata-kata yang digunakan itu seperti tidak sepadan dan canggung”, ulas beliau.

Dalam perbincangan itu juga, Lutfi menegur elemen klise dalam penulisan puisi, di mana masalah ini boleh dielakkan dengan tindakan pengkarya menambahkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan. Teguran turut sama menumpukan kepada imej dan nuansa yang bercampur serta makna yang berlawanan.

Elemen klise dalam karya adalah musuh utama penulis serta mengingatkan bahawa karya yang bombastik juga adalah bermasalah kerana menghilangkan nilai sederhana dalam pengucapan.

“Imej bertindan contohnya seperti ‘membelah perut segara, buang muatan dosa-dosa dalam lautan taubat’. Walhal, ‘segara’ itu adalah laut. Kemudian digunakan lagi perkataan lautan. Begitu juga dengan ungkapan ‘melantun doa’. Konsep melantun itu menunjukkan satu perbuatan yang kurang bermakna. Berdoa pula adalah satu perbuatan yang mempunyai tujuan yang khusus. Ianya tidak seiring”, terang Lutfi.

“Contoh lain adalah ‘menjulang tekad ke tanah bangsa’. Apabila kita sebut menjulang, kita angkat sesuatu ke atas tetapi tanah berada di bawah. Apabila kita meletakkan perkataan yang salah, maka ia memberikan satu makna yang canggung dan berlawanan. Mungkin boleh gantikan dengan ‘menjulang tekad ke langit bangsa’ misalnya,” ulas beliau.

Lutfi turut meluahkan kekecewaan terhadap puisi yang terhasil daripada garapan idea pemikiran yang bagus, tetapi tidak berjaya disampaikan dengan baik kerana penulis tidak berhati-hati dalam mengungkapkan isi karya tersebut, yang akhirnya tidak dapat dijelmakan menjadi satu pengucapan yang indah.

Pada akhir perbincangan itu, Lutfi menyatakan bahawa puisi yang baik adalah puisi yang menyentuh elemen perasaan dengan lebih jelas dan bukan hanya menulis apa-apa yang pengkarya nampak secara fizikal. SUNTIK Siri 3/2021 turut menampilkan Abang Median Abang Said dalam sesi “Penilaian Cerpen” pada pagi tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi